KISAH BATU SUMPAH KIMANIS
KISAH BATU SUMPAH KIMANIS
PILIHANRAYA kecil Kimanis sudah tentu menjadi satu hal yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia amnya dan Sabah khususnya. Hari ini iaitu 18 Januari adalah hari penentuan, siapakah yang akan memenangi hati rakyat di Parlimen Kimanis. Ya itu cerita politik dan kita biarkan rakyat Kimanis memilih siapakah dihati mereka. Dalam pada itu mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di Kimanis ada terdapat satu batu sumpah yang dinamakan Batu Sumpah Kimanis yang amat menarik untuk kita jadikan bahan bacaan pada hujung minggu ini.
Jika diikutkan dengan pandangan sekali imbas, batu yang terpacak tegak di tengah-tengah kampung Brunei Kimanis ini tidak ada bezanya dengan mana-mana batu seumpamanya yang boleh didapati di mana-mana. Namun siapa sangka, di sebalik “penampilan” batu besar ini tersimpan satu kisah ngeri yang sangat signifikan dalam lipatan sejarah Kimanis.
Terdapat pelbagai versi bagaimana Kimanis mendapat nama. Antaranya daripada pohon kayu manis yang dikatakan sangat banyak ditanam di kawasan ini pada masa dahulu. Selain daripada itu versi yang lain pula menceritakan pada masa lalu kawasan ini banyak ditanami dengan pohon limau manis. Namun pada hari ini kedua-dua jenis tanaman ini sudah tidak dapat ditemui ditanam secara besar-besaran lagi.
Sejarah lampau Kimanis sebahagian besarnya bersumberkan daripada cerita lisan yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya. Walaupun sekadar cerita lisan namun ia sangat penting bagi memberikan sedikit gambaran mengenai kehidupan masyarakat di Kimanis sebelum campur tangan pengaruh luar. Kisah batu sumpah Kimanis ini dikongsikan sendiri oleh Allahyarham Mali Bin Haji Mokti yang mendakwa moyang beliau yang bernama Badar pernah diberikan kuasa oleh Sultan Brunei untuk mentadbir Kimanis sebelum tahun 1900 menerusi gelaran “penyurat”.
Penempatan awal Kimanis dibina berhampiran kawasan sungai dan laut. Selain pekerjaan tradisional sebagai petani penduduk di sekitar kawasan ini juga merupakan nelayan yang mahir dalam mngumpul hasil laut dan sungai. Pekerjaan ini masih diteruskan kebanyakan penduduk di Kimanis sungguhpun zaman telah berubah. Pada masa lalu kampung-kampung dibina berasaskan kepada puak-puak dengan fahaman yang berbeza.
Oleh yang demikian permusuhan dan peperangan antara mereka adalah sesuatu yang biasa pada ketika itu. Di sinilah kisah berkaitan batu sumpah atau batu hidup Kimanis bermula melibatkan figura tempatan yang dikenali sebagai Datu Pulang. Menerusi penulisan Aszlan Selamat dari Universiti Malaysia Sabah gelaran Datu adalah dipengaruhi oleh Kesultanan Sulu yang merupakan pesaing kepada hagemoni empayar Kesultanan Brunei di Borneo satu masa dahulu.
Datu Pulang merupakan ketua rumah panjang bagi kampung Darat. Nama lama Kampung Brunei Kimanis satu masa dahulu. Satu konsep atau kod etika yang dipegang oleh masyarakat pada ketika itu seandainya ingin bertandang ke sesebuah kawasan perkampungan hendaklah melalui kawasan pintu masuk di hadapan kampung. Seseorang dianggap berniat untuk menceroboh atau menimbulkan huru-hara serta bersikap biadap sekiranya masuk ke kawasan kampung melalui laluan daripada belakang.
Penduduk kampung dalam kalangan lelaki dewasa sering beradu tenaga antara sesama sendiri bagi menunjukkan kegagahan masing-masing. Namun mereka akan pantas bersatu sekiranya perkampungan mereka diserang orang jahat yang dikenali sebagai ayau atau lanun. Kepala para penceroboh ini akan dipenggal dan seterusnya diletakkan di atas ampaian rumah panjang.
Upacara pemujaan dihadapan tengkorak musuh yang dikenali sebagai Kukui akan lazim dilaksanakan pada sebelah malam bertujuan bagi mengelakkan roh si mati daripada menganggu mereka. Sepanjang upacara tarian tradisi dikenali sebagai tarian tangugak dengan diiringi paluan kulintangan akan menjadi sebahagian daripada ritual persembahan.
Segalanya bermula apabila pada suatu hari penghuni rumah panjang kampung Darat turun mencari makanan di laut, sungai dan paya. Dikatakan pada hari itu mereka semua sepakat untuk tidak ke dusun atau sawah. Hanya anak-anak kecil ditinggalkan di rumah panjang. Malang tidak berbau, rumah panjang kampung Darat diserang sekumpulan ayau. Semua anak-anak kecil yang berada di rumah panjang ketika itu dibunuh kecuali seorang kanak-kanak perempuan yang sempat bersembunyi dan menjadi saksi pada kejadian itu.
Setibanya Datu Pulang dan anak-anak buahnya daripada mencari rezeki mereka sangat terkejut, sedih dan marah dengan kejadian yang menimpa rumah panjang mereka. Kanak-kanak perempuan yang terselamat daripada serangan ayau berkenaan segera menceritakan apa yang telah berlaku.
Berang dengan kejadian itu Datu Pulang seorang diri segera bertindak menuju ke kawasan perkampungan di sepanjang pesisir sungai, bermula dari kampung Kelatuan sehingga sejauh kampung Putatan untuk mencari mereka-mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan itu dan mengakkan keadilan menggunakan tangan beliau sendiri. Beliau menegah anak-anak buahnya daripada ikut serta.
Setelah beberapa lama Datu Pulang mengganas melunaskan dendamnya, akhirnya penghulu kampung Putatan mengarahkan tiga orang lelaki paling gagah daripada kampung beliau untuk menghentikan amukan Datu Pulang.
Mereka akhirnya berjaya menemui Datu Pulang dan perkelahian pun tercetus. Datu Pulang berjaya menewaskan ketiga-tiga lelaki berkenaan namun tidak membunuh mereka, malah beliau mengarahkan mereka untuk kembali ke kampung Putatan dan menyampaikan pesan kepada penghulu mereka untuk berdamai.
Sebaik pesanan itu tiba ke pengetahuan Datu Penghulu Putatan beliau segera menyetujuinya dan mengatur satu pertemuan dengan Datu Pulang. Datu Pulang mengusulkan perdamaian bukan sahaja melibatkan kampung mereka akan tetapi kesemua kampung yang berada di sepanjang tebing sungai.
Datu Penghulu Putatan juga diminta untuk menyediakan sebuah bongkah batu yang besar untuk ditanam di Kampung Darat Kimanis sebagai sebahagian daripada syarat perjanjian damai. Apabila tiba waktu dan hari yang dijanjikan sebuah bongkah batu sebesar sepemeluk dewasa dibawa dari kampung Putatan. Batu tersebut dimuatkan ke atas sebuah perahu dan dibawa ke kampung Darat Kimanis menerusi jalan laut.
Setibanya ke atas darat batu itu telah ditarik oleh seekor kerbau terpilih yang dikenali dengan nama si Gendang Perang. Kain dengan corak bunga telah dililitkan ke sekeliling batu berkenaan sebagai simbol perdamaian dan penghargaan ke atas perjanjian yang bakal dibuat.
Sebaik tiba ke lokasi yang ditetapkan orang ramai bahu-membahu bersama-sama memacakkan batu besar itu. Seorang penjenayah yang telah melakukan kesalahan besar telah ditangkap pada masa yang sama dan diikatkan pada bongkah batu berkenaan. Setelah orang kampung, ketua-ketua suku dan para pahlawan yang dikenali sebagai orang gagah berkumpul upacara sumpah perjanjian damai pun dimulakan.
Penghulu kampung Darat Kimanis, Datu Pulang mengetuai upacara itu. Semua yang hadir bersumpah tidak akan akan menganggu atau melakukan pembunuhan sesama mereka. Seandainya ada dalam kalangan mereka yang melanggar sumpah berkenaan darah mereka wajib ditumpahkan ke atas bongkah batu sebagai penebus bagi kesalahan mereka. Para ketua suku akan secara bergilir menikam pesalah itu sehingga mati.
Sebaik sumpah perjanjian selesai Datu Penghulu Pulang segera mengarahkan batu sumpah berkenaan “disuapi” dengan darah manusia yang telah melakukan kekejaman. Beliau telah memulakan upacara tersebut terlebih dahulu dengan mencabut keris nya dan menikam pesalah yang telah diikat pada bongkah batu. Perbuatan itu diikuti oleh ketua-ketua puak yang lain dan para orang gagah sehinggalah orang jahat itu menemui ajal. Dikatakan selepas daripada peristiwa itu permusuhan diantara puak sudah tidak wujud lagi. Sementara versi cerita yang lain pula mengatakan seandainya ada yang melanggar sumpah selepas itu hukuman seumpamanya akan dilakukan keatas mereka.
Sebelum meninggal dunia Datu Pulang sempat mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan berhampiran dengan batu sumpah atau batu hidup berkenaan. Jenazah beliau dikebumikan di dalam tajau besar seperti adat kebanyakan pribumi pagan Sabah yang diamalkan pada ketika itu.
Batu sumpah ini mendapat jolokan sebagai batu hidup apabila penduduk tmpatan mula perasan batu ini semakin tinggi dan membesar hari demi hari. Antara tahun 1945 sehingga 1946 bahagian atas batu itu pernah patah dengan sendirinya namun bahagian yang patah itu dikatakan ghaib sebelum secara misteri muncul di kampung Kabang. Seperti mana batu asal di kampung Brunei Kimanis batu di kampung Kabang itu juga turut tumbuh dan membesar dari masa ke semasa.
Menerusi beberapa cerita yang pernah sampai ke telinga penulis sendiri sewaktu zaman pendudukan Jepun ramai nyawa penduduk tempatan yang melayang di batu sumpah berkenaan lantaran dibunuh tentera Jepun. Kejadian itu dikatakan seakan menghina batu sumpah atau batu hidup yang hanya dialiri dengan darah penjenayah kejam satu masa dahulu. Walaupun kisah rakyat Kimanis yang satu ini tidak disokong dengan rekod bertulis daripada zamannya, namun kewujudan batu sumpah ini adalah bukti kisah ini pernah terjadi di tengah-tengah masyarakat Kimanis pada masa lalu walaupun kemungkinan terdapat beberapa penokok tambahan cerita selepas beberapa generasi berlalu.
Penduduk kampung Brunei Kimanis telah mengambil inisiatif dengan memperbaiki dan memulihara kawasan makam Datu Pulang dan Batu Sumpah. Malangnya seperti mana kawasan-kawasan yang dianggap keramat di negara kita, lokasi batu sumpah ini tidak terlepas daripada aktiviti-aktiviti berunsur syirik. Walahualam.
Sumber rujukan :
1) Amerika Syarikat di Kimanis, 1850-1875, Aszlan Selamat, Universiti Malaysia Sabah.
2) Sejarah Batu hidup Kampung Brunei Kimanis, Temuramah Bersama En. Mali Bin Haji Mokti. 80 tahun. Pencerita Utama. www.azmahnordin.blogspot.com . Diakses pada 14 Januari 2020
(http://ihsanmz.blogspot.com/…/sejarah-batu-hidup-kgbrunei-k…)