EKSPEDISI KAYAN 1863
EKSPEDISI KAYAN 1863
Di dalam kronologi sejarah berdirinya sebuah Negara yang bernama Sarawak Kingdom yang diperintah selama 100 tahun oleh Dinasti Keluarga Brooke telah menyaksikan banyaknya ekspedisi atau perang yang dilancarkan ke kawasan pedalaman suatu waktu dahulu. Salah satu di dalam rentetan sejarah Sarawak Kingdom itu adalah satu ekspedisi yang dinamakan Ekpedisi Kayan 1863.
Sekitar tahun 1863, satu pembunuhan telah berlaku kepada kakitangan berbangsa Eropah pentadbiran Sarawak Kingdom iaitu Mr Fox and Steel dilakukan oleh Sawing, Tani dan Skalai. Pembunuhan ini telah menimbulkan berang Rajah Brooke pada masa itu sehingga beliau mengarahkan Tuan Muda Anthony Brooke untuk membuat satu ekspedisi ke Skrang bagi memburu Sawing, Tani dan Skalai. Ianya menjadi Ekpedisi Kayan kerana pada masa itu dikatakan Sawing, Tani dan Skalai telah mendapat perlindungan daripada masyarakat Kayan dan Kejamans di Rajang.
Bagi Rajah Brooke sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan pembunuh kakitangan pentadbiran Sarawak Kingdom adalah musuh Rajah Brooke jadi memerangi masyarakat Kayan dan Kejamans adalah perlu bagi memastikan Sawing, Tani dan Skalai diserahkan untuk diadili mengikut undang-undang. Maka bermulalah satu ekspedisi sejarah ini yang dimulai dengan Tuan Muda Anthony Brooke, anak saudara Rajah Brooke memohon pertolongan daripada anak tempatan bagi membantu mereka di dalam pemburuan Sawing, Tani dan Skalai.
Ekspedisi ini dimulai dengan Tuan Muda telah singgah ke Kubu Betong bagi menemui Penolong Residen Betong pada masa itu iaitu Encik Watson. Encik Watson telah diarahkan untuk berjumpa dengan ketua-ketua masyarakat Betong iaitu Bakir dan Orang Kaya Penghulu Nanang dari Padeh dan Linggir daripada Paku. Encik Watson sebagai utusan Tuan Muda telah menjemput mereka untuk menemui Tuan Muda yang sedia menunggu di Kubu Betong.
Satu mesyuarat telah diadakan bagi menyampai tujuan dan permintaan Rajah Brooke kepada ketua-ketua masyarakat Betong ini bagi memerangi masyarakat Kayan dan Kejaman. Tuan Muda telah meminta ketiga-tiga Ketua Masyarakat Betong ini untuk membina kapal perang bagi kelengkapan peperangan ini nanti. Setelah mendapat persetujuan dan sokongan daripada Bakir, OKP Nanang dan Linggir, Tuan Muda telah belayar ke Saribas menuju ke Kabong. Setiba di Kabong, beliau telah menemui Penghulu Minggat dan Chulo Tarang sendiri dan permintaan yang sama juga diutarakan kepada kedua-duanya.
Setelah melalui perjalanan jauh akhirnya pada awal Mei 1863, kesemua peralatan dan kelengkapan perang serta bala tentera daripada Batang Lupar, Saribas dan Kalaka telah berkumpul di Sibu seperti yang dijanjikan malah Penghulu Minggat dan Chulo “Tarang” daripada Krian juga telah tiba lebih awal menunggu mereka semua. Setelah satu mesyuarat taktik perang dilakukan akhirnya kesemua mereka sepakat untuk memulakan perang terhadap masyarakat Kayan dan Kejaman pada masa itu.
Di samping itu, Tuan Muda juga meminta kesemua mereka untuk sama-sama memerangi masyarakat Iban di Rajang Atas yang dikatakan tidak mahu menerima pentadbiran Rajah Brooke. Tuan Muda di dalam strategi perangnya telah mengarahkan agar kesemua bala tentara perang di bawah OKP Nanang, Linggir, Bakir dan armada perang Penghulu Minggat dan Chulo “Tarang” sentiasa berada di belakang bala tentera Sarawak Kingdom kerana mereka merupakan barisan kedua di dalam ekspedisi ini sementara beliau sendiri akan mengetuai bala tenteranya masuk ke dalam kawasan wilayah musuh pada ketika itu.
Pada hari pertama ekspedisi ini, pelayaran mereka telah memudiki Sungai Rajang sehinggalah ke Kanowit dan kerana hari sudah gelap, mereka sempat bermalam di Kanowit. Ekspedisi ini telah diketahui oleh masyarakat Iban Kanowit yang juga antara pendokong kuat pentadbiran Kerajaan Brooke malah mereka juga mempunyai dendam yang tidak sudah dengan masyarakat Kayan yang dikatakan telah banyak membunuh masyarakat Iban Kanowit.
Di bawah ketua masyarakat Iban Kanowit iaitu Balang, Ringgau, Unggat dan Gerinang telah tersedia satu lagi armada tentera yang telah memperkuatkan lagi barisan bala tentera memerangi masyarakat kayan pada masa itu. Keesokan harinya setelah siaga segalanya, ekspedisi ini bergerak meninggalkan Kanowit dan menuju ke muara Sungai Katibas. Di muara Sungai Katibas ini, kesemua yang menyertai ekspedisi telah bermalam satu malam di sana.
Perjalanan hari ketiga dimulai dengan bergerak ke muara Sungai Katibas dan sekali lagi mereka bermalam di antara aliran Kapit dan anak Sungai Baleh. Dengan kekuatan bala tentera yang besar iaitu daripada Saribas, Skrang, Kalaka, Krian dan Kanowit, ekspedisi ini merupakan antara ekspedisi di dalam sejarah Sarawak Kingdom dengan kekuatan perang besar berbanding ekspedisi yang pernah dilakukan sebelum ini.
Pada hari keempat, perjalanan ekspedisi ini agak perlahan kerana terpaksa melalui Jeram Pelagus yang terkenal dengan arus sungainya yang deras. Sehingga lewat petang mereka hanya boleh sampai sehingga ke Pasir Nai iaitu diluar daripada perancangan Tuan Muda itu sendiri. Sesuatu yang tidak disangka oleh Tuan Muda dan bala tenteranya tentang kehadiran satu armada tentera yang diketuai oleh pahlawan masyarakat Kayan iaitu Dian Abun yang menunggu penuh siap siaga di Nanga Sama.
Di Nanga Sama inilah berlakunya serang hendap oleh Dian Abun ke atas bala tentera Sarawak Kingdom dibawah pimpinan Tuan Muda pada waktu itu. Serang hendap ini telah hampir-hampir menyebabkan barisan hadapan tentera Tuan Muda berundur tetapi armada tentera dibawah Penghulu Minggat yang juga barisan kedua telah sempat mendarat di daratan. Di sini bermulalah perang darat antara Penghulu Minggat dengan Dian Abun.
Kerana tidak terlawan kekuatan Penghulu Minggat telah memaksa Dian Abun dan pahlawan kayannya untuk berundurkan sehingga ke kubu mereka dan berjaya menutup pintu utama kubu tersebut. Luing iaitu orang kanan Penghulu Minggat telah menggunakan batang kayu untuk mengumpil keluar pintu kayu utama kubu tersebut. Setelah berjaya mereka telah memasuki kubu tersebut namun kesemua pahlawan-pahlawan Kayan telah siap siaga untuk menyerang mereka dari dalam.
Akhirnya Luing terkorban setelah kena tombakan daripada masyarakat Kayan di bawah Dian Abun. Kerana menyedari Dian Abun dan tenteranya masih lagi mampu melawan tentera Sarawak Kingdom telah memaksa Tuan Muda untuk mengarahkan mereka semua kembali ke kapal perang masing-masing.
Pada petang itu juga, Tuan Muda telah memanggil kesemua ketua bala tentera Sarawak Kingdom kerana beliau sedar tentang kesilapan taktik perang beliau. Beliau tahu bahawa hanya anak tempatan yang mengetahui selok belok kawasan tersebut dan kerana kesilapan beliaulah maka barisan pertama hampir ditewaskan oleh Dian Abun. Untuk itu, Tuan Muda telah mengarahkan agar bala tentera Kanowit di bawah seliaan Unggat dan Gerinang untuk menempatkan diri mereka di hulu sungai.
Ini kerana bala tentera Kanowit di bawah Unggat dan Gerinang lebih memahami dialek masyarakat Kayan dan Kejaman dan dengan itu memberi kelebihan untuk mereka mendapat sebarang informasi mengenai percaturan mereka. Pada keesokan harinya bala tentera Sarawak Kingdom telah menyerang kubu Dian Abun tetapi malangnya mereka mendapati bahawa kubu itu telahpun dikosongkan. Melalui sumber informasi daripada tentera Kanowit dibawah Unggat dan Gerinang yang memahami dialek anak tempatan Kayan dan Kejaman dikatakan bahawa Dian Abun telah melarikan diri berjalan darat sehingga jauh ke pedalaman.
Dari Pasir Nai, kesemua bala tentera Sarawak Kingdom telah mengejar Dian Abun melalui jalan darat. Di dalam perjalanan memburu Dian Abun itu, mereka telah menyerang sebuah rumah panjang Kejaman dan hampir semua penduduk di rumah panjang Kejaman telah dibunuh. . Tentera Balang, Ringgau, Unggat dan Gerinang dikatakan telah melakukan perang kayau ke atas masyarakat Kejaman namun mereka tidak dibenarkan oleh Tuan Muda untuk membawa kepala-kepala musuh mereka ke bot ekspedisi mereka.
Kerana itulah dikatakan bahawa tentera Balang, Ringgau, Unggat dan Gerinang sebaliknya telah membawa sebahagian besar harta rampasan daripada masyarakat Kejaman seperti tajau dan barangan berharga masyarakat Kejaman kembali ke bot ekspedisi mereka.
Akibat daripada serangan yang bertali arus yang banyak membawa kemusnahan kepada masyarakat Kayan dan Kejaman hanya kerana melindungi Sawing, Skalai dan Tani akhirnya ramai ketua-ketua masyarakat Kayan telah tampil dan menyerah diri kepada Tuan Muda. Ini kerana mereka tahu bahawa angkatan bala tentera Sarawak Kingdom sangat besar dan sememangnya sukar untuk dikalahkan.
Tuan Muda telah memberikan syarat pengampunan iaitu beliau mahukan masyarakat Kayan dan Kejaman menyerahkan orang yang dikehendaki iaitu Sawing, Skalai dan Tani dan kesemua masyarakat Kayan dan Kejaman akan bebas daripada serangan, akhirnya mereka hanya mampu menyerahkan Sawing hidup-hidup kepada Tuan Muda. Sawing telah didakwa di Sibu dan didapati bersalah membunuh Fox And Steel dan dijatuhkan hukuman di Sibu. Manakala Skalai telah berjaya melarikan diri sebelum diserahkan kerana telah mati dibunuh oleh masyarakat Kayan di Rajang atas.
Inilah sekelumit sejarah tentang satu ekspedisi yang dinamakan Ekspedisi Kayan 1863 sebagai satu lagi ruang informasi untuk bangsa Sarawak sekalian. Ekspedisi Kayan 1863 ini juga sebenarnya telah membuka lembaran sejarah baru di dalam keamanan di Sarawak Kingdom pada masa itu lebih-lebih lagi di kawasan pendalamannya. Mungkin pensejarahan ini tidak diketahui oleh bangsa Sarawak sendiri kerana kurangnya pendedahan mengenainya sedangkan inilah sejarah Bangsa Sarawak yang harus kita ketahui.
#KamekSayangSarawakBah!