top of page

KERAJAAN SAMBAS, KALIMANTAN BARAT, BORNEO


KERAJAAN SAMBAS, KALIMANTAN BARAT, BORNEO - Asal keturunan Melayu Sarawak yang dikenali “Orang Urai/Uray” dan marga nama keluarga “Tan", “Raden” & “Mas”


Di dalam menjejaki asal muasal keturunan Melayu Sarawak ini terlalu banyak yang harus diambilkira kerana asal bermulanya Melayu Sarawak itu agak kompleks berbanding dengan Melayu yang lain di Nusantara. Dan Melayu Sarawak juga mempunyai banyak marga nama keluarga yang diperturunkan mengikut nama sebelah ayahnya. Untuk artikel kali ini, Borneo Oracle akan memberikan ruang informasi tentang kaitan sebuah kerajaan kuno iaitu Kerajaan Sambas yang telah memperturunkan legasi Melayu Sarawak yang dikenali dengan nama Melayu Urai atau Orang Uray, Melayu Sarawak dengan marga nama keluarga “Tan” dan Melayu Sarawak dengan marga nama keluarga “Raden” dan “Mas”.


Menyelusuri sejarah Kerajaan Sambas yang lokasinya sekarang terletak di Kabupaten Sambas provinsi Kalimantan Barat sebenarnya mempunyai satu sejarah kerajaan yang panjang. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa keberadaan Kerajaan Sambas ini sebenarnya bermula kira-kira di awal abad ke-7 Masihi lagi. Dan ianya mempunyai 4 fasa kerajaan yang memungkinkan hubungan keberadaan kerajaan-kerajaan Sambas ini dengan Melayu Sarawak dengan marga nama keluarga yang disebut.


Fasa-fasa Kerajaan Sambas adalah seperti berikut iaitu:


Kerajaan Dayak Nek Riuh (Abad 13 Masihi atau 14 Masihi)

Kerajaan Tan Unggal (Abad 15 Masihi)

Kerajaan Sambas (Abad ke 16 Masihi)

Kesultanan Sambas (Abad ke 17 Masihi)



Kerajaan Dayak Nek Riuh (Pendirinya Dayak Bakati Rara)


Bermulanya satu kerajaan kuno di bumi Sambas dahulu adalah bernama Kerajaan Nek Riuh. Dan pendirinya adalah anak suku Dayak Bakati Rara yang bernama Patih Riuh dan dinobatkan menjadi raja Kerajaan Riuh menggunakan gelarannya Nek Riuh. Dikatakan berdirinya kerajaan ini adalah antara akhir abad 13 Masihi atau awal abad 14 Masihi lagi.


Ini dapat disahihkan di dalam satu manuskrip sejarah lama yang bernama Kitab Negarakertagama karya agung Mpu Prapanca yang menyatakan bahawa salah satu tanah jajahan Kerajaan Majapahit di bumi Borneo adalah sebuah kerajaan yang mana rajanya memanggil dirinya “Nek Riuh”. Ianya adalah salah satu kerajaan yang mempunyai pengaruh Hindu di dalam sistem pemerintahan.


Dari segi arkeologi sejarah pula dikatakan di muara Sungai Sambas dahulu di ketika Koloni Belanda berkuasa di bumi Kalimantan telah menjalankan penggalian artifak sejarah di Sambas sehingga memungkin mereka menemui beberapa arca patung Buddha yang diperbuat daripada emas dan kerana kekuasaan mereka telah membawa artifak-artifak ini kembali ke bumi Belanda dan tidak pernah memulangkannya sehingga sekarang.


Jika dilihat daripada taburan penduduk etnik Dayak yang berada di bumi Sambas sekarang ianya tidak mustahil kerana Kabupaten Bengkayang, Kabupaten Sambas dan Kabupaten Landak sememangnya ramai didiami oleh suku Dayak Bakati Rara dan kerana kesemua kabupaten-kabupaten ini dekat dengan perbatasan Sarawak maka suku Dayak Bakati Rara yang di Sarawak dipanggil Etnik Bidayuh ramai mendiami kawasan sekitara Lundu, Kuching, Sarawak.


Dan Kerajaan Nek Riuh di Sambas ini juga seperti kerajaan-kerajaan dayak kuno yang pernah wujud di bumi Borneo dahulu juga musnah di dalam perang perluasan kuasa wilayah atau lebih dikenali sebagai Perang Kayau oleh kerajaan dayak yang berjiran dengan mereka. Di dalam perang ini Kerajaan Nek Riuh dikatakan telah dikalahlan oleh suku Dayak Mualang yang menjadikan kerajaan ini tidak dijejaki sehingga sekarang.



Kerajaan Tan Unggal


Sekitar awal abad ke-15 Masihi pula menurutnya sejarahnya dikatakan satu lagi kerajaan kecil telah muncul di bumi Sambas dengan ianya dikenali dengan nama Kerajaan Tan Unggal. Kerajaan Tan Unggal ini dikatakan didirikan oleh golongan bangsawan daripada Majapahit yang tidak diketahui namanya namun dinyatakan bahawa Kerajaan Tan Unggal ini didirikan oleh keturunan daripada Raja Majapahit yang bernama Wikramawardhana yang merupakan pemerintah ke-5 Kerajaan Majapahit suatu waktu dahulu.


Kerajaan Tan Unggal ini sesuai dengan pendirinya adalah daripada kerajaan Majapahit juga berlandaskan sistem pemerintahan hindu di dalam corak kerajaannya. Dan menurut ceritanya Tan Unggal sebenarnya bukanlah anak kandung kepada Raja tersebut sebaliknya merupakan anak angkat yang ditemui ketika berburu di hutan di sekitar Sambas.


Bayi tersebut dijaga dengan penuh kasih sayang dan dibesarkan di dalam istana Kerajaan Tan Unggal dan dinamakan Tan Unggal berdasarkan kepada salsilahnya yang bukan daripada golongan raja-raja sebaliknya rakyat biasa. “Tan” inilah yang dipanggil bagi menggelar golongan yang bukan berdarah raja tetapi rakyat biasa yang dekat dengan raja-raja di Kerajaan Tan Unggal. Unggal pula merujuk kepada gigi bayi tersebut yang ketika ditemui hanyalah satu gigi di hadapan mulutnya.


Apabila meningkat dewasa, bayi yang bernama Tan Unggal ini dikatakan seorang jejaka yang cukup sempurna sehingga memungkin beliau mampu belajar semua hal-hal mengenai kepimpinan sebuah kerajaan. Kerana bercita-cita tinggi akhirnya mendesak beliau untuk membunuh seluruh keluarga yang membesarkannya dan mengambilalih tampuk pemerintahan Kerajaan Tan Unggal.


Bukan itu sahaja, Raja Tan Unggal menurut sejarahnya adalah seorang raja yang kejam dan beliau telah banyak melakukan penyiksaan kepada rakyatnya sehingga membenarkan Raja Tan Unggal ini diturunkan takhta oleh rakyatnya di dalam satu pemberontakan malah Raja Tan Unggal juga turun dibunuh. Diceritakan ramai daripada golongan keluarga Raja Tan Unggal ini melarikan diri ke merata tempat di seluruh Borneo pada waktu itu tetapi tetap melestarikan nama marga keluarga “Tan” walau dimana jua mereka berasal.


Keturunan kepada Raja Tan Unggal ini juga ada di kalangan Melayu Sarawak sekarang yang masih lagi mengekalkan nama marga keluarga “Tan” pada pangkal nama mereka.


Dan menurut sejarahnya, selepas jatuh Kerajaan Tan Unggal dan matinya Raja Tan Unggal itu sendiri, rakyat Sambas tidak mahu lagi mempunyai raja dan hanya diperintah mengikut sistem ketua berdasarkan kepada desa-desa mereka sehinggalah wujudnya satu kerajaan yang bernama Kerajaan Sambas yang didirikan pada abad ke-16 Masihi.



Kerajaan Sambas


Asal-usul Kerajaan Sambas ini dimulai ketika satu rombongan besar Bangsawan Jawa beragama Hindu yang melarikan diri dari timur Pulau Jawa kerana diserang dan ditumpaskan oleh Kesultanan Demak dibawah pimpinan Sultan Trenggono (Sultan Demak ke-3) pada sekitar tahun 1525 M. Setelah lebih 10 tahun menetap di hulu Sungai Sambas, rombongan Bangsawan Jawa ini mendapati bahawa wilayah Sungai Sambas ini aman dan kondusif sehingga mereka mendirikan lagi sebuah kerajaan yang digelar Kerajaan Sambas yang beragama Hindu. Raja pertama tidak diketahui siapa tetapi anakandanya adalah Ratu Timbang Paseban merupakan raja yang kedua yang kemudiannya diganti oleh adindanya Ratu Sapudak.


Pada masa pemerintahan Ratu Sapudak inilah rombongan Sultan Tengah yang terdiri dari keluarga dan pengikutnya datang dari Kesultanan Sarawak Darulhana dengan menggunakan 40 buah perahu yang lengkap dengan alat senjata. Rombongan Baginda Sultan Tengah ini kemudian disambut dengan baik oleh Ratu Sapudak dan Sultan Tengah dan rombongannya dijemput untuk menetap di sebuah tempat yang kemudian disebut dengan nama "Kembayat Sri Negara". Ratu Sapudak pun kemudian mangkat mengejut dan diganti oleh anak saudaranya iaitu Raden Kencono, putera kepada Ratu Timbang Paseban.


Setelah menaiki takhta, Raden Kencono ini kemudian bergelar Ratu Anom Kesumayuda. Raden Kencono ini sekaligus juga menantu kepada Ratu Sapudak kerana anakanda Ratu Sapudak, Mas Ayu Anom menjadi permaisurinya. Sulaiman iaitu putera sulung kepada Sultan Tengah telah dikahwinkan dengan Mas Ayu Bungsu iaitu puteri bongsu kepada Ratu Sapudak dan kerana Sulaiman merupakan biras kepada Raden Kencono maka dijadikan Sulaiman sebagai salah seorang Menteri Besar di dalam Kerajaan Sambas dengan mengguna nama Raden Sulaiman. Sebagai Menteri Besar, Raden Sulaiman bertanggungjawab kepada urusan hubungan dengan negara luar dan pertahanan negeri. Setelah beberapa ketika, Raden Sulaiman dan Mas Ayu Bungsi dianugerahkan dengan seorang putera iaitu Raden Bima.


Setelah beberapa lama di Kerajaan Sambas akhirnya Sultan Tengah berangkat pulang ke Sarawak bersama-sama dengan isterinya Puteri Surya Kesuma berserta putera dan puterinya iaitu Badaruddin, Abdul Wahab, Puteri Rasmi dan Ratna Dewi. Dikatakan ketika perjalanan pulang itulah Sultan Tengah telah dibunuh oleh pengikut baginda dan akhirnya membenarkan isterinya iaitu Puteri Surgya Kesuma bersama-sama dengan anakandanya yang lain pulang ke Kerajaan Sukadana dimana dia berasal.


Raden Sulaiman telah mendapat tentangan yang hebat daripada Raden Aryo Mangkurat. Raden Aryo Mangkurat dikhabarkan adalah penganut agama Hindu tegar manakala Raden Sulaiman pula dikatakan amat mendokongi perluasan syiar Islam di Kerajaan Sambas. Dikatakan sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, penganut agama Islam semakin bertambah di dalam Kerajaan Sambas dan ini tidak menyenangkan hati Raden Aryo Mangkurat.


Pelbagai fitnah dan taktik kotor telah digunakan oleh Raden Aryo dan akhirnya kerana tidak tertahan dengan tekanan dan melibatkan keselamatannya keluarganya maka Raden Sulaiman telah mengambil keputusan untuk berpindah. Maka berpindahlah Raden Sulaiman dengan seluruh anggota keluarganya diikuti oleh pengikut ayahandanya yang terdiri daripada mereka yang berketurunan Melayu Sarawak dan Melayu Brunei.



Kerajaan Kesultanan Sambas


Penghijrahan Raden Sulaiman dan keluarganya tidaklah begitu jauh daripada Kerajaan Sambas pada masa itu iaitu mereka mula mendirikan kerajaan di sekitar Sungai Sambas Kecil. Maka bermulalah sebuah kerajaan Islam di Sambas yang bergelar Kerajaan Kesultanan Sambas.


Raden Sulaiman telah ditabalkan sebagai sultan yang pertama dengan nama Sultan Muhammad Shafiuddin I. Baginda memerintah dari tahun 1631 hingga 1668. Kerana kuatnya pengembangan syiar Islam pada masa itu, Kota Sambas telah digelar Serambi Mekah. Masjid yang gah dan indah didirikan di Kerajaan Kesultanan Sambas malah Kesultanan Sambas juga menjadi pusat pendidikan Islam untuk penganut agama Islam di seluruh Kalimantan Barat pada masa itu.


Kesultanan Sambas terus gah walaupun selepas baginda mangkat kerana ianya diteruskan oleh anakandanya Raden Bima yang ditabalkan menjadi sultan ke-2 dengan nama Sultan Muhammad Tajuddin I. Di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Tajuddin I inilah ramainya golongan cendiakiawan Islam di kalangan rakyat Kerajaan Kesultanan Sambas yang mendapat pendidikan di Mesir dan menjadi pendakwah-pendakwah Islam memperluaskan syiar agama Islam di seluruh Kalimantan Barat dan seterusnya mula menyebarkannya ke seluruh Sarawak pada masa itu.


Dan kerana adanya hubungan inilah mengapa ada sesetengah Melayu Sarawak sekarang juga mempunyai marga nama keluarga yang bermula daripada “Raden” dan “Mas” yang sebenarnya adalah legasi keturunan daripada Kerajaan Sambas itu sendiri yang juga asalnya bangsawan dari Tanah Jawa. Selain daripada itu banyak juga kebudayaan dan bahasa Melayu Sambas juga meresap di dalam Melayu Sarawak dan antara menu popular di bulan Ramadhan di Sarawak seperti bubur pedas juga adalah legasi daripada makanan kaum bangsawan di istana Kerajaan Kesultanan Sambas itu sendiri.



Inilah satu sejarah panjang di dalam memperkatakan kaitan sejarah satu kerajaan yang pernah bertapak di bumi Borneo suatu waktu dahulu dan bagaimana ianya memperturunkan legasi nama Melayu Sarawak yang mempunyai marga nama keluarga “Tan”, “Raden” dan “Mas” yang masih lagi dilestarikan oleh sesetengah Melayu Sarawak sehingga sekarang. Golongan ini juga jika di Sarawak mahupun di Kalimantan digelar “Orang Urai” atau “Melayu Uray” kerana mereka bukanlah mempunyai kaitan secara langsung dengan Keraton Sambas tetapi sebaliknya adalah rakyat biasa yang dinaikkan menjadi pemimpin mahupun pembesar-pembesar dan mereka juga dibesarkan di Keraton mengikut tertib penghidupan di Keraton.


Kewujudan kita di satu daratan yang sama sudah tentu ada hubungkaitnya. Kenalilah sejarah kita kerana disitulah terletaknya jati diri kita.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page