SONGKET SARAWAK
SONGKET SARAWAK
Songket Sarawak…..mungkin agak pelik bunyinya kerana siapa sangka di Sarawak Bumi Kenyalang yang kebiasaannya terkenal dengan kain pua kumbu dari etnik Dayak sebenarnya juga mempunyai tenunan songketnya yang tersendiri. Tenunan songket ini sebenarnya sudah berabad lamanya di Sarawak iaitu sejak ianya menjadi tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei lagi.
Seni songket merupakan sebahagian daripada seni sulaman kain tradisional dari kaum Melayu yang mana ianya menggunakan sutera atau benang kapas serta benang logam yang berwarna-warni bagi membentuk motif songket. Motif songket yang dicipta melalu kaedah pakan tambahan juga dikenali sebagai menyongket iaitu satu perkataan daripada bahasa Melayu yang bererti menyulam. Di dalam menyongket ini benang logam akan dimasukkan dan ditenun menjadi kain.
Proses pembuatan satu songket bukanlah mudah kerana ianya melalui proses yang agak rumit yang hanya boleh dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar dan penghasilannya memerlukan tumpuan yang tinggi daripada penenun. Untuk menghasilkan satu helai songket itu sahaja dikatakan mengambil masa antara 3 ke 4 bulan lamanya. Jadi sesuai dengan daya kreatif yang tinggi di dalam memperkembangkan motifnya di atas satu kain dan juga jangkamasa yang diambil untuk menyiapkannya menjadikan harga untuk sehelai kain songket juga agak tinggi di pasaran.
Menurut sejarahnya, kain songket Sarawak juga sebenarnya adalah antara seni sulaman masyarakat Melayu Sarawak sejak di zaman menjadi tanah kuripan Kesultanan Brunei suatu waktu dahulu. Oleh kerana itulah ianya banyak diusahakan di perkampungan-perkampungan Melayu di seluruh Sarawak kerana adanya permintaan daripada golongan Melayu Sarawak. Dan sudah tentu ianya berbeza daripada motif-motif yang diabstrak dari pengeluar-pengeluar songket di Semenanjung Malaysia seperti Songket Trengganu yang juga gah namanya di seluruh dunia.
Di Sarawak lebih-lebih lagi di kalangan Melayu Sarawak, kain songket ini sebenarnya merupakan antara busana tradisi yang diwarisi di dalam keluarga. Kain songket ini seringkali digunakan oleh masyarakat Melayu Sarawak sewaktu majlis-majlis penting seperti untuk busana pengantin itu sendiri sehinggalah menjadi antara pelengkap kepada busana baju melayu ketika merayakan sambutan hariraya Aidilfitri iaitu menjadi “sabok” (samping di dalam bahasa Malaysia standard) bagi kaum lelaki Melayu Sarawak.
Jika ditinjau kepada kepentingan kain songket ini juga sebenarnya seringkali juga dipakai ketika diadakan di dalam adat budaya Melayu Sarawak yang dipraktikkan sejak dahulu lagi. Contohnya di dalam majlis cukur jambul seorang bayi yang baru habis daripada tempoh berpantang misalnya, ketika inilah bayi tersebut akan dikendong di dalam kain songket sebagai simbolik kepada betapa berharganya bayi tersebut di dalam satu keluarga itu.
Selain daripada itu di dalam adat perkahwinan Melayu Sarawak juga selain daripada pengantin perempuan yang kebiasaannya akan mendapat “lapit kaki” (hadiah di dalam bahasa Malaysia standard) yang berupa rantai atau gelang emas, ada juga sesetengah keluarga yang memberikan kain songket Sarawak kepada menantu mereka kerana songket Sarawak adalah warisan masyarakat Melayu.
Begitulah signifikasi songket Sarawak di dalam penghidupan masyarakat Melayu Sarawak sejak dari dahulu lagi sehingga ianya diangkat sebagai antara sumber warisan wajib ada di dalam komuniti Melayu Sarawak itu sendiri. Jika dahulu industri songket Sarawak hanya dihidupkan oleh segelintir masyarakat Melayu di Sarawak tetapi sekarang sudah ada beberapa pertubuhan yang menjadikannya sebagai yang lebih berbentuk komersial seperti Tanoti House yang memberikan ruang untuk songket Sarawak ini bersaing di mata dunia.
Pak Penambang Sungei Sarawak
Melepas Lelah Ditepi Kalan
Alangkah Indah Songket Sarawak
Tenunan Asli Zaman Berzaman
#KamekSayangSarawakBah!