PARANG ILANG
PARANG ILANG
– Warisan tradisi masyarakat Dayak Sarawak
Parang ilang merupakan salah satu senjata yang amat dihormati bagi masyarakat Dayak di Sarawak malah sehingga kini ianya juga salah satu senjata wajib ada bagi keluarga Dayak Sarawak. Jika mengimbau kembali sejarah parang ilang ini dengan masyarakat Dayak Sarawak adalah sesuatu yang amat dekat sekali memandang suatu waktu dahulu parang ilang ini merupakan senjata utama untuk adat Ngayau dan sudah tentu ianya digunakan untuk memenggal kepala musuh sewaktu perang Ngayau.
Dan kerana itulah parang ilang ini amat dihormati dan diceritakan ada sesetengah parang ilang dihulunya diikat dengan rambut manusia yang mana setiap helai rambut tersebut menunjukkan berapa banyak kepala yang bercerai dari badan oleh parang ilang tersebut. Kerana itulan parang ilang warisan keluarga yang diwarisi secara turun temurun sebenarnya mempunyai jalan ceritanya sendiri bagi masyarakat Dayak Sarawak.
Sebilah parang ilang juga mempunyai criteria yang hampir sama dengan sebilah keris. Ianya mempunyai bahagian ulu, sarung dan bilah parang. Kebiasaannya bahagian ulu parang diperbuat daripada kayu dan kayu yg digunakan bukanlah dari sembarangan sebaliknya pemilihan kayu juga diambilkira. Setiap parang ilang juga mempunyai ukiran dan hiasan di bahagian ulu parang bagi menggambarkan pemiliknya siapa.
Panjang bagi sebilah parang ilang adalah antara 70 hingga 80 cm dengan bahagian hujung parang adalah agak runcing dan kelebarannya adalah antara 6 hingga 7 cm. Kelebaran bahagian pangkal sebilah parang ilang pula antara 3 hingga 4 cm. Untuk bahagian belakang parang pula diperbuat daripada logam tembaga yang akan menyinar warna kuning keemasan bagi parang ilang tersebut.
Sebenarnya parang ilang bukan sahaja merupakan senjata warisan tradisi bagi etnik Iban sahaja namun parang ilang juga simbol kemegahan turun temurun bagi etnik Kenyah, Penan dan beberapa komuniti masyarakat Dayak Sarawak yang lain. Kegunaannya hampir sama bagi setiap etnik Dayak cuma yang membezakannya adalah saiz dan bentuk bilah itu sendiri iaitu samada ianya melengkung lurus atau condong ke belakang.
Di dalam etnik Iban, parang ilang lebih dikenali sebagai Nyabor. Nyabor ini bentuknya seakan-akan pedang samurai dan amat tajam. Disinilah yang membezakan parang ilang buatan Dayak Iban ataupun Dayak Kayan kerana kedua-dua etnik ini amat pandai membuat parang ilang.
Untuk etnik Kayan pula, parang Ilang lebih dikenali dengan panggilan Parang Mandau ataupun Malat. Mandau jika dari segi saiz sebenarnya lebih kecil sedikit daripada Nyabor. Walau bagaimanapun ia juga mempunyai satu mata lurus dengan mata bilah semakin melebar dan runcing dibahagian hujungnya.
Mata bilahnya pula mempunyai lekuk dan melengkung sedikit pada bahagian matanya. Ianya juga mempunyai hulu yang kebiasaannya diperbuat daripada tanduk rusa ataupun kayu. Sarungnya juga adalah sama seperti Nyabor dan juga dihiasi dengan motif-motif yang tertentu bagi menggambarkan siapakah pemiliknya.
Hati-hati dari segi penggunaan parang ilang ini kerana ianya harus dilakukan dengan betul bagi mengelakkan kecederaan kepada yang menggunakannya dan kerana itulah bagi pahlawan-pahlawan etnik Dayak dahulu lagi mahir dia menggunakan parang ilang lagi banyaklah musuh yang mampu ditumpaskannya di dalam satu peperangan.
Sejajar dengan peredaran zaman, parang ilang sekarang sudah melangkau batas waktu dan sekarang ianya dijual dengan harga yang tinggi di pasaran samada dalam negeri mahupun luar negara Cuma yang agak membimbangkan sekarang ramai generasi muda tidak mahu menjadi penerus kepada pembuatan parang ilang berbanding suatu waktu dahulu.
Amatlah berharap agar warisan tradisi ini akan terus utuh dipegang oleh masyarakat Dayak kerana parang ilang adalah antara senjata yang menggambarkan jati diri sebagai anak Dayak, Bangsa Sarawak.
#KamekSayangSarawakBah!