PERANG ETNIK IBAN KE ATAS BROOKE (1843-1933)
PERANG ETNIK IBAN KE ATAS BROOKE (1843-1933)
Jika kita Bangsa Sarawak merujuk kepada dokumen-dokumen sejarah buatan bangsa Eropah seringkali bangsa tempatan kita dilabelkan sebagai pemberontak, lanun dan banyak lagi. Hakikatnya jika kita perhatikan dari sudut sebenarnya apa yang dilakukan oleh Bangsa Sarawak suatu waktu dahulu adalah untuk memperjuangkan keadilan di tanahair sendiri. Inilah yang terjadi di dalam setiap ceritera sejarah perjuangan anak bangsa di dalam masyarakat Iban Sarawak yang populasinya adalah majoriti di dalam Bangsa Sarawak dari dulu sehingga sekarang.
Penentangan Rentap merupakan salah satu daripada “Bujang Berani” di dalam kalendar sejarah masyarakat Iban di Sarawak dan banyak kronologi sejarah dipaparkan mengenai beliau. Namun begitu hakikatnya banyak lagi nama-nama besar “Bujang Berani” di kalangan masyarakat Iban Sarawak yang bangun menentang pemerintahan Rajah Brooke selama 100 tahun di bumi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Untuk artikel kali ini sebagai satu perkongsian informasi sejarah, Borneo Oracle akan cuba mengupas satu kronologi sejarah penentangan yang dilakukan oleh masyarakat Iban yang namanya tidak se gah Pahlawan Rentap.
Sekitar tahun 1843, masyarakat Iban Saribas daripada Padeh dan Paku telah dikalahkan oleh James Brooke dengan bantuan Kapten Henry Keppel. Pada ketika itu juga kawasan Rimbas juga turut diserang dan akhirnya menjadikan Rimbas salah satu jajahan yang jatuh ke tangan Rajah James Brooke. Akibat daripada kekalahan tersebut, ramai penduduk Iban yang mendiami Rimbas yang tidak mahu dibawah telunjuk Rajah Brooke telah berpindah ke kawasan Krian melalui kawasan Melupa. Sejak itu mereka terus bermastautin sepanjang Sungai Krian. Dan kerana itulah jika kita pernah ke kawasan Krian sekarang, ramai penduduk daripada masyarakat Iban mendominasi kawasan sepanjang sungainya.
Walau bagaimanapun suatu waktu dahulu apabila keadaan sudah aman di kawasan tersebut lebih-lebih lagi apabila Rajah Brooke telah berjaya mengalahkan penentangan yang dilakukan oleh Kedu “Lang Ngindang” di Bukit Stulak dan juga Janting “Lang Labang” di Bukit Batu di hulu Sungai Mujong, Rajah Brooke telah menitahkan untuk kesemua masyarakat Iban yang mendiami Sungai Baleh serta cabang-cabang sungai tersebut untuk kembali mendiami kawasan penempatan lama mereka dan diletakkan dibawah kawalan pemerintahan kerajaan tadbir Rajang dan dikawal selia oleh Kerajaan di Kapit.
Akibat daripada perintah Rajah Brooke ini telah menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin Iban kerana dikatakan Rajah Brooke telah mencampuri hal-ehwal masyarakat Iban di kawasan tersebut. Antara yang bangun membantah adalah seorang pemimpin Iban Ulu Ai yang tersohor namanya iaitu Penghulu Ngumbang “Brauh Langit” dari Mepi. Penghulu Ngumbang telah memulakan penentangan terhadap kekuasaan Brooke di Kedang pada tahun 1886.
Beliau turut dibantu oleh pahlawan-pahlawan Iban yang lain seperti Penghulu Banting “Ijau Lelayang” di dalam perang di Katibas. Namun begitu perang tersebut menyebelahi Rajah Brooke yang mendapat pertolongan daripada masyarakat Iban Padeh diketuai oleh Orang Kaya Penghulu Nanang dari Padeh, Penghulu Minggat Awik dan Jabu dari Bangat, Skrang. Hampir 2 tahun perang tersebut berlalu dan akhirnya kata sepakat diambil untuk mengadakan keamanan dan disinilah Penghulu Ngumbang, Penghulu Banting serta Imba dan Allam bersetuju untuk menghadiri satu majlis keamanan yang dianjurkan oleh Rajah Brooke di Lubuk Antu dan Fort Kapit.
Tanpa Rajah Brooke sedari akibat daripada Perjanjian Keamanan di Kapit itu telah menimbulkan rasa kurang senang dan keresahan masyarakat Iban Yong dan Cheremin yang mendiami Rajang atas kerana mereka tidak dijemput sama. Akhirnya bara keresahan itu memuncak pada tahun 1894 dan mereka telah melancarkan penentangan secara terbuka kepada Rajah Brooke. Rajah Brooke yang tidak menggemari sebarang penentangan telah melancarkan ekspedisi ke kawasan tersebut secara peribadi dengan sekali lagi mengharapkan bantuan daripada masyarakat Iban sendiri yang diketuai oleh Orang Kaya Penghulu Nanang dari Padeh. Saribas.
Inilah perang yang terakhir yang dianggotai oleh Orang Kaya Penghulu Nanang kerana pada ketika itu dia sudahpun berusia dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1901. Akhirnya sekali lagi penentangan yang dilakukan oleh Iban Yong dan Cheremin mampu diredakan oleh angkatan Rajah Brooke dan keamanan kembali dikecapi di kawasan tersebut.
Hendak dijadikan cerita, setelah keamanan dikecapi dikatakan bahawa Penghulu Bantin telah ke Kapuas dan di dalam perjalanan pulangnya itu beliau melalui kawasan Ulu Ai dan di Ulu Ai beliau telah membeli sebuah tajau. Tajau yang dibeli adalah satu tajau yang mahal harganya serta mempunyai perincian yang tersendiri. Kerana perjalanan pulang beliau terlalu jauh jaraknya maka beliau dikatakan telah singgah bermalam di sebuah rumah panjang masyarakat Iban Batang Ai.
Setelah habis lelahnya maka Penghulu Bantin pun bertolak pulang ke kawasannya. Namun begitu setelah pemergian Penghulu Bantin terdapat pula riuh piuh di rumah panjang Iban Batang Ai itu yang mana seorang lelaki Iban Batang Ai mengadu bahawa tajaunya telah dicuri oleh Penghulu Bantin. Kehilangan tajau tersebut telah diadukan ke pengetahuan Residen Mr. Bailey. Mr Bailey amat marah dengan Penghulu Bantin kerana dikatakan telah mencuri tajau tersebut tanpa beliau selidiki cerita sebenarnya.
Bertindak daripada aduan kecurian itu dan Penghulu Bantin pula dituduh mencuri tajau telah menyebabkan Mr Bailey menuntut agar Penghulu Bantin membayar cukai ke atas tajau tersebut kepada lelaki Iban Batang Ai. Sudah tentu ini menimbulkan kemarahan Penghulu Bantin yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut memandangkan tajau itu beliau beli dengan duitnya sendiri bukannya dicuri. Insiden ini telah menimbulkan keadaan yang tegang antara Mr Bailey dan Penghulu Bantin. Bertitik tolak daripada itu, Penghulu Bantin yang telah sampai di Ulu Ai telah mengumpul kesemua pahlawan-pahlawan Iban di Ulu Ai bagi menentang pentadbiran Brooke di situ.
Rajah Brooke pula yang mendapat laporan daripada Mr Bailey yang salah telah mula resah dan akhirnya beliau sendiri mengetuai satu ekspedisi untuk meredakan penentangan yang dianjurkan oleh Penghulu Bantin. Pentempuran yang berlaku di Bukit Entimau 1904 akhirnya dimenangi oleh Rajah Brooke dan keadaaan kembali reda buat sementara waktu.
Namun begitu sekali lagi masyarakat Iban Kanowit telah berperang pada tahun 1904. Kali ini ianya dimulai oleh Kana dari Engkari dan Mantuk “Batu Cheling” berserta masyarakat Iban dari Ulu Kanowit. Kana merupakan antara pahlawan Iban yang begitu setia dengan Penghulu Bantin. Penentangan ini berlaku bagi menuntut bela atas ketidakwajaran Kerajaan Brooke ke atas Penghulu Bantin. Rajah Brooke telah mendapat sokongan daripada Penghulu Munan dari Wong Adai. Perang yang berlaku di Meluan ini lebih dikenali sebagai Perang Bongkap kerana di dalam penentangan tersebut pengikut-pengikut Penghulu Bantin telah menggunakan bot besar tradisi masyarakat Iban iaitu Bongkap. Akhirnay Perang Bongkap ini juga menyebelahi Kerajaan Sarawak ketika itu dan seluruh daerah yang terlibat juga kembali aman.
Pada tahun 1906, sekali lagi daerah ini berada di dalam ketegangan apabila Penghulu Ngumbang dari Mepi, Ulu Ai dengan mendapat sokongan dari masyarakat Iban Ulu Air, Emperan, Kanowit, Julau, Katibas dan Iban Baleh telah melakukan penentangan ke atas Kerajaan Sarawak. Penentangan terhadap Kerajaan Sarawak ini telah menemui kemuncaknya di Bukit Balong yang mana kedua-duanya telah saling berlawan antara satu sama lain.
Akhirnya sekali lagi penentangan ini berjaya diselesaikan oleh Rajah Brooke dan angkatannya sehingga memaksa Penghulu Ngumbang dan Penghulu Bantin bersetuju untuk berdamai dan satu majlis menandatangani perjanjian keamanan diadakan di Kapit pada tahun 1907. Inilah merupakan penentangan terakhir yang dilakukan oleh Penghulu Ngumbang dari Mepi, Ulu Air dan beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1914.
Sekitar tahun 1915, sekali lagi berlaku penentangan terhadap pemerintahan Rajah Brooke iaitu kali ini diketuai oleh Penghulu Merom. Angkatan Penghulu Merom bertempur dengan tentera Kerajaan Negara Sarawak yang mendapat sokongan daripada Gani “Sauh Besi” iaitu cucunda kepada Kedu “Lang Ngindang” dari Skrang. Gani “Sauh Besi” sebenarnya menetap di Bawang Assan, Sibu. Pertembungan mereka terjadi di antara Sungai Mujong dan cabang anak sungai Gaat. Penentangan ini juga dilalui dalam tempoh yang agak lama untuk diselesaikan dan hanya sekitar tahun 1919 barulah ianya reda dan akhirnya satu lagi majlis keamanan berjaya diadakan di Kapit pada tahun 1920 antara Penghulu Merom dan Kerajaan Brooke.
Di dalam masa yang sama Rajah Brooke menangani masalah Penghulu Merom yang memulakan penentangan terhadap beliau, Rajah Brooke juga terpaksa berdepan dengan perang saudara antara masyarakat Iban Ulu Ai yang diketuai oleh Tabor, anak kepada Penghulu Ngelingkong dari Mujan.pada tahun 1916. Perang saudara ini berlaku antara masyarakat Iban Ulu Ai dibawah Tabor dengan masyarakat Kayan yang mendiami Sungai Rajang Atas. Untuk kali ini, Rajah Brooke telah menghantar satu ekspedisi untuk meredakan keadaan tegang tersebut. Disinilah Tabor telah terkena tembakan lalu menemui ajalnya akibat ditembak oleh seorang konstabel dibawah tentera Kerajaan Sarawak Kingdom yang bernama Impin, Iban dari Bangat, Skrang.
Akhirnya penentangan ini dapat diredakan dan satu majlis keamanan telah berjaya ditandatangani antara masyarakat Iban Batang Ai dan Batang Rajang dengan Kayan dari Long Nawan pada tahun 1924. Pada majlis damai ini masyarakat Iban telah diwakili oleh Penghulu Koh, Keling Melintang dan Penghulu Baleh. Kerana berjayanya perdamaian inilah Penghulu Koh telah mendapat pujian daripada Rajah Charles Vyner Brooke yang merupakan rajah Ketiga Sarawak Kingdom pada masa itu dan akhirnya beliau dianugerahkan pangkat daripada Penghulu ke Temenggung pada tahun 1924.
Sekitar tahun 1929, telah berlaku satu penentangan yang dimulai oleh Penghulu Asun “Bah Tunggal” dari Entabai. Di dalam sejarah penentangan ini dikatakan bahawa Penghulu Asun dan ramai lagi ketua masyarakat Iban telah bertindak menentang perintah Rajah Brooke yang mengwajibkan setiap masyarakat Iban untuk membayar cukai atas senjata api yang dimiliki malah memiliki tajau juga turut dikenakan cukai.
Ini menimbulkan rasa ketidakpuasan hati masyarakat Iban pada masa itu kerana setiap meriam mahupun tajau yang dimiliki adalah harta warisan masyarakat Iban yang diwarisi zaman berzaman dari peninggalan nenek moyang mereka. Lagipun, masyarakat Iban telahpun mengeluarkan belanja yang banyak untuk membeli dan memulihara barangan warisan ini dan adalah tidak wajar ianya dikenakan cukai oleh Kerajaan Negara Sarawak. Walaupun ketidakpuasan hati mereka telah dipanjangkan kepada pentadbiran Kerajaan Negara Sarawak pada waktu itu namun tiada kesepakatan yang berjaya dilakukan antara kedua belah pihak.
Akhirnya Penghulu Asun dengan sokongan daripada Penghulu Kana dari Engkari, pahlawan Kendawang yang merupakan anak kepada Penghulu Janting “Lang Labang” dari Julau, Manang Bakak dari Pakan, Julau serta ramai lagi pahlawan-pahlawan masyarakat Iban dari generasi muda dari Machan, Poi, Ngemah, Kanowit, Julau dan Ulu Batang Ai telah bersatu menentang pemerintahan Rajah Brooke ketika itu.
Rajah Brooke yang berang kerana adanya penentangan daripada masyarakat Iban yang diketuai oleh Penghulu Asun “Bah Tunggal” telah bertindak memerangi mereka ini. Mereka telah bertempur dengan sengit sekali dan kekuatan tentera angkatan tentera Sarawak Kingdom tidak dapat ditangani oleh mereka.
Pada tahun 1933, Penghulu Asun “Bah Tunggal” telah ditangkap dan selepas itu saki baki sekutunya telah menyerah diri kepada pentadbiran Negara Sarawak pada waktu itu. Dengan perintah daripada Rajah Brooke, Penghulu Asun, Kana, Kendawang dan Mikai telah dibuang negeri ke Lundu. Manakala Manang Bakak telah dipenjarakan di Penjara Marudi pada waktu itu.
Inilah sekelumit kronologi perang yang dilancarkan oleh beberapa pahlawan daripada masyarakat Iban terhadap pentadbiran Keluarga Brooke yang memerintah hampir 100 tahun di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Nama-nama mereka ini sememangnya tidak se gah Pahlawan Rentap yang sering menghiasi topik sejarah di dalam teks sejarah yang kita pelajari sekarang.
Namun begitu nama-nama mereka juga sebenarnya penting dan wajar diketahui oleh kita Bangsa Sarawak di dalam mengetahui sejarah penentangan sebenar pemerintahan Rajah Brooke di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Semoga kronologi perang ini dapat membantu kefahaman kita di dalam mengenal sejarah sebenar Sarawak Bumi Kenyalang.
#KamekSayangSarawakBah!