top of page

KOLAM AIR PANAS TAWAU, SABAH


RAMAI sebenarnya yang tidak tahu bahkan orang Sabah sendiri bahawa wujudnya beberapa buah kolam air panas di daerah Tawau, Sabah.

Dikatakan kolam-kolam air panas ini baru sahaja terbentuk dalam tempoh lebih kurang 100 tahun yang lalu. Asalnya merupakan kawasan terbiar akan tetapi baru sahaja dibangunkan dalam beberapa tahun ini.

Suhu di antara kolam-kolam yang terdapat di sini juga berbeza di antara satu sama lain. Bermula daripada 30 darjah sehingga 60 darjah Celsius.

Pada bahagian pintu masuk kawasan kolam air panas ini anda akan disambut dengan pokok-pokok renek yang ditanam dengan corak 1Malaysia (seandainya masih ada).

Letaknya juga agak strategik kerana di samping para pengunjung boleh bersantai merehatkan minda sambil menikmati kehangatan kolam air panas semulajadi, mereka juga mampu menikmati keindahan panorama dan udara segar hutan hujan tropika tanah rendah yang menghiasi landskap di sekeliling mereka. Lokasi kolam air panas Tawau ini juga terletak tidak jauh daripada lokasi tarikan riadah terkenal Tawau, Tawau Hills Park yang menempatkan "cebisan hutan semulajadi" Tawau dan khazanah berharga negara, antara empat pokok tertinggi di dunia menerusi kategori pokok hutan dan yang tertinggi di dunia menerusi kategori pokok hutan tropika.

Menerusi kajian yang dilakukan pada tahun 2018 di bawah kelolaan pihak Taman-Taman Sabah dan Tawau Hills Park pokok yang dikenali dengan nama Seraya Kuning Siput itu dikatakan memiliki ketinggian 96.9 meter dan pihak pengurusan Tawau Hills Park optimis akan ada penemuan pokok tertinggi dunia di taman berkenaan yang mampu memecahkan rekod yang dipegang pokok dari spesies red pine wood di Amerika Syarikat pada ketika ini. Salah satu kelebihan yang dimiliki Sabah adalah tanah jenis volcanic yang terendap selama ribuan tahun menghasilkan kawasan hutan hujan yang padat dan subur sekaligus menjadi medium yang sesuai untuk pertumbuhan pokok-pokok tertinggi di dunia. Untuk rekod setakat ini Sabah mencatatkan penemuan 50 pokok bagi kategori hutan antara yang tertinggi di dunia.

Bagi pengunjung beragama Islam, elakkan terjebak dengan perkara-perkara yang berunsur syirik atau khurafat kerana kolam-kolam air panas ini turut mendapat kunjungan daripada beberapa pihak yang percaya dengan melakukan beberapa ritual tertentu ia mampu mengabulkan hajat mereka seperti melemparkan duit syiling ke dalam kolam air panas dan sebagainya.

Lokasi kolam air panas ini juga terletak tidak jauh daripada bandar Tawau dengan jarak sekitar lapan kilometer sahaja. Namun sekiranya ada yang berhasrat untuk meneroka denai-denai hutan yang berhampiran anda tidak digalakkan untuk berbuat demikian sewaktu musim hujan sedang melanda negara ketika ini. Senantiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkenaan, sekiranya faktor keselamatan menjadi taruhan, adalah lebih baik bagi anda untuk membatalkan hasrat berkenaan.

Tiket masuk bagi setiap orang dewasa adalah RM 10 sementara kanak-kanak pula sebanyak RM 5 setiap seorang.

Musim cuti sekolah dan perayaan pastinya akan menyaksikan lokasi ini padat dengan pengunjung. Pastikan barang-barang berharga anda senantiasa disimpan dalam keadaan baik dan selamat.

Boleh lah jenguk-jenguk pautan berikut untuk pemahaman lanjut.

https://m.youtube.com/watch?v=SMIu26LNReE

https://www.tempatmenarik.my/kolam-air-panas-tempat-menari…/

https://www.sinarharian.com.my/…/kolam-air-panas-tawau-mula…


-SAM-


bottom of page