top of page
BORNEO ORACLE
Dari Meja Penulis Borneo Oracle
Haslina Bujang nama diberi dan itulah nama pena yang digunakan di dalam setiap penulisannya iaitu "HB". Anak jati Sarawak Bumi Kenyalang ini dilahirkan pada tanggal 3hb Mac 1973 di Kampung Lumba Kuda, Kuching, Sarawak. Merupakan anak tunggal di dalam keluarganya dan sejak dari kecil lagi sudah dididik dengan menjunjung adat dan warisan Melayu Sarawak.
Mendapat pendidikan sekolah rendah di Padungan Elementary School sehingga ke Darjah 6 dan seterusnya mendapat pendidikan sekolah menengah sehingga ke Tingkatan 3 di SMK Lumba Kuda, Kuching. Atas kecemerlangan Sijil Rendah Pelajaran akhirnya beliau berjaya terpilih untuk memasuki sekolah berprestij tinggi di Sarawak yang gah namanya melahirkan cendiakawan anak Sarawak iaitu Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.
Latar pendidikannya adalah di dalam bidang Kejuruteraan Awam Dan Pembinaan serta Kejuruteraan Teknologi Automotif dari 2 buah institusi pengajian awam di Malaysia, namun begitu itu tidak bermakna beliau akan memencilkan dirinya di dalam bidang teknologi perindustrian. Sebaliknya minat beliau yang amat mendalam di dalam bidang sejarah lebih-lebih lagi sejarah Sarawak khususnya dan apa juga mengenai Borneo telah memungkinkan hampir 99% penulisan yang menjadi penghias di Borneo Oracle adalah hasil kajian, penyelidikan dan pembacaan penuh fokus daripada beliau.
Sekarang penulisan-penulisan HB banyak mewarnai portal-portal rasmi kerajaan dan juga sebuah lagi gabungan penulis indie Malaysia yang dikenali sebagai The Patriots. Malah hasil tulisan HB juga turut dibukukan melalui buku Kitab Tamadun Melayu yang sudah dipasaran sejak Julai 2015 Terbitan TP Press, KL. Setiap artikel penulisannya diikuti oleh ramai follower yang bukan sahaja mencakupi Malaysia malah juga di Singapura dan Brunei.
Pernah bertugas sebagai seorang penjawat awam di sebuah majlis kerajaan tempatan di Kuching sebelum memulakan langkah berhijrah untuk mencari karier yang lebih mencabar di ibukota Kuala Lumpur, Haslina Bujang sekarang bertugas sebagai salah seorang staff teknikal di salah sebuah syarikat 100% bumiputera yang telah beroperasi di Lembah Klang iaitu salah satu pembekal/vendor kepada kesemua industri automotif yang ada di Malaysia sekarang.
Walaupun masih berkelana di bumi "orang" namun hatinya, jiwanya, rohnya adalah hakmilik kekal kepada tanahairnya Sarawak Bumi Kenyalang.
bottom of page