“IF WE WERE TO DIE, WE WOULD DIE FIGHTING” - SARJAN DATO’ DR. AWANG ANAK RAWENG -
NEGARA kita baharu kehilangan satu-satunya penerima Pingat George Cross di Malaysia iaitu Sarjan Dato’ Dr. Awang Anak Raweng pada tanggal 18 September 2020 yang lepas. Figura lagenda kepahlawanan anak Iban dari Sarawak ini menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah anaknya di Sri Aman akibat sakit tua. Mengenang jasanya yang tidak terhingga satu istiadat pengebumian Kerajaan Negeri Sarawak telah diberikan kepada Mendiang dan pada tanggal 21 September 2020, mendiang dikebumikan di Makam Pahlawan, Taman Budaya Kuching iaitu satu kawasan pemakaman yang dikhaskan untuk perwira-perwira anak Sarawak.
Mungkin ramai generasi baru masih tidak mengenal siapakah Awang Anak Raweng kerana amat sedikit penceritaannya mengenai Mendiang selama ke hari ini. Cerita kepahlawanan mendiang sebenarnya amat mengkagumkan kita semua kerana inilah individu yang berani melawan segerombolan komunis seorang diri. Apatahlagi kejadian itu berlaku nun jauh sebelum Negara Malaysia ditubuhkan iaitu ketika Sarawak mahupun Malaya masih lagi dibawah pemerintahan Koloni British.
Berdasarkan bukti dokumentasi ketenteraan, Awang Anak Raweng merupakan salah seorang daripada 484 orang penjejak Iban yang berkhidmat sewaktu Darurat Malaya berlangsung. Pada Disember 1950, Awang Anak Raweng telah memulakan perjalanannya ke Malaya dan mendapat latihan ketenteraan dibawah kendalian Tentera British. Usai tamat kursus ketenteraan, Awang telah diserapkan untuk menganggotai Rejimen Hutan Worcestershire dan Sherwood yang berpangkalan di Kluang, Johor.
Setahun berada di Johor banyak hutan-hutan di sekitar Johor yang sudah dijejakinya bersama rakan pasukannya. Namun peristiwa serang hendap komunis pada waktu pagi (sekitar jam 9.00 pagi) tanggal 27 Mei 1951 benar-benar menjadi saksi kejaguhan anak Iban Sarawak ini. Berdasarkan penceritaan lisan Mendiang sendiri di dalam satu akhbar sewaktu hidupnya menyatakan bahawa pada hari itu, beliau bersama 20 orang tentera pelbagai pangkat telah diarahkan untuk menjejaki komunis di satu lokasi hutan di Kluang, Johor. Tanpa mereka disedari segala gerakgeri mereka sebenarnya sudahpun diperhatikan oleh segerombolan komunis dengan kekuatan 50 orang pada masa itu.
Keberadaan mereka yang berada di kawasan rendah dan komunis pula berada di kawasan berbukit menyebabkan mereka menjadi sasaran mudah musuh. Serangan pertama daripada musuh telah menyebabkan tiga rakan seperjuangannya termasuk seorang pegawai berpangkat leftenan muda gugur di medan peperangan. Dengan amukan peluru bertali arus daripada musuh menyebabkan platunnya mereka berusaha untuk mencari tempat persembunyian bagi membalas serangan. Sebahagian daripada mereka telah berundur untuk mendapatkan bantuan dan dikala itulah Awang ditinggalkan sendirian bersama-sama dengan yang cedera.
Biar Awang telah berjaya mendapatkan lokasi persembunyian yang strategik untuk beliau berbalas tembakan namun tatkala melihat rakan-rakannya yang cedera masih lagi boleh menjadi sasaran mudah musuh, Awang nekad keluar daripada lokasi persembunyiannya dan berjaya menarik seorang tentera bernama Private Griff Hughes. Ketika hendak menyelamatkan rakannya itulah, Awang telah terkena tembakan musuh tepat ke bahagian pangkal paha dan lengan.
Melihat situasi yang genting itu dengan Private Griff sendiri cedera parah di kaki mana mungkin beliau mampu untuk bergerak terus dan dikala itulah dikatakan Griff meminta Awang meninggalkannya sendirian. Namun rayuan daripada rakannya itu langsung tidak diperdulikan oleh Awang sebaliknya beliau terus nekad untuk mempertahankan rakan-rakannya yang cedera biar berdepan dengan musuh seorang diri. Dikala itulah menurut penceritaan lisannya menyatakan bahawa beliau berkata kepada Private Griff, “jika kita ditakdirkan mati, kita mati berjuang” (if we were to die, we would die fighting) yang menyebabkan rakannya tidak mampu lagi berkata apa-apa.
Bagi memastikan pihak musuh tidak mengetahui bahawa kekuatan platunnya sebenarnya sudah kurang, Awang dengan kudrat yang ada telah berbalas tembakan sendirian dengan segerombolan musuh. Kehabisan peluru pada senapangnya tidak menjadi persoalan kerana beliau telah mengutip senapang-senapang dan bom-bom tangan daripada rakan yang mati dan cedera parah untuk beliau gunakan sendiri. Bayangkan beliau berperang seorang diri melawan musuh yang ramai bukan dalam jangkamasa lima atau 10 minit sebaliknya 40 minit. Mungkin pada fikiran musuh pada masa itu, platun Awang masih lagi ramai menyebabkan mereka berundur hanya selepas 40 minit.
Biar musuh sudah meninggalkan Awang bersama rakan-rakannya yang cedera dan mati di medan peperangan namun Awang tetap tidak meninggalkan lokasi sebegitu sahaja. Setelah enam jam menunggu dan beliau berkawal siaga seorang diri baharulah bantuan sampai ke lokasi Awang dan rakan-rakannya.
Atas keberanian dan kesetiaan Awang Anak Raweng pada tanggal 27 Mei 1951 di hutan Kluang, Johor inilah menyaksikan Awang dikurniakan oleh Ratu Elizabeth II dengan Pingat George Cross beberapa bulan selepas peristiwa itu pada usia Awang hanya 19 tahun. Pingat George Cross adalah pingat terhormat tertinggi di dalam sejarah British yang dan ianya setaraf dengan Pingat Gagah Berani yang dikurniakan oleh Negara Malaysia sekarang. Selain daripada PGC, Awang turut menerima Queen Elizabeth II Coronation, Silver, Golden and Diamond Jubilee Medals. Sepanjang beliau masih hidup, Awang telah beberapa diterbangkan ke London atas jemputan Istana Buckingham untuk menghadiri majlis reunion di sana.
Di pihak Negara Malaysia pula, Awang yang merupakan anak Iban kelahiran Nanga Skrang, Sri Aman, Sarawak menerima Pingat Jasa Malaysia dan Kerajaan Sarawak telah mengurniakan gelaran Dato’ pada tahun 2018 bagi mengenang jasanya yang tidak terhingga kepada Sarawak dan Negara Malaysia. Mendiang sebagai figura lagenda kepahlawanan penjejak Iban di zaman darurat Malaya telah dianugerahkan “The Honorary Master’s Degree In Strategic Studies” yang membawa gelaran Doktor Kehormat pada namanya oleh Universiti Pertahanan Malaysia pada tahun 2015.
Artikel ini diabadikan buat semua anak Malaysia untuk terus menghormati dan mengenang jasa-jasa perajurit kita baik semasa Malaysia belum dibentuk dan sekarang. Nama Mendiang Sarjan (B) Dato’ Dr. Awang Anak Raweng belum lagi tercatat di dalam buku sejarah Malaysia walau kisah kepahlawannya diakui dunia. Lihatlah sahaja berita kematiannya menjadi tajuk utama berita di UK seperti UK Telegraph dan sebagainya.
Sebagai anak Sarawak dan rakyat Malaysia, penulis merasakan adalah perlu untuk kisah perjuangan Mendiang diajar dan diketahui kepada semua anak bangsa kita. Jasa dan budi Mendiang Awang Anak Raweng tiada taranya dan akan terus dikenang sepanjang zaman.
Rest In Peace, Sir.
Sumber:
The Star, 30 October 2014 by James Ritchie - Awang Raweng, The Forgotten Hero
The Borneo Post, 20 January 2013 by Churchill Edward - The Forgotten War Hero
Berita Harian, 13 Oktober 2018 oleh Harun Yahya - Sarawak Iktiraf Pengorbanan 3 “Bujang Berani”
Vat 69 - Perjuangan Semalam, 25 Ogos 2015 - Pahlawan Iban Trackers: Awang Raweng Lawan Komunis Seorang Diri
VC GC Association, Awang Anak Raweng