top of page

PENGIRAN SURA NEGARA PENGIRAN ANAK BADARUDDIN IBNI SULTAN MUHAMMAD KANZUL ALAM


​PENGIRAN SURA NEGARA PENGIRAN ANAK BADARUDDIN IBNI SULTAN MUHAMMAD KANZUL ALAM


Pengiran Badaruddin atau dengan nama sebenarnya Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam merupakan satu lagi nama besar di dalam lipatan sejarah Sarawak sejak dari dahulu lagi. Beliau merupakan saudara tiri kepada Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim iaitu mereka berkongsi ayahanda yang sama namun berlainan ibunya.


Dilahirkan di Brunei sekitar tahun 1727 Masihi dan merupakan putera kepada pemerintah Kerajaan Brunei Darussalam yang memerintah dari tahun 1807 sehingga 1826 iaitu Sultan Muhammad Kanzul Alam. Menurut ceritanya nama Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin juga tercatit di dalam sejarah negeri Pahang iaitu lebih terkenal dengan nama Pengiran Sura Negara Pengiran Bagauddin yang telah melahirkan ramai nama-nama besar seperti Panglima Hitam iaitu antara pendekar yang gagah berani di negeri Pahang suatu waktu dahulu. Diceritakan bahawa Pengiran Badaruddin pernah berhijrah ke negeri Pahang dan mempunyai keluarganya di sana.


Untuk di Sarawak pula, nama Pengiran Badaruddin bukanlah asing bagi masyarakat Sarawak lebih-lebih lagi Pengiran Badaruddin merupakan pembesar Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam untuk wilayah Oya suatu waktu dahulu. Oleh kerana beliau merupakan saudara tiri kepada Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim jadi tidak menghairankan beliau digambarkan sebagai antara pembesar Brunei yang sentiasa membantu Pengiran Muda Hashim sewaktu dititahkan ke Sarawak.


Dan oleh kerana hubungan yang baik antara Pengiran Muda Hashim dengan James Brooke juga menyebabkan keseluruhan keluarga Pengiran Muda Hashim termasuk Pengiran Badaruddin juga merupakan antara rakan baik kepada James Brooke. Diceritakan bahawa sewaktu Pengiran Badaruddin di Sarawak, James Brooke pernah menghadiahkan Pengiran Badaruddin sebentuk cincin permata sebagai hadiah persahabatan mereka.


Cincin tersebut bukanlah cincin yang sembarangan sebaliknya mempunyai ukiran nama JB atau James Brooke pada permukaan cincin tersebut. Dan ianya merupakan cincin yang ditempah khas semata-mata untuk diberikan kepada Pengiran Badaruddin. Inilah antara lambang betapa akrabnya hubungan persahabatan antara beliau dengan James Brooke pada waktu itu.


Seperti juga kakandanya iaitu Pengiran Muda Hashim yang dititahkan untuk pulang ke Brunei oleh Sultan Brunei pada waktu itu, ianya juga tidak terkecuali dengan Pengiran Badaruddin itu sendiri. Sewaktu di Brunei itu juga ketika adanya perang saudara antara Pengiran Muda Hashim dengan Pengiran Yusuf yang berebutkan jawatan Pengiran Bendahara pada tahun 1845, Pengiran Badaruddin juga turut menyebelahi Pengiran Muda Hashim dengan ikut sama berperang dengan Pengiran Yusuf.


Apabila kemenangan berpihak kepada Pengiran Muda Hashim akhirnya jawatan Pengiran Bendahara dikembalikan oleh Sultan Brunei pada masa itu kepada yang berhak iaitu Pengiran Muda Hashim. Walau bagaimanapun, akibat daripada pertikaian ini telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kaum kerabat diraja Brunei sehinggalah berlakunya satu tragedi iaitu komplot pembunuhan keluarga Pengiran Bendahara Hashim sekitar tahun 1846.


Apabila kakandanya terbunuh di dalam satu plot pembunuhan yang terancang itu, Pengiran Badaruddin juga telah terlebih dahulu mengetahui bahawa nyawa dirinya dan seluruh keluarganya yang tinggal di Brunei pada masa itu umpama telur di hujung tanduk. Mana mungkin individu seperti Pengiran Badaruddin dibiarkan hidup kerana beliaulah antara pendokong kuat kakandanya Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim sejak dulu lagi.


Di ketika itulah dikatakan bahawa Pengiran Badaruddin telah menghantar utusan ke Sarawak dengan membawa sebentuk cincin yang berukirkan nama JB kepada James Brooke. Apabila Brooke menerimanya maka Brooke sudah mengetahui yang nyawa Pengiran Badaruddin sedang diancam bahaya kerana cincin yang dihadiahkan kepada Pengiran Badaruddin itu sebenarnya merupakan satu tanda sekiranya sesuatu berlaku maka Pengiran Badaruddin hanya perlu menunjukkan cincin tersebut kepada Brooke dan Brooke akan membantunya dalam apa cara sekalipun.


Walaupun dikatakan Brooke menerima utusan cincin tersebut pada 5hb April 1846 namun begitu tiada apa yang dapat Brooke boleh lakukan kerana sehari sebelum itu iaitu pada tanggal 4hb April 1846, keseluruhan keluarga Pengiran Badaruddin telah terkorban di Brunei Darussalam. Dikatakan pembunuhan mereka juga telah dirancang dengan sebaik mungkin seolah-olah sesiapa sahaja yang terlibat dengan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim ditentang oleh segelintir pemimpin masyarakat Brunei pada waktu itu.


Inilah antara sejarah perjalanan hidup seorang legasi Brunei yang namanya turut mewarnai sejarah Sarawak sejak menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei serta sewaktu Brooke memerintah Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin namanya tercatit di Jalan Badaruddin, Kuching, Sarawak mungkin dikenali ramai kerana saban hari kita melalui jalan tersebut namun sejarahnya agak kurang diwar-warkan buat pengetahuan sejarah untuk semua.




Rujukan:

1. Author: Graham E. Saunders; Book Title: The History Of Brunei. Published: Oxford University Press, Incorporated, 1994

2. Author: Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail; Book Title: Persejarahan Brunei – Unsur dan Faktor Pensejarahan Brunei

3. Author: Sabine Baring-Gould, Charles Agar Bampfylde; Book Title: A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs, 1839-1908. Published: Oxford University Press, 1989

4. Author: Marie-Sybille De Vienne Translated by Emilia Lanier. Book Title: Brunei, From The Age Of Commerce To The 21ST Century. Published: National University Of Singapore, 2010










bottom of page