top of page

FROM DEBAK WITH LOVE


FROM DEBAK WITH LOVE


Debak merupakan sebuah pekan kecil yang terletak diantara perjalanan antara Betong dan Saratok di dalam Bahagian Sri Aman. Jaraknya dari Kuching, ibu negeri Sarawak Bumi Kenyalang adalah kira-kira 120 kilometer (75 batu). Biarpun berada jauh di pendalaman, namun Debak juga boleh dihubungi dengan jalan darat yang baik. Debak juga mempunyai jiran-jirannya yang lain iaitu Pusa, Spaoh dan Maludam. Daerah kecil Debak ini adalah dibawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Debak.


Jika dilihat daripada populasi di Debak, ramai daripada jumlah penduduknya adalah daripada etnik Iban, Melayu Saribas dan juga sejumlah kecil kaum Cina yang rata-ratanya sudahpun mendiami kawasan Debak sejak berkurun lamanya. Setiap satu daripada masyarakat Debak ini juga mempunyai sejarahnya sendiri lebih-lebih lagi masyarakat Melayu Debak yang juga dipanggil Melayu Saribas yang mempunyai sejarah keturunan yang berbeza dan unik berbanding masyarakat Melayu Sarawak yang lain.


Mengikut sejarah oral masyarakat Melayu Saribas yang di Debak mengatakan bahawa asal bermulanya nama Debak suatu waktu dahulu dikenali dengan nama “Rebak”. Maksudnya di dalam bahasa melayu Sarawak adalah merujuk kepada sampah sarap daripada batang-batang kayu yang hanyut iaitu “Ugak” yang banyak timbul di permukaan air sungai apabila air sungai mulai pasang.


Dan di dalam cerita oral ini juga mengatakan bahawa “ugak” itu merupakan salah satu daripada benteng yang roboh kepunyaan masyarakat Iban Saribas yang juga terkenal dengan perang kayau mereka sehingga mereka membuat kuta atau benteng daripada kayu-kayu bagi tujuan keselamatan rumah-rumah panjang mereka di sepanjang aliran Sungai Rimbas. Diceritakan juga lama-kelamaan nama Rebak bagi memanggil daerah yang tidak bernama begitu sinonim dengan masyarakat tempatan sehingga akhirnya disebut Debak sehingga sekarang.


Tidak akan lengkap sejarah Debak jika tidak mengaitkannya dengan sejarah komuniti melayu di Debak yang juga mempunyai keunikan sejarahnya yang tersendiri. Hampir kesemua komuniti melayu yang mendiami daerah Debak sekarang dikatakan adalah rakyat jelata kepada 2 kerajaan kuno yang pernah bertapak di bumi Saribas suatu waktu dahulu iaitu Kerajaan Negeri Kalaka dan Kerajaan Negeri Saribas. Kedua-dua kerajaan negeri yang hilang ini diceritakan di dalam Syair Tarsilah Cetera Abang Godam Dengan Temenggung Kadir Negeri Saribas sebagai hadiah atas perkahwinan pemerintah pertama Negara Brunei yang bernama Awang Alah Batatar. Antara bait-bait syait tersebut adalah:


“….Dan dianugerahi nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sabangan dan Samarahan dan Sarawak karana di pulau, Juhur pun mamarintah juga. Dianugerahkan sakali kapada anak baginda manjadi milik sapanjang-panjang rantau itu di bawah parintah Sultan Barunai damikianlah riwayatnya pada zaman dahulukala…” – Hikayat Nagara Baruni


Yang memperkatakan tentang kewujudan Kerajaan Negeri Kalaka dan diperintah oleh dua wanita bersaudara iaitu Dayang Hubu’ dan Dayang Ruku’ pula adalah seperti berikut: “ Terhenti dulu kisah itu. Tersebutlah pula habar suatu Di Negeri Kalaka habarnya tentu Dayang Hubu’ Dayangnya Ruku…..” – Syair Tarsilah Saribas


Dan melalui kaitan inilah keunikan Melayu Saribas termasuk komuniti Melayu di Debak kerana baik dari segi bahasa Melayu Saribas agak berlainan dengan Melayu Sarawak di Kuching mahupun Bandar-bandar besar lain kerana adanya pengaruh bahasa melayu seakan-akan bahasa Melayu Orang Negeri Sembilan di bumi Semenanjung Malaysia sekarang. Ini kerana Melayu Saribas asalnya adalah berketurunan dan pengikut kepada Datu Godam iaitu seorang putera dari Pagaruyung, Sumatera yang telah belayar membawa hati yang luka sehingga mendarat di Kerajaan Negeri Saribas.


Dek kerana baik budi pekertinya diperkenalkan dengan Sultan Brunei dan akhirnya berkahwin dengan Dang Chi’ anak penguasa Kerajaan Negeri Saribas, Temenggung Pengiran Abdul Kadir yang mengasaskannya sekitar tahun 1560 Masihi.. Perkahwinan mereka dikurniakan dengan 2 orang putera dan dari keturunan inilah lahirnya golongan “awang-awang damit” dan perabangan di bumi Saribas sehingga sekarang yang tidak sama dengan golongan perabangan di tempat lain di Sarawak Bumi Kenyalang.


Sejarah Debak juga melalui kaitannya dengan sejarah kedua-dua kerajaan negeri yang hilang ini dijadikan salah satu pelabuhan untuk menghimpun semua bala tentera kerana dikatakan kedua-dua negeri telah bosan menjadi tanah jajahan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam sehingga memungkin mereka bergabung untuk memerangi Brunei. Tujuannya adalah untuk membebaskan diri daripada cengkaman Kerajaan Brunei dan menjadi sebuah negeri yang merdeka.


Pada ketika itulah dikatakan bahawa Kerajaan Brunei di dalam diam-diam telah menghantar beberapa orang pahlawan mereka datang ke Debak dan menyamar seperti orang tempatan dan akhirnya berjaya membunuh 3 pahlawan Melayu Saribas bersaudara yang bernama Abang Mula, Abang Bukut dan Abang Tengah. Yang memperkatakan tentang perang Melayu Saribas ke atas Brunei adalah seperti bait-bait syair tersebut iaitu:


Berkata Dayang Ruku dan Ubu’

Orang Saribas tida’ tundu’

Bandar Maula hendak menuluk

Raja Brunei diholo’2


Sama berkata kedua’nya parampuan

Bandar Maula hendak melawan

Ketiga beradik samalah tuan

Hendak melawan Duli Yang Dipertuan


Keunikan sejarah komuniti Melayu Saribas yang juga sekarang mendiami daerah Debak dan sejarah yang tidak didendangkan ini sudah tentu tidak begitu diketahui oleh anak Saribas mahupun Bangsa Sarawak khususnya Melayu Sarawak sekarang. Selain daripada keunikan sejarah Melayu Saribas di Debak terdapat pada satu lagi komuniti Debak iaitu daripada etnik Iban Saribas melalui tokoh-tokoh mereka seperti Penghulu Kedit sehingga membenarkan adanya SK Penghulu Kedit wujud di bumi Debak.


Inilah sekelumit ruang informasi di dalam kita cuba mengenali sebuah daerah kecil di bumi Sarawak iaitu From Debak With Love untuk sumber informasi Bangsa Sarawak sekalian. Ketahuilah sejarah daerah kita dan cintailah sejarah asal keturunan kita kerana disinilah terletaknya jati diri kita sebagai bangsa Sarawak. Pada mereka yang belum lagi memijak bumi Debak silalah merasai sendiri betapa indahnya bumi Debak serta betapa ramah mesra penduduknya yang berbilang bangsa dan walaupun berlainan agama tetap utuh sebagai satu bangsa, Bangsa Sarawak.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page