top of page

ETNIK SEKAPAN, SARAWAK, BORNEO


ETNIK SEKAPAN, SARAWAK, BORNEO

Etnik Sekapan adalah salah satu sub-etnik yang membentuk apa yang dipanggil Etnik Kajang dibawah masyarakat Orang Ulu Sarawak Bumi Kenyalang. Mengikut laporan populasi tahun 2010 terdapat kira-kira 3000 orang etnik Sekapan yang masih ada di bumi Sarawak sekarang. Kawasan penempatan mereka adalah satu kawasan yang terletak di utara Sarawak di suatu daerah yang terpencil iaitu di Daerah Belaga, Sarawak.


Di dalam kelompok etnik Sekapan itu tersendiri terbahagi kepada dua iaitu Sekapan Panjang dan juga Sekapan Piit. Kedua-duanya hanya dibezakan melalui kawasan penempatan mereka iaitu Uma Sekapan Panjang dan Uma Sekapan Piit yang kedua-duanya terletak di daerah Belaga. Apa yang membezakan kedua-dua Sekapan Panjang dan Sekapan Piit adalah cara pertuturan mereka yang agak berbeza diantara satu sama lain namun dari segi budaya dan adat resam, kedua-duanya tetap mempertahan budaya warisan etnik Sekapan dari dulu sehinggalah sekarang.


Sekapan Panjang dari segi bahasanya pula dikatakan mempunyai persamaan bahasa dengan etnik Melanau, Lahanan, Kejaman dan Punan manakala Sekapan Piit tidak. Mengikut sejarah lampaunya, etnik Sekapan ini pada dahulunya adalah mereka yang terdiri daripada kalangan pahlawan-pahlawan dari banyak etnik-etnik di Belaga dan mereka lebih dikenali sebagai Lakin. Namun akibat daripada ketidak sefahaman dan sering berpecah-pecah maka keberanian dan kepahlawan mereka turut merundum suatu waktu dahulu sehingga membenarkan mereka menjadi satu etnik yang minoriti dibanding etnik-etnik yang lain di kawasan Belaga.


Namun begitu tiada siapa yang boleh menandingi mereka di dalam hasil kraftangan kerana etnik Sekapan dahulu dan sekarang adalah antara etnik yang terbaik di dalam menghasilkan kraftangan yang halus. Mungkin ramai yang pernah mengunjungi Muzium Negara di Kuala Lumpur dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa terdapatnya Kiliering yang menjadi mercu tanda hadapan di pintu masuk Muzium Negara Kuala Lumpur itu sebenarnya adalah hasil tangan etnik Sekapan yang berada di Belaga, Sarawak.


Diceritakan bahawa untuk membawa kilirieng itu ke bumi Kuala Lumpur telah menghadapi seribu satu onak yang berduri memandangkan ketika itu hanya pengangkutan air yang ada di bumi Sarawak jadi membawa Kilirieng daripada daerah Belaga sehingga ke Sibu dan kemudian ke Kuching sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur adalah satu perjalanan yang rumit sekali. Motif-motif kraftangan ke atas Kilierieng ini menunjukkan betapa hasil tangan etnik Sekapan sudah lama diiktiraf oleh dunia dulu dan sekarang.


Berdasarkan kepada sejarah masa lalu juga membuktikan bahawa etnik Sekapan juga antara etnik yang mempunyai hubungan persaudaraan yang cukup erat dengan Kesultanan Brunei Darussalam. Keakraban ini berlaku kerana etnik Sekapan itu sendiri terdiri daripada pahlawan-pahlawan yang berani yang sentiasa siaga di dalam banyak peperangan kaum di Sarawak suatu masa dahulu baik di ketika Sarawak masih lagi menjadi tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei Darussalam mahupun ketika di zaman pemerintahan 100 tahun keluarga Rajah Brooke di Negara Sarawak. Mungkin dengan mengimbau pengembaraan Lake Avit iaitu pahlawan legenda etnik Kayan yang telah membuat pengembaraan bagi mendapat sokongan atas perangnya ke atas Rajah Brooke melalui apa yang dinamakan Ekspedisi Balui yang mana Lake Avit cuba memohon sokongan daripada etnik Sekapan dengan membuat lawatan ke rumah-rumah panjang milik etnik Sekapan boleh menjadi bukti betapa keperwiraan etnik Sekapan ini tidak boleh dinafikan sama sekali. Namun begitu permintaan Lake Avit untuk mendapat sokongan etnik Sekapan pada masa itu ditolak oleh rata-rata rumah panjang etnik Sekapan pada masa itu.


Keakraban etnik Sekapan dengan sejarah Kesultanan Brunei Darussalam di bumi Sarawak dapat dilihat melalui satu tanda sejarah yang masih lagi disimpan di Rumah Panjang Sekapan sekarang iaitu Be’nin atau meriam yang merupakan tanda mata salah seorang Sultan dari Kesultanan Brunei Darussalam kepada etnik Sekapan kerana membantunya di dalam satu perang suatu waktu dahulu. Be’nin ini telah banyak membantu etnik Sekapan di dalam mempertahankan etnik Sekapan sewaktu perang kaum yang pernah berlaku di bumi Sarawak suatu waktu dahulu.


Etnik Sekapan di Belaga, Sarawak sekarang rata-ratanya sudahpun memeluk agama Kristian setelah kedatangan agama di bumi Belaga sekitar tahun 1920an namun begitu ada juga yang masih lagi menganuti agama pagan terutama sekali golongan tua etnik Sekapan.


Seperti etnik-etnik yang lain di bumi Sarawak, etnik Sekapan juga rata-ratanya telah maju setapak di dalam menyara penghidupan mereka jika berbanding dengan dahulu yang rata-ratanya masih berburu dan menjual hasil produk hutan dan pertanian namun sejajar dengan waktu ramai anak-anak Sekapan sekarang sudahpun mula menjawat jawatan-jawatan besar di dalam perjawatan Kerajaan Sarawak dan begitu juga membuka perniagaan sendiri.


Inilah sekelumit sumber informasi tentang satu lagi etnik minoriti Sarawak iaitu Etnik Sekapan, Sarawak, Borneo yang merupakan salah satu sub etnik yang membentuk etnik Kajang di dalam masyarakat Orang Ulu Sarawak. Semoga artikel ini boleh menjadi sumber informasi kita di dalam mengenal salah satu Bangsa Sarawak yang tidak begitu dikenali oleh ramai rakyat Malaysia amnya dan Bangsa Sarawak khususnya.


Tak Kenal Maka Tak Cinta.


bottom of page