top of page

PUCUK PAKU MIDIN


PUCUK PAKU MIDIN


Sayo Midin atau Milin atau Bilin, inilah nama-nama yang sering digunakan oleh masyarakat di Sarawak apabila berkata tentang satu lagi jenis tumbuhan hutan yang sering menjadi “Wajib Rasa” apabila berkunjung ke Sarawak. Midin atau nama saintifiknya Stenochlaena Palustris adalah merupakan tumbuh-tumbuhan dari keluarga Blechnaceae. Ianya merupakan tumbuhan liar yang tumbuh di dataran tanah rendah di dalam hutan sekunder atau hutan terbuka.


Midin ini sebenarnya boleh didapati di seluruh Asia Tenggara cuma mungkin ramai yang hanya pandang sipi ke atasnya tetapi di Sarawak Bumi Kenyalang, sayo Midin adalah makanan yang paling diminati bagi segenap bangsa di Sarawak. Permintaan untuk midin juga amat popular di Kalimantan dan ianya dipanggil Kalakai.


Sebenarnya sebelum midin ini dikomersialkan, ianya sudahpun popular di kalangan masyarakat pribumi Sarawak sejak dahulu lagi. Dikatakan sejak dari zaman berzaman lagi sayo midin ini merupakan antara makanan berkhasiat yang mempunyai seribu manfaat kepada si pemakannya disamping ianya juga mudah didapati di hutan-hutan yang ada di seluruh Sarawak.


Menurut sumber kajian perubatan mengatakan bahawa midin sebenarnya mempunyai kelebihan yang baik untuk kesihatan manusia. Pengambilan sayur midin sebagai makanan dijamin selamat dan mengandungi pelbagai khasiat dengan setiap 100 gram pucuk midin mengandung 4.8 mg zat besi selain mengandungi vitamin A (beta karotene) yang penting bagi menguatkan penglihatan dan mencegah rabun malam.


Selain daripada itu, midin ini juga kaya dengan mineral terutama fosforus dan kalium dan sejak dari dulu lagi bagi pengamal rawatan alternative atau tradisional telah lama menggunakannya dengan merebus pucuknya yang kemudian air rebusannya serta pucuknya dikatakan boleh mengubati masalah kesihatan seperti cirit birit. Inilah antara manfaat pucuk midin yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat di luar sana.


Di Sarawak, pucuk midin ini tidaklah sukar untuk didapati kerana sekiranya berkeinginan untuk memakannya maka sentiasalah rajin-rajin untuk memetiknya di hutan-hutan ataupun di tepi-tepi jalan kerana ianya sememangnya tumbuh meliar. Cuma harus berhati-hati kerana kadang-kadang banyak juga binatang berbisa seperti ular yang sering menunggu di sebalik rimbunan tumbuh-tumbuhan hijau di bumi. Walau bagaimanapun, jika malas untuk mengambilnya sendiri, sering-seringlah berkunjung ke pasar tani di seluruh Sarawak yang sudah tentu ada menjualnya dengan harga yang berpatutan iaitu antara rm2 ke rm3 seberkas.


Dari segi resipi masakan pula, sayur midin ini sebenarnya mempunyai seribu cara untuk dirasai keenakannya kerana di Sarawak, sayur midin sudah cukup popular di kalangan masyarakatnya. Yang paling popular adalah resipi sayur midin masak belacan yang sememangnya antara yang paling laris jualannya di restoren-restoren makanan laut di seluruh Sarawak.

Jadi sesiapa yang berkunjung ke Sarawak, tidak merasai sayur midin masak belacan ini bolehlah dikatakan belum cukup sempurna kunjungan anda ke Sarawak.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page