top of page

PEJABAT POS BESAR KUCHING


PEJABAT POS BESAR KUCHING


Di ketika pemerintahan Rajah Ketiga bagi Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Vyner Brooke yang memerintah dari tahun 1917 sehingga 1946, banyak bangunan-bangunan di Sarawak khususnya di Kuching yang mempunyai binaan ala-ala Eropah. Salah satu daripadanya yang masih lagi berfungsi sehingga sekarang adalah Pejabat Pos Besar Kuching yang menjadi saksi bisu kepada peralihan kuasa pemerintah Sarawak dan pembangunan di Kuching sejak di era Brooke yang dikenali sebagai Sarawak Kingdom sehinggalah menjadi antara pembentuk Gagasan Malaysia sekarang. Sejarah bangunan inilah yang akan menjadi penghias artikel pada kali ini kerana ianya sinonim dengan bangsa Sarawak dari dahulu sehingga sekarang.


Lokasinya yang terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching merupakan antara bangunan yang bercirikan binaan neo-klasik ala Eropah yang menjadikannya begitu menarik perhatian pelancong di Kuching khususnya. Siapa sangka di Sarawak Bumi Kenyalang yang sering dilabelkan hidup di hutan rimba dan tinggal di atas pokok sebenarnya menyimpan satu sejarah yang mana tiang-tiang yang dilihat di bangunan ini merupakan satu-satunya tiang dari binaan tiang Corinthian yang pernah dibina di dunia pada masa itu.


Menyelusuri sejarah bangunan bersejarah ini yang disiapkan pada tahun 1932 ketika pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke pada asalnya didirikan untuk menjadi ibupejabat bagi anggota Polis Sarawak Kingdom. Dan mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa disinilah juga sebenarnya terletaknya kandang kuda untuk keluarga pemerintah Brooke sejak dahulu lagi.


Suatu ketika dahulu disinilah keluarga Brooke sering menghabiskan hujung minggu mereka dengan menunggang kuda bersama-sama menyelusuri satu likaran jalan yang hijau yang sekarang dikenali sebagai Jalan Green di Kuching, Sarawak.


Dan bangunan bersejarah ini mendapat sentuhan rekabentuk oleh seorang arkitek yang amat tersohor di Singapura dan Unitek Kingdom iaitu seorang arkitek berbangsa Inggeris yang berasal dari Cork, Ireland iaitu Mr Denis Santry daripada firma arkitek di Singapura yang dikenali sebagai Swan And Mclaren Architect Firm. Dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa arkitek bernama Mr Denis Santry inilah juga arkitek yang bertanggungjawab kepada banyak bangunan neo-klasik yang ada di bumi Sarawak sekarang seperti Monumen Brooke yang terletak di hadapan Sarawak Courthouse sekarang.


Melihat kepada keperluan pentadbiran Sarawak Kingdom pada masa itu di dalam menguruskan pentadbirannya, bangunan pejabat pos besar ini juga menempatkan pejabat bagi sesetengah jabatan kakitangan awam Sarawak Kingdom. Malah ianya juga menempatkan sebuah bank yang dikenali dengan Chartered Bank iaitu antara perbankan yang menguruskan segala hal-ehwal kewangan untuk peniaga-peniaga di Sarawak.


Dan kerana ianya terletak bersebelahan dengan bank maka di sinilah juga merupakan pejabat pos besar bagi Sarawak Kingdom dan kemudahan yang disediakan bersebelahan dengan bank sudah tentu memberi kesenangan kepada rakyat Sarawak Kingdom pada masa itu.

Pada tahun 1941 iaitu ketika bermulanya perang dunia kedua dan Sarawak tidak terkecuali daripada pendudukan Jepun, bangunan ini juga menjadi saksi bisu kepada Sarawak di dalam kancah peperangan dan disinilah juga dikatakan pihak tentera Jepun telah memulakan propaganda perang mereka dengan meletakkan pelbagai banner agar rakyat Sarawak pada ketika itu terus menyokong pentadbiran “Kita Boruneo” Jepun di Sarawak. Dan sesuatu yang amat menarik perhatian ketika banyak bangunan-bangunan lain di bumi Kuching khususnya musnah akibat pengeboman Perang Dunia Kedua, bangunan ini terselamat daripada terkena bom.


Setelah Sarawak menjadi salah satu tanah jajahan Koloni British Borneo iaitu setelah Sarawak Kingdom diserahkan pada tahun 1946 oleh Rajah Charles Vyner Brooke kepada Koloni British Borneo, bangunan ini tetap menjadi pejabat pos besar bagi Sarawak dan ianya beroperasi seperti biasa dan menjadi antara bangunan penting di dalam menghubungkan Sarawak dengan dunia luar suatu ketika dahulu.


Di ketika Sarawak menjadi antara pembentuk Gagasan Malaysia, bangunan ini terus berfungsi sebagai nadi kepada rakyat Sarawak di dalam urusan pos dan sebagainya sehinggalah pada tahun 1978 ianya dibeli oleh Pejabat Pos dengan harga $2,000,000.00 dan ketika itulah juga bangunan ini juga menjadi berek kediaman kira-kira 300 orang kakitangan pos dan menjadi ibu pejabat kepada kesemua 54 operasi pejabat pos kecil dan 18 pejabat pos mobile yang berada di seluruh Sarawak pada ketika itu.


Sekitar tahun 1980an, sudah ada keperluan untuk bangunan sejarah ini diubahsuai memandangkan binaan atapnya masih lagi menggunakan binaan atap lama dan usang maka pada tahun 1985, pihak Pejabat Pos telah memperuntukkan kira-kira RM100,000.00 untuk urusan baikpulih atap dan bangunannya agar ianya tetap terus utuh dan berfungsi sehingga sekarang.


Inilah sekelumit ruang informasi sejarah di dalam kita cuba mengenali satu lagi bangunan binaan neo-klasik iaitu Bangunan Pejabat Pos Besar Kuching yang sudah pasti mempunyai memori indah bagi sesetengah bangsa Sarawak khususnya di Kuching kerana disinilah dahulu sekitar tahun 1970an merupakan antara perhentian bas awam yang popular memandangkan ianya dekat dengan pusat membeli belah di Kuching seperti Kuching Plaza dan juga sekolah missionary St Mary’s, St Thomas serta gereja St Thomas dan juga hanya 5 minit berjalan kaki ke Lebuh India yang terkenal sebagai tempat membeli belah bagi masyarakat di Kuching.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page