top of page

SEJARAH RENJER SABAH


INDONESIA dibawah pentadbiran Sukarno secara tegas dan gencar menentang muafakat pembentukan Malaysia yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman. Sehubungan dengan itu dasar konfrontasi dengan slogan “Ganyang Malaysia” baik menerusi kempen ketenteraan mahupun hubungan diplomatik antara keduanya dilancarkan sebagai satu bentuk penzahiran kepada penentangan tersebut.

Kempen “Ganyang Malaysia” akhirnya tercetus pada tanggal 27 Julai 1963, pendaratan tentera dan sukarelawan perang Indonesia di Johor dan Borneo Utara serta banyak lagi insiden-insiden yang berlaku sepanjang tempoh 33 bulan yang berakhir pada tahun 1966 menunjukkan pemerintahan Sukarno bukan sekadar petah berpidato mengapi-apikan semangat nasionalisme bangsa Indonesia pada masa itu tetapi juga turut membuktikan kata-kata mereka menerusi tindakan ketenteraan yang agresif.

Namun demikian disebalik semua halangan berkenaan Persekutuan Malaysia akhirnya tetap berjaya dibentuk pada 16 september 1963 melibatkan semenanjung Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak walaupun terdapat beberapa ancaman diterima melibatkan kedaulatan negara muda tersebut. Isu keselamatan merupakan antara salah satu isu paling utama yang mendapat perhatian pada ketika itu lebih-lebih lagi melibatkan Sabah dan Sarawak yang bersempadan secara langsung dengan Kalimantan yang merupakan sebahagian daripada Wilayah Negara Kesatuan Republik Indonesia.

Sehubungan dengan itu serentak dengan hari pembentukan Malaysia satu lagi detik bersejarah tercipta buat Negeri Di Bawah Bayu apabila pasukan keselamatan khas Sabah atau dikenali sebagai Renjer Sabah yang berkhidmat di bawah Renjer Malaysia ditubuhkan pada tarikh yang sama. Pada 24 September 1963, lapan hari setelah pembentukan Persekutuan Malaysia, seramai 119 orang anak-anak jati Negeri Di Bawah Bayu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama telah dipilih oleh British bagi menyertai battalion ini semata-mata atas satu niat suci dan murni bagi mempertahankan tanah air tercinta daripada ancaman komunis yang semakin bermaharajalela pada masa itu. Mereka seterusnya dihantar ke Pusat Latihan Rekrut Askar Gurkha di Sungai Petani, Kedah pada 28 September 1963 bagi menjalani latihan.

Sempena meraikan ulang tahun pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 2016 yang lalu kolum media Berita Harian menerusi penulisan saudari Poliana Rodie Sidom telah berkongsi pengalaman salah seorang daripada rekrut pertama Renjer Sabah ini yang masih hidup untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dan aspirasi beliau bersama-sama rakyat Malaysia yang lain.

Beliau yang hanya dikenali sebagai Abdullah, berasal daripada Tandek, Kudat dan telah berusia 75 tahun pada tarikh temuramah dilakukan berkata pada masa itu gaji seorang renjer Sabah hanya sekitar RM 60 sebulan. Malah beliau turut membuat pengorbanan yang cukup besar apabila terpaksa meninggalkan isteri yang sedang sarat mengandung demi mempertahankan kedaulatan negara. Namun semua itu tidak sedikit pun mematahkan semangat juang beliau.

Antara pertempuran yang sukar dilupakan oleh beliau sepanjang 15 tahun mencurahkan khidmat bersama pasukan itu adalah sewaktu beliau ditugaskan dalam satu operasi di Bau, Kuching, Sarawak. Pada masa itu beliau dan rakan-rakan anggota yang lain telah diarahkan mengejar sekumpulan pengganas komunis yang telah menyerang dan merampas senjata sekumpulan anggota renjer sewaktu mereka sedang menghantar bekalan untuk pasukan. Untuk makluman pembaca sekalian sekitar tahun 1968, Parti komunis Kalimantan Utara atau lebih dikenali sebagai PARAKU telah dihidupkan semula di bawah kepimpinan Bong Kee Chok dan kembali menimbulkan kekacauan di Sarawak. Inilah yang seterusnya membawa kepada penubuhan Rejang Area Security Command atau singkatannya RASCOM pada 26 Mac 1972.

Mereka seramai 20 orang anggota termasuk saudara Abdullah sendiri meredah hutan sekitar kampung Perian di daerah Lundu dengan tekad menumpaskan pasukan pengganas yang telah berjaya membunuh seramai 15 orang anggota renjer termasuk dua orang rakan karib beliau sendiri dan mencederakan 10 orang anggota yang lain dalam kejadian pada bulan Mac 1972.

Pertempuran tidak dapat dielakkan apabila mereka bertembung dengan kumpulan pengganas yang diburu. Selama lima jam berbekalkan semangat juang yang tinggi dengan slogan kata-kata semangat Renjer Sabah dalam bahasa Kadazan “Osiou Oh kamanang” bermaksud siapa berani mereka menang maka kemenangan akhirnya benar-benar berpihak kepada mereka apabila berjaya menumpaskan pihak musuh selain menembak mati dua orang daripada mereka. Sungguhpun salah daripada rakan mereka mengalami kecederaan. Mereka turut berjaya merampas kembali senjata dan radio yang telah diambil oleh pihak komunis.

Kejayaan operasi mereka di Lundu mendapat penghargaan daripada kerajaan negeri Sarawak apabila mereka dianugerahkan dengan pingat Ahli Bintang Sarawak. Sewaktu konfrontasi mencapai kemuncaknya pada tahun 1965 Abdullah turut pernah dihantar bertugas di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatek yang terletak di bawah pentadbiran daerah Tawau.

Walaupun telah lebih 40 tahun berlalu akan tetapi kenangan sepanjang 15 tahun berkhidmat di dalam battalion Renjer Malaysia masih segar dalam ingatan. Saudara Abdullah sempat menitipkan pesan buat generasi muda negara khususnya yang sedang berkhidmat sebagai anggota keselamatan negara agar melaksanakan tugas dengan ikhlas dan jangan sesekali mengharapkan ganjaran diatas pengorbanan yang sedang dilakukan.

PENUTUP.

Kisah saudara Abdullah hanya sekelumit daripada rentetan perjuangan panjang yang terpaksa ditempuh oleh negara ini untuk memperolehi pencapaian seperti yang dapat kita saksikan pada hari ini. Dalam kita selesa menjalani kehidupan seharian tidak salah andai kita berhenti sejenak dan mengenang kembali jerih-perih generasi terdahulu dalam memperjuangkan nasib anak cucu mereka di kemudian hari.

Foto ehsan daripada Berita harian.

Rujukan :

1. “Osiou Oh Kamanang”, Bakar Semangat Juang Renjer Sabah, Polliana Ronnie Sidom, 19 September 2016, Berita Harian (https://www.bharian.com.my/node/193973)

2. Konfrontasi Malaysia dan Indonesia : Penyelesaian melalui pendekatan Malaysia, Nurliana Suhaini dan Khairunnisa Abdul Karim, Kolej university Islam Melaka, Jurnal Sains Sosial, Malaysian, Journal of Social Science, Jilid 1 2016: 74-94

3. Sejarah Ancaman Komunis di Bumi Sarawak, Borneo Oracle, 2014 (https://m.facebook.com/…/a.449424688437754/752069764839910/…)


bottom of page