LEGENDA BATU KITIENG
LEGENDA BATU KITIENG
Al-sahibul hikayat diceritakan beratus-ratus tahun dahulu di kawasan Batu Kitang ini dikatakan mempunyai satu penempatan yang aman damai serta subur untuk rakyatnya menjana ekonomi mereka seperti bercucuk tanam dan sebagainya. Penempatan ini diketuai oleh sepasang suami isteri yang amat baik hati serta pandai memimpin komunitinya dan mereka dikenali dengan si suami bernama Seri Matahari dan si isteri bernama Seri Bulan. Kedua-duanya juga dikhabarkan antara pasangan yang romantis dan hidup harmoni di dalam alam rumahtangga sehingga menjadi contoh kepada komuniti mereka sendiri suatu waktu dahulu.
Setelah belayar di alam perkahwinan yang sudah tentu mempunyai onak dan berduri di dalam pelayarannya akhirnya perkahwinan Seri Matahari dan Seri Bulan dikurniakan dengan sepasang anak kembar. Sepasang anak kembar yang comel diberikan nama Sulung Patra bagi yang lelaki dan Puteri Bongsu bagi yang perempuan. Kurniaan yang tidak terhingga kepada pasangan Seri Matahari dan Seri Bulan menjadikan rumahtangga mereka semakin bahagia dan sempurna.
Tatkala di dalam membesarkan anak-anak mereka sudah tentu Seri Matahari sebagai pemimpin masyarakat terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai pemimpin dan kebanyakan daripada tugas untuk membesarkan anak kembar mereka diserahkan ke bahu isterinya, Seri Bulan. Pada suatu petang yang cerah, Seri Bulan berhasrat untuk membawa anak kembarnya ke satu kawasan lapang agar bolehlah kedua-dua anaknya bermain dengan lebih bebas. Hendak dijadikan cerita pada petang itulah Seri Bulan dikatakan telah mendongak ke langit dan terpandang sesuatu yang luar biasa iaitu bulan dan matahari muncul pada masa yang sama di langit.
Kebetulan pada masa yang sama si suami iaitu si Seri Matahari bersama-sama dengan 2 orang anak buahnya yang setia sedang melalui tempat di mana Seri Bulan membawa Sulung Patra dan Puteri Bongsu bermain dan beliau menghampiri isterinya yang sedang khusyuk mendongak langit. Melihat kepada peliknya perangai isterinya sehingga tidak menyedari kehadirannya, si Seri Matahari berserta dengan kedua-dua anak buahnya juga mendongak langit dan mereka berpandangan sesame sendiri. Seri Matahari bertanya kepada kedua-dua anak buahnya apakah makna disebalik semua yang mereka lihat pada petang itu kerana mustahil bulan dan matahari boleh berada di satu masa yang sama. Lalu dijawablah kedua-dua anak buah Seri Matahari mungkin ini menunjukkan bahawa keluarga Seri Matahari akan mendapat rezeki yang melimpah-ruah.
Apa yang menjadi musykil adalah selepas kejadian pelik tersebut dikhabarkan kedua-dua si Sulung Patra dan si Puteri Bungsu telah jatuh sakit sehingga tidak sedar diri. Ramai dukun yang telah dipanggil untuk mengubati kedua-duanya namun segala usaha tetap menemui jalan buntu untuk memulihkan mereka. Akhirnya Seri Matahari telah meminta pertolongan seorang dukun yang tinggal nun jauh di hujung penempatan mereka. Melalui cerita yang dikhabarkan oleh Matahari, dukun ini membuat satu perkiraan berdasarkan kepada peristiwa pelik yang Seri Matahari dan Seri Bulan saksikan sebelum kejadian kedua-dua putera dan puterinya jatuh sakit dikatakan dukun membuat ramalan bahawa penempatan mereka akan diserang oleh seekor burung gergasi yang dipanggil Burung Garuda.
Ramalan dukun ini telah membuat Seri Matahari berasa amat risau kerana mana mungkin komunitinya yang kecil itu mampu melawan serangan burung raksasa itu. Dari ramalan dukun itu juga jika hendak mengelakkan penempatan mereka diserang maka wajarlah kedua-dua anak kembar Seri Matahari dan Seri Bulan yang bernama Sulung Patra dan Puteri Bongsu dibuang jauh-jauh daripada penempatan mereka. Selain itu hanya itulah sahaja yang boleh dilakukan agar kedua-duanya mampu terus hidup kerana hanya diluar daripada penempatan mereka sakit si Sulung Patra dan si Puteri Bongsu akan pulih.
Ibu manalah yang sanggup berpisah dengan anak-anak kandungnya yang 9 bulan 9 hari digendong di dalam perut dan apabila dilahirkan dijaga umpama menatang minyak yang penuh namun begitu atas nama menyayangi anak-anak buah di penempatan yang mereka pimpin akhirnya si ibu iaitu Seri Bulan menyerahkan kedua-dua anaknya untuk dibawa pergi jauh dari penempatan mereka. Di sepanjang perjalanan menghantar pasangan kembar anaknya itulah hati si ibu iaitu Seri Bulan bagai hancur dihempas ke batu dan disepanjang perjalanan itulah airmatanya tidah henti-henti bercucuran.
Akhirnya setelah melalui beberapa denai di dalam jalan-jalan hutan, rombongan menghantar si Sulung Patra dan si Puteri Bongsu ini menemui satu kawasan yang difikirkan oleh mereka baik untuk kedua-duanya meneruskan kelangsungan hidup kerana tidak jauh dari sungai. Maka bermulalah rombongan itu membina tempat berteduh kekal untuk kedua-duanya agar boleh bertahan daripada panas hujan.
Namun sesuatu yang tidak diduga telah berlaku apabila dikala sedang sibuk membuat kelengkapan untuk kediaman si Sulung Patra dan si Puteri Bongsu ini, segala ramalan dukun menjadi benar-benar berlaku. Di kala itulah dikatakan munculnya seekor burung gergasi yang bernama burung Garuda terbang dengan bengis dan cuba untuk menyambar si Sulung Patra dan si Puteri Bongsu daripada dakapan ibunya si Seri Bulan. Dengan linangan airmata dan munculnya semangat seorang ibu untuk menyelamatkan anak-anaknya daripada disambar si Garuda, si Seri Bulan bersama-sama dengan si Seri Matahari berhempas pulas melawan si burung Garuda. Namun apalah ada pada kudrat seorang manusia melawan seekor burung yang besar itu akhirnya si burung Garuda berjaya menyambar kedua-dua ini terbang tinggi.
Hendak dijadikan cerita, di ketika si Garuda telah berjaya membawa kedua-dua si Sulung Patra dan si Puteri Bongsu pergi ke satu tempat yang tidak pasti pada masa itulah angin yang sepoi-sepoi bahasa bertukar menjadi angin kencang dengan kilat saling menyambar. Ketika terbang jauh di satu kawasan di hulu sungai itulah si Sulung Patra dikatakan telah terjatuh dan terdampar ke dalam sungai. Manakala si Puteri Bongsu berjaya dilarikan dan tidak diketahui apa untung nasibnya.
Kejadian yang disaksikan sendiri oleh ayah dan ibu si Sulung Patra dan si Puteri Bongsu berserta dengan rombongannya. Tangisan si ibu si Seri Bulan semakin tidak berkesudahan dan pada ketika mereka sampai untuk menyelamatkan si Sulung Patra itulah mereka menyaksikan bagaimana si Sulung Patra telah sedikit demi sedikit bertukar menjadi ikan yang dikenali dengan nama ikan kitieng. Di kawasan hulu sungai ini yang mana kawasannya mempunyai batu-batu inilah si ikan kitieng meneruskan kelangsungan hidupnya sehinggalah akhirnya nama kawasan itu dikenali dengan nama Batu Kitieng atau Batu Kitang.
Menurut dukun yang juga mengikuti rombongan Seri Bulan dan Seri Matahari ini kejadian ini adalah bukan kerana nasib tidak baik yang menimpa si Sulung Patra dan si Puteri Bungsu sebaliknya ini adalah suratan terhadap apa yang seharusnya tidak berlaku sejak awal lagi iaitu ini adalah sumpah yang dikenakan kepada kedua-dua keluarga Seri Bulan dan Seri Matahari kerana kedua-duanya tidak boleh disatukan sebagai suami isteri.
Kasih Ibu Itu Membawa Ke Syurga.
#KamekSayangSarawakBah!