MERAIKAN PERSAMAAN DI DALAM PERBEZAAN BAHASA KAUM BIDAYUH SARAWAK
BERASAL dari kaum yang sama tidak semestinya mempunyai bahasa atau dialek yang sama malah kadang-kala ada antara kaum Bidayuh tidak memahami dialek yang dipertuturkan oleh saudara seBidayuh mereka. Inilah antara keistimewaan yang menjadikan bahasa dan dialek kaum Bidayuh di Sarawak terlalu unik yang menyaksikan ramai yang BUKAN ORANG SARAWAK tidak memahaminya.
Seperti mana-mana kaum di Sarawak, orang Bidayuh juga mempunyai sejarah mereka tersendiri yang berkaitrapat bagaimana wujudnya perbezaan dialek yang dipertuturkan. Menurut (Minos, 2000:4) kaum Bidayuh merupakan antara kaum yang terawal berhijrah di tanah Sarawak. Perlulah diingatkan suatu waktu dahulu tiada namanya wilayah sempadan negara dan yang kita ketahui hanyalah satu tanah di pulau yang sama. Jadi adalah tidak mustahil jika ada yang berhijrah dari tanah asal mereka ke tempat yang lain dan begitulah juga kaum Bidayuh yang berasal dari Gunung Sungkung yang sekarang terletak di wilayah Kalimantan, Republik Indonesia.
Bagi kaum Bidayuh pada masa itu mempunyai dua aliran migrasi yang mana pertama kalinya berlaku lebih 20 generasi sebelum Gunung Krakatau meletus pada tahun 1884. Migrasi yang pertama dilakukan oleh Tirauh dan Padat yang menuju ke arah barat Pulau Borneo dan mendatangi kawasan bergelar Rabak Mikabuh sekitar tahun 373 Masihi. Mereka menggelar diri mereka sebagai Dayak Puruh dan bahasa mereka dikenali “Piminyu Puruh”.
Selepas insiden yang menyaksikan putera Padat dibunuh oleh Tirauh, Tirauh telah membawa orang-orangnya untuk berpindah ke Semaru dan menggelar diri mereka sebagai Dayak Benah. Manakala Padat pula mendatangi kawasan bernama Rabak Rutoi dan disinilah mereka menggelar diri mereka sebagai Dayak Bisudong. Untuk kumpulan Titis dan Ringah membentuk kumpulan Bukar Sadung dan menggelar diri mereka sebagai Dayak Bibukar. Yang berpindah ke Gunung Muwan dan mendiami kawasan Peniau iaitu kumpulan Situtun dan Sititi menggelar diri mereka sebagai Dayak Sikaruh.
Kumpulan Bari yang berpindah ke Bung Jagoi dan Tagung Minangar yang berpindah ke Pung Jagoi telah menamakan diri mereka sebagai Dayak Bijagoi. Untuk Tagung Mengiang yang membuka satu perkampungan bernama Kupo Singai menggelar kumpulan mereka sebagai Dayak Bisingai. Undu yang berpindah ke Rabak Binawa (Landeh) telah mengembara sehingga ke Gunung Gading dan membuka satu penempatan di kawasan Ladan lantas menggelar diri mereka sebagai Dayak Bilundu.
Itu merupakan migrasi pertama manakala migrasi kedua pula menurut (Alice:1997:27-32) tidak dapat dijejaki bilakah pula namun yang pasti ianya adalah satu perpindahan yang berterusan. Kumpulan daripada migrasi kedua ini kebanyakan daripada mereka menetap di Senakan (Kujang Mawang) dan Kenda’ii. Mereka inilah yang menggelar diri mereka sebagai Dayak Lara dan yang mendiami di Poui menamakan diri mereka sebagai Dayak Selako.
Jadi adalah tidak menghairankan sekiranya kaum Bidayuh itu tidaklah berada di seluruh Sarawak sebaliknya hanya tertumpu di Kuching, Serian, Bau dan Lundu.
Menurut (Alice, 1997:31-32) sistem pertuturan Kaum Bidayuh dibahagikan kepada empat iaitu:
i. Piminyu Bukar Sadong atau bahasa Bidayuh Bukar Sadong;
ii. Piminyu Bipuruh/Biatah atau bahasa Bidayuh Biatah;
iii. Piminyu Bau-Jagoi atau bahasa Bau-Jagoi;
iv. Piminyu Selako-Lara atau bahasa Selako-Lara.
Dan disini juga bila kita berkata mengenai Piminyu Selako-Lara yang dihimpun menjadi bahasa Bidayuh, menurut (Kroeger, 1998) ianya adalah dua bahasa yang berbeza kerana bahasa Selako dikategorikan sebagai bahasa Malayic Dayak manakala bahasa Lara pula adalah bahasa Bakati yang dipertuturkan di Kalimantan, Indonesia.
Oleh kerana ada pakar bahasa turut sama menyatakan bahawa bahasa Selako-Lara itu adalah salah satu dialek Melayu maka (Kroeger, 1998) mengkelaskan hanya ada tiga sahaja pembahagian bahasa Bidayuh iaitu Bau-Jagoi, Bukar-Sadong dan Biatah. Dan menurut Lam (1986;823) turut senada iaitu bahasa Bidayuh hanya dikategorikan kepada tiga sahaja iaitu Bidayuh Biatah (Penrissen-Padawan), bahasa Singhi (Bau, Lundu dan sempadan Kalimantan), Bukar Sadong (Serian, Sadong dan sepanjang Jalan Tebakang hingga ke Tebedu).
Keunikan bahasa Bidayuh secara keseluruhannya adalah sangat istimewa kerana perkataan akarnya bukan diperoleh atau berasal daripada mana-mana dialek kecuali dialek Selako yang mempunyai sedikit kesamaan dengan Bahasa Melayu Sarawak menurut (Chang, 2002; James, 2003). Menurut Chang (2002), Bidayuh dialek Bukar Sadong di Daerah Serian terdiri daripada 10 kumpulan suku berdasarkan perbezaan atau kelainan dari segi sebutan, percakapan dan bunyi. Kesepuluh kumpulan tersebut terdiri daripada kumpulan Bukar, kumpulan Sambat, Kumpulan Mentu, kumpulan Sumpas, Kumpulan Temong, Kumpulan Taup, Kumpulan Engkeroh, kumpulan Riih, kumpulan Gahat atau Semabang dan kumpulan Suntas.
Dari aspek konsep, adalah difahami bahawa letak duduknya bagaimana berlakunya perbezaan bahasa/dialek Kaum Bidayuh di Sarawak adalah disebabkan oleh mereka ingin membentuk identiti tersendiri berlainan sama sekali sewaktu berada di Gunung Sungkung dahulu. Corak penempatan dan kebudayaan mereka turut sama mempengaruhu bahasa yang dipertuturkan yang menyaksikan adakalanya walau sama Bidayuh tidak semestinya mampu bertutur bahasa yang sama malah baju tradisi dan adat warisan turut mempunyai sedikit kelainan.
Namun begitu Kaum Bidayuh di Sarawak tetap meraikan persamaan di dalam perbezaan bahasa mereka bagi memastikan kaum Bidayuh kekal dan terus kuat sebagai kaum dayak di Sarawak dari aspek sosial, ekonomi mahupun politik.
Kredit Teaser Artikel: “Bidayuh Beauty In The Long House” by Aaron Sim
Sumber rujukan:
1. Kertas kerja: Tingkat Kekerabatan Bahasa Bidayuh di Sarawak oleh Noriah Mohamed dan Hamidah A bdul Wahab
file:///C:/Users/User-Pc/Desktop/2-Tingkat-Kekerabatan-Bahasa-Bidayuh-di-Sarawak.pdf
2. Bahasa Bidayuh di Persimpangan oleh Ahi Sarok
https://www.academia.edu/9228859/Bahasa_Bidayuh_di_Persimpangan?auto=download
Masyarakat Bidayuh Oleh Ahi Sarok
https://www.academia.edu/9229057/MASYARAKAT_BIDAYUH