top of page

DOLPHIN OF SARAWAK


DOLPHIN OF SARAWAK

Dolphin Of Sarawak!!! Tajuk artikelnya sudah tentu mengejutkan banyak pihak termasuk bangsa Sarawak sendiri yang tidak begitu mengenalinya. Ya sebenarnya telah diketahui di seluruh dunia bahawa di Sarawak Bumi Kenyalang sendiri terkenal dengan jenis ikan lumba-lumbanya yang unik dan antara spesis ikan lumba-lumba yang terancam dan dilindungi mengikut laporan pada tahun 2008 World Convention Union Red List of Threatened Species. Dan sebagai mengambilkira betapa berharganya ikan lumba-lumba di Sarawak ini di perairan Sarawak maka ianya juga disenaraikan sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998.


Bagi nelayan-nelayan dan penduduk di sekitar kawasan habitat ikan lumba-lumba ini seperti di kawasan perairan Sungai Sarawak khususnya di Santubong, Sungai Rajang, sungai Saribas, muara Sematan, Bako, Muara Tebas, Bintulu, Lawas dan Kuala Paloh, mungkin sudah biasa melihat kelibat sekumpulan ikan lumba-lumba ini berenang dengan riang di perairan mereka dan di kawasan inilah sebenarnya yang menjadi tarikan kepada pelancong sehingga memungkinkan adanya pakej pelancongan yang diadakan semata-mata untuk melihat ikan lumba-lumba ini di Sarawak.


Sebenarnya mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak yang berwajib di Sarawak terdapat hanya empat spesis ikan lumba-lumba yang menjadikan perairan Sarawak sebagai habitat penghidupannya. Ianya adalah dari jenis Irrawaddy (Orcaella brevirostris), Indo-Pacific bottlenose dolphin (Tursiops Aduncus), Indo-Pacific humpback dolphin (Sousa Chinensis) dan Finless Porpise (Neophocaenia Phaceanoides) yang pernah kelihatan di perairan Sarawak. Namun begitu di dalam keempat-empat jenis ikan lumba ini dikatakan hanya daripada spesis Irrawaddy (Orcaella Brevirostis) yang paling banyak mendominasi perairan Sarawak sehingga memungkin spesis ini juga dikenali sebagai Dolphin of Sarawak.


Jenis ikan lumba-lumba Irrawaddy (Orcaella Brevirostris) ini mengikut sejarahnya hanya ditemui pada tahun 1866 oleh seorang pakar hidupan laut iaitu Sir Richard Owen di sebuah sungai di Myanmar suatu waktu dahulu iaitu sebuah sungai yang bernama Sungai Irrawaddy dan kerana itulah ianya dinamakan Irrawaddy bersempena dengan nama sungai tersebut. Seperti ikan lumba-lumba yang lain yang mempunyai sifat pemalu begitulah juga dengan spesis ikan lumba-lumba Irrawaddy. Namun begitu dikatakan bahawa hanya spesis ikan lumba-lumba Irrawaddy ini yang dikatakan agar jinak dengan manusia. Jadi tidaklah menghairankan sekiranya ikan lumba-lumba di Sarawak ini sering kelihatan mengiringi bot-bot nelayan di kawasan habitatnya.


Umum mengetahui bahawa sudah menjadi kebiasaan kepada ikan lumba-lumba untuk berenang di dalam kumpulan yang kecil iaitu antara 2 hingga ke 6 ekor sahaja tetapi di Sarawak sesuatu yang diluar kebiasaan apabila ikan lumba-lumba ini akan bergerak di dalam kumpulan melebih 10 ekor dan pernah dicatatkan ianya bergerak di dalam kumpulan seramai 30 ekor. Ikan lumba-lumba ini akan bergerak perlahan-lahan seperti menari mengikut irama alam yang lembut dan warna juga agak berbeza-beza daripada kelabu putih sehingga ke kelabu gelap bagi yang sudah dewasa. Berat mereka juga boleh mencecah antara 90 hingga ke 150 kg dan kepanjangan badan boleh antara 2.1 hingga ke 2.6 meter. Inilah antara bentuk fizikal ikan lumba-lumba Irrawaddy yang seakan-akan ikan beluga bentuknya.


Keberadaaan ikan lumba-lumba di Sarawak khususnya di kawasan perairan seperti Bako, Sematan dan tempat yang lain di Sarawak adalah kerana di perairan tersebut kaya dengan hasil hidupan laut seperti ikan, udang dan sotong yang menjadi makanan mereka. Di samping mengapa mereka sering mengiringi bot-bot nelayan adalah kerana ikan lumba-lumba ini hanya ingin mendapatkan menu makanan mudah kerana bagi nelayan-nelayan yang menggunakan pukat sudah tentu akan membuang semula ikan-ikan kecil ke laut dan itulah makanan mudah bagi mereka tanpa perlu berpenat-lelah menangkapnya di dasar laut.


Inilah antara satu lagi keunikan yang ada di Sarawak iaitu melalui Dolphin of Sarawak yang sememangnya antara yang mengamit pelancong untuk berkunjung ke Sarawak. Sesungguhnya kita sebagai bangsa Sarawak khususnya harus memulihara penghidupan marin ini agar terus ada di bumi Sarawak. Janganlah sesuka hati mengamalkan penangkapan ikan yang terlarang seperti dengan cara pengeboman lautan mahupun dengan menggunakan penangkapan ikan elektrik yang sudah tentu akan memusnah mereka. Dan kita harus sentiasa mencintai sungai kita agar terus bersih tanpa sampah sarap yang berkemungkinan besar dianggap ikan lumba-lumba ini sebagai makanan mereka.

Pada mereka yang ingin melihat keriangan ikan lumba-lumba ini berenang di perairan Sarawak, segeralah singgah ke mana-mana penawar pakej pelancongan di Sarawak. Mengapa harus pergi jauh-jauh seperti ke St Lawrence River, Quebec yang terkenal dengan kehidupan mamalia marin ini sedangkan di Sarawak sudah ada malah pakej pelancongannya murah dan berkemampuan untuk semua.


Lan Berambeh Ke Sarawak!


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page