SIR JAMES BROOKE (1803-1868)
SIR JAMES BROOKE (1803-1868)
- Rajah Pertama Sarawak Kingdom
Sir James Brooke dilahirkan pada 29 April 1803 di Secrore, Benares, India. Merupakan anak kepada Thomas Brooke, seorang magistret yang bertugas di Mahkamah Tinggi India pada waktu itu. Ketika berusia 15 tahun, James Brooke telah dihantar pulang ke tanahairnya oleh kedua orangtuanya untuk menyambung persekolahannya di England. Pada 1819.
James Brooke telah menyertai pasukan tentera Syarikat Hindia Timur dan distesenkan di India. Ketika menyertai Perang Burma pada tahun 1825, James Brooke dilapurkan mendapat kecederaan yang teruk dan telah dihantar pulang ke England untuk tujuan perubatan. Setelah pulih daripada kecederaan tersebut James Brooke telah bersara daripada dunia ketenteraan dan lebih berminat untuk menjadi pengembara.
Pada tahun 1835, ayah James Brooke, Thomas Brooke telah meninggal dunia dan telah mewariskan harta yang bernilai 30,000 pound kepadanya. Demi keinginannya untuk menjadi pengembara, James Brooke telah menggunakan wang tersebut untuk membeli sebuah kapal yang kemudiannya dinamakan The Royalist. Inilah kapal yang telah menemani James Brooke belayar sehingga ke Borneo dan sering bersama beliau di dalam peperangan tempatan sepanjang dia meluaskan empayar Sarawak Kingdom suatu masa dahulu. Jejak pertama James Brooke ke Sarawak adalah pada tahun 1839 iaitu apabila beliau ditugaskan untuk menghantar surat rasmi tanda terima kasih daripada Gabenor Singapura kepada Raja Muda Hashim, pembesar Kesultanan Brunei yang memerintah Sarawak pada masa itu. Ucapan terima kasih serta beberapa hadiah tanda terima kasih ini adalah atas jasa Raja Muda Hashim yang telah menyelamatkan sekumpulan pelayar British yang terkandas dan kapal mereka karam di perairan Sarawak.
Pada 15 Ogos 1839, maka mendaratlah James Brooke dengan anak kapalnya The Royalist di Sarawak dan disambut oleh Raja Muda Hashim dengan mesra sekali. Maka perkenalan ini telah memungkinkan Raja Muda Hashim memohon bantuan daripada James Brooke untuk menyelesaikan persengketaan tempatan di Sarawak pada masa itu. James Brooke yang tidak mahu mencampuri urusan dalaman Sarawak telah bertindak menolak pelawaan itu dengan baik dan seterusnya kembali belayar ke Singapura.
Sebelum kembali pulang ke England, pada tahun 1840 James Brooke ingin melawat Sarawak untuk kali terakhir maka pada Ogos 1840, James Brooke telah sampai ke Sarawak buat kali kedua dan kali ini sekali lagi Raja Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke untuk membantu beliau. Permintaan bantuan untuk kali kedua ini telah dipersetujui oleh James Brooke berdasarkan imbuhan yang diberikan oleh Raja Muda Hashim kepadanya iaitu akan memberikan Sarawak kepadanya dan diangkat sebagai Gabenor Sarawak sekiranya beliau dapat menyelesaikan pergolakan tempatan tersebut.
Dengan armada laut yang kuat berserta kelengkapan moden pada masa itu, tiada masalah untuk James Brooke menumpaskan persengketaan tempatan itu jadi pada tanggal 24 September 1841, Raja Muda Hashim seperti yang dijanjikan telah menyerahkan hujung barat Sarawak bermula dari Tanjung Dato hingga ke Sungai Samarahan kepada James Brooke dan beliau diangkat menjadi Gabenor Sarawak.
Pada tanggal 18 September 1842, melalui pengiktirafan secara rasmi daripada Sultan Omar Saifuddin II, James Brooke secara automatiknya menjadikan Sarawak hak miliknya. Pada waktu itu empayar Sarawak sudahpun membesar sehingga ke persisiran pedalaman Sarawak. Sepanjang pemerintahan Rajah James Brooke, beliau telah banyak berperang demi menghasilkan keamanan untuk Negara Sarawak.
Peperangan tempatan ini banyak berpunca daripada pemimpin masyarakat tempatan yang tidak dapat menerima proses pentadbiran yang diperkenalkan oleh James Brooke. Banyak usaha telah dilakukan samada melalui diplomasi dan juga peperangan. Rajah James Brooke bukan sahaja didokongi oleh anak kapalnya tetapi juga bersatu dengan masyarakat tempatan yang lain di dalam perang tempatan ini. Sebagai Rajah di sebuah Negara Sarawak yang baru maka sudah tentu pengiktirafan daripada kerajaan-kerajaan luar juga perlu. Atas usaha Rajah James Brooke, pada tahun 1851, Sarawak Kingdom telah diiktiraf sebagai sebuah Negara Merdeka oleh Kerajaan United States of Amerika (USA) pada waktu itu.
Malah perjanjian 1888 juga menjadikan Sarawak Kingdom sebagai sebuah negara perlindungan oleh Kerajaan Mahkota British membenarkan Negara Sarawak sebagai sebuah kerajaan yang merdeka.
Pada tahun 1851, tercalit sedikit onar di dalam pemerintahan Rajah James Brooke apabila beliau telah dituduh oleh Dewan Rendah British dengan kesalahan mengamalkan korupsi dan kekejaman tidak berperi-kemanusiaan terhadap penduduk tempatan di Sarawak. Tuduhan ini dibuat oleh seorang ahli politik British Joseph Hume yang anti imperialis. Penyiasatan telah diadakan dan didapati bahawa James Brooke tidak bersalah dengan segala tuduhan tersebut.
Pada tahun 1857, nyawa Rajah James Brooke hampir melayang apabila pemberontakan masyarakat pelombong Cina diketuai oleh Mau Shan berlaku di Kuching, Sarawak. Mau Shan dan pelombong Cina yang digelar kongsi telah berjaya menawan Kuching selama 3 hari. Walaupun pada mulanya kemenangan berpihak kepada kumpulan kongsi Mau Shan dan mereka berpendapat bahawa Rajah James Brooke telah terbunuh di dalam pemberontakan tersebut namun hakikatnya Rajah James Brooke telah dapat menyelamatkan diri dengan berenang menerusi tongkang-tongkang hakmilik pengikut Mau Shan di Sungai Sarawak dan berlindung dengan bantuan ketua masyarakat di Kuching. Setelah mengumpul kekuatan kembali akhirnya 3 hari selepas itu, Kuching berjaya ditawan semula oleh Rajah James Brooke.
Setelah mendiami Sarawak pada suatu jangkamasa yang agak lama, akhirnya pada tahun 1863, Rajah James Brooke telah kembali ke England walau bagaimanapun setiap tahun beliau akan pulang menjenguk Sarawak selang 2 kali setahun. Rajah James Brooke menghembuskan nafasnya yang terakhir di Devonshire, England pada tahun 1868 selepas tiga kali mengharungi serangan strok. Selepas kematiannya, pemerintahan Sarawak diserahkan kepada anak saudaranya Charles Brooke, anak adik perempuannya memandangkan Rajah James Brooke tidak meninggalkan waris.
Inilah sekelumit sejarah buat sumber informasi bangsa Sarawak sekalian tentang seorang bangsa Eropah yang telah menjadi Rajah putih yang pertama di Negara Sarawak suatu waktu dahulu. Mengetahui sejarahnya bukan bermakna kita ingin mengagung-agungkan bangsa lain tetapi Rajah James Brooke inilah yang merintis jalan kepada sebuah negara merdeka yang mempunyai sistem pemerintahan moden dengan disokong oleh bangsa Sarawak sendiri yang bergelar Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Rajah James Brooke merupakan pelopor kepada sejarah moden bagi Sarawak Kingdom yang pernah wujud suatu ketika dahulu.