KUCHING DARURAT, 8 OGOS 1952
KUCHING DARURAT, 8 OGOS 1952
KITA mungkin sudah terbiasa mendengar darurat dilaksanakan ketika zaman Sarawak, Malaysia namun agak jarang kita mengetahui bahawa darurat pernah juga diistiharkan sewaktu pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British yang memerintah Sarawak dari tahun 1946 hingga 1963. Di dalam corat-coret kita menghayati sejarah gerakan komunisme di Sarawak, sebenarnya Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British turut pernah melaksanakan darurat hanya untuk Bahagian Pertama sahaja iaitu Kuching pada tanggal 8hb Ogos 1952.
Jika kita menyelusuri kronologi sebenar rentetan berlakunya darurat di Kuching pada tanggal 8 Ogos 1952 itu sebenarnya sudahpun bermula sejak di tahun 1951 lagi. Ianya adalah disebabkan adanya fahaman komunisme yang kian menular di sekolah-sekolah cina di Sarawak. Bagi membendung gejala ini terus berterusan, pihak Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British telah membuat pelbagai sekatan seperti menutup beberapa buah akhbar berbahasa cina di Sarawak malah turut mengharamkan beberapa buah buku yang diterbit dan dipasarkan kerana mempunyai unsur-unsur komunisme.
Walau bagaimanapun biar ada sekatan mahupun pengharaman ianya tetap masih lagi menular di kalangan pelajar-pelajar sekolah mahupun belia-belia kaum Cina di Sarawak. Rusuhan pertama yang begitu jelas berlaku adalah pada tahun 1951 yang mana menyaksikan pelajar-pelajar sebuah sekolah Cina di Kuching telah bertindak membuat rusuhan kerana membantah kehadiran seorang guru sejarah bernama Tu Naibing. Dikatakan Tu Naibing adalah seorang guru sejarah yang menjadi penyokong kuat Parti Guomintang di China manakala pelajar-pelajar lebih memuja komunisme.
Dek kerana tidak mahu menerima seorang guru yang berpaksikan Parti Guomintang maka pelajar-pelajar telah mengepung bilik guru besar iaitu Huang Zhongjun. Pihak sekolah telah meminta polis mendatangi sekolah bagi meredakan keadaan namun sayangnya permintaan polis untuk pelajar bersurai tidak diendahkan sehingga memaksa polis menembak gas pemedih mata. Tindakan polis ini telah menyebabkan kemarahan para pelajar sehingga mereka mengadakan demonstrasi selama 103 hari selepas kejadian tersebut.
Biar kejadian rusuhan ini berjaya diselesaikan di mahkamah dan menyebabkan pengetua sekolah dipecat dan guru sejarah dihantar pulang namun gejolak daripada pelajar cina pro-komunisme semakin menjadi-jadi sehingga menyebabkan Kerajaan Koloni Sarawak British terpaksa mengatur strategi bagi memastikan gerakan komunisme di dalam Sarawak mampu dibendung sebaik mungkin.
Dan apa yang menjurus kepada berlakunya pengistiharan darurat pada tahun 1952 adalah ada satu peristiwa yang berlaku tanggal 5 Ogos 1952 di Bazar Batu Kitang. Pada hari itu diceritakan ada tiga lelaki dan seorang wanita yang berpakaian askar berwarna “khaki” telah menaiki bas dan berhenti di Batu 26 Jalan Kuching/Serian. Kemudian mereka menuju ke Bazar Batu Kitang dan tatkala sampai sahaja dengan tidak semena-mena telah membuat tembakan secara rambang ke arah kedai-kedai yang beroperasi di Bazar Batu Kitang.
Kejadian serangan itu menyebabkan para peniaga dan juga pelanggan lari lintang pukang menyelamatkan diri dan bersembunyi di kedai-kedai. Tiga lelaki dan wanita itu terus menyerbu kedai-kedai yang tidak sempat menutup pintu kedai mereka dan mula membuat asakan kepada pemilik-pemilik kedai untuk meminjamkan mereka sejumlah wang. Ramai antara pemilik-pemilik kedai kerana ketakutan takut dibunuh dan sebagainya telah memberikan apa sahaja tunai dan barangan yang ada kepada tiga lelaki dan seorang wanita tersebut.
Yang menariknya adalah biar dipinjamkan secara paksa namun ketiga-tiga lelaki dan seorang wanita ini telah mencatatkan setiap tunai yang berjaya mereka kumpul berserta dengan cop bintang lima dan diberikan salinannya kepada pemilik-pemilik kedai yang mereka pinjam. Cop bintang lima adalah lambang kepada Sarawak Liberation Army yang merupakan sayap komunisme berakar umbi di sempadan Sarawak/Kalimantan.
Tembakan rambang dan pekedai diugut sudah tentu beritanya akan sampai jua di pendengaran Sarawak Constabulary yang mana menyaksikan mereka sudah mula membuat sekatan jalanraya di Batu 25 hingga Batu 27 Jalan Kuching/Serian pada hari yang sama. Tanpa diketahui oleh tiga lelaki dan seorang wanita dari Sarawak Liberation Army yang sedang menuju pulang ke Sanggau setelah “meminjam” wang di Bazaar Batu Kitang maka akhirnya menyebabkan mereka bertembung dengan anggota polis.
Dengan menggunakan beberapa orang awam yang menumpang bas yang sama sebagai tebusan, empat orang komunis ini telah menyerang anggota polis yang membuat sekatan jalanraya yang mana akhirnya menyebabkan seorang anggota polis terkorban iaitu Lans Koperal Natu dan dua lagi cedera parah. Biar penumpang lain telah diturunkan dan komunis membawa bas tersebut sehingga ke perbatasan dan seterusnya hilang di celah-celah hutan tebal di sempadan.
Terkesima dengan aksi berani komunis ini menyebabkan Kerajaan Koloni Sarawak British tiada pilihan selain mengistiharkan darurat di Kuching pada tanggal 8hb Ogos 1952 sepertimana yang termaktub di dalam Emergency Regulation 1952. Kesemua ini dilakukan bagi memastikan gerakan komunisme ini dihadapi dengan lebih teratur dan segala keperluan logistik serta kawalan kawasan sempadan boleh dilakukan dengan baik dan berkesan.
Inilah antara sejarah yang mungkin ramai antara kita sebagai generasi Sarawak yang baharu tidak mengetahuinya langsung. Yang biasa kita hadapi mungkin darurat jerebu tetapi untuk orang tua-tua kita mereka telah banyak hidup di dalam kesukaran sewaktu perintah darurat diisytiharkan. Hargailah keamanan yang kita kecapi sekarang.
Lest We Forget.
Rujukan:
1. Buku bertajuk “Borneo In The Cold War, 1950-1990”. Penulis Keat Gin Ooi
2. Kertas Kerja: Bab 3 Latar Belakang Politik Dan Masyarakat Sarawak, 1950-1962
http://studentsrepo.um.edu.my/1271/4/BAB3.pdf
The North Kalimantan Communist Party and The People’s of Republic of China
https://www.ide.go.jp/library/English/Publish/Periodicals/De/pdf/DE43_4_4.pdf