top of page

TAN SRI DATUK AMAR STEPHEN KALONG NINGKAN


TAN SRI DATUK AMAR STEPHEN KALONG NINGKAN

Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, itulah tokoh Negarawan ulung bagi kita bangsa Sarawak kerana beliaulah merupakan Ketua Menteri Sarawak yang pertama yang telah berkhidmat dari tahun 1963 hingga ke 1966. Jasa beliau sememangnya tidak boleh dinafikan didalam memastikan bahawa Sarawak tidak ketinggalan di dalam arus kemodenan walaupun suatu waktu dahulu merupakan sebuah negeri yang penuh dengan hutan belantara.


Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dilahirkan pada 20hb Ogos 1920 di Betong, Sri Aman, Sarawak. Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah St. Augustine. Beliau pernah berkhidmat sebagai seorang Pembantu Perubatan di Syarikat Shell Brunei dan ditempatkan di Hospital Kuala Belait untuk beberapa tahun. Ketika berkhidmat dengan Shell, Tan Sri Datuk Amar Stephen merupakan pengasas dan juga Presiden Shell Dayak Club. Shell Dayak Club ini ditubuhkan bagi menjaga kebajikan pekerja-pekerja dari etnik Dayak berkerja dengan Syarikat Shell.

Atas kecenderungan beliau yang ingin memantapkan etnik Dayak maka pada tahun 1958 hingga 1960, beliau telah mendapat kepercayaan untuk menjadi Presiden Persatuan Dayak Sarawak. Setelah lama bertugas di Brunei, akhirnya pada tahun 1961, beliau telah kembali ke kampung halaman beliau di Betong dan membentuk Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).


Setelah beliau membentuk SNAP, kerjaya politik Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan telah bersinar dengan jayanya. Ini dapat dibuktikan pada Pilihanraya 1962, yang mana parti SNAP telah memenangi banyak kerusi dan pada bulan Oktober 1962, beliaulah juga yang menjadi pelopor kepada pembentukan Perikatan Sarawak (Sarawak Alliance) yang sehingga ke hari ini utuh sebagai Barisan Nasional Sarawak.


Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan merupakan seorang yang anti-komunis dan kerana itulah walaupun pada mulanya beliau tidak begitu menyokong cadangan pembentukan Gagasan Malaysia yang diusulkan oleh Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Malaya pada waktu itu tetapi memandangkan ancaman komunis yang semakin menular di Asia Tenggara pada masa itu, beliau juga telah mempertimbangkan buruk baiknya untuk bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia dan atas dasar itulah beliau akhirnya menyokong gagasan ini dibentuk.


Namun apa yang pasti, Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang sememangnya seorang Negarawan ulung Sarawak ingin melihat bahawa anak Sarawak terutamanya dari etnik Dayak yang merupakan majoriti kaum di Sarawak tidak tercicir daripada arus kemodenan dan sentiasa berdaya saing di dalam pembangunan Sarawak pada waktu itu.


Sebelum Sarawak merdeka daripada jajahan koloni British pada 22hb Julai 1963, pentadbiran Koloni British Borneo melalui Gabenor Sarawak pada waktu itu iaitu Gabenor Sir Alexander Waddel telah melantik beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Perlantikan ini berlaku pada 21hb Julai 1963 dengan mendapat majoriti sokongan daripada Council Negeri Sarawak pada waktu itu. Semasa Sarawak membentuk Gagasan Malaysia pada 16hb September 1963, beliaulah antara yang memainkan peranan di dalam pengistiharan Gagasan Malaysia bersama-sama dengan negarawan-negarawan Sarawak yang lain pada waktu itu.


Pada krisis perlembagaan Sarawak yang dikenali sebagai Krisis Perlembagaan Sarawak 1966, Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan telah menerima undi tidak percaya daripada Ahli DUN Sarawak. Sebanyak 21 undi daripada 42 perwakilan telah diutarakan kepada beliau. Bertindak daripada itu, Gabenor Sarawak pada masa itu iaitu Gabenor Tun Abang Haji Openg telah melantik Dato Penghulu Tawi Seli sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-2 biarpun Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan tidak pernah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu.


Perlantikan Dato Penghulu Tawi Seli dan tindakan Gabenor Sarawak itu telah dicabar oleh beliau di Mahkamah. Antara intipati penggulungan yang diucapkan oleh Ketua Hakim Borneo iaitu Justice Harley pada 7hb September 1966 di dalam kes saman Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan ke atas Gabenor Sarawak Tun Abang Haji Openg (Defenden Pertama) dan Dato Penghulu Tawi Sli (Defenden Kedua) pada waktu itu adalah:


“Has the Governor in Sarawak power at all to dismiss the Chief Minister? In considering this question, we may start with section 21 of the Interpretation Ordinance, the general effect of which is that where there is power to appoint (and it is not disputed that the Governor has power to appoint a Chief Minister) there is power to dismiss. However, where the appointment is ‘subject to the approval of some other person, the power of dismissal shall only be exercisable subject to the approval of such other person’. If the appointment of a Chief Minister is subject to the approval of Council Negri, then by this section 21 dismissal also would be subject to its approval.”


“In Sarawak, the Chief Minister’s dismissal is quite simply beyond the powers of the Governor unless (a) the Chief Minister has lost the confidence of the House, and (b) the Chief Minister has refused to resign and failed to advise a dissolution.”


“I do not think that the Chief Minister of Sarawak was ever given a reasonable opportunity to tender his resignation or to request a dissolution. He was never even shown the letter on which the dismissal was based until court proceedings started, although it is true that at the moment of dismissal a list of signatories was sent to him with the letter from the Governor dated 17th June. That list and that letter were typed on the same date as the publication in the Gazette of the dismissal of the plaintiff, who was given no time at all to consider the weight or effect of the move against him. Plaintiff did not refuse to resign: he merely expressed doubts whether in fact he had ceased to command a majority and requested ‘that the matter be put to the constitutional test’.

“My task is simply to interpret the written word of the Constitution. On such interpretation the case presented in the statement of claim is unchallengeable. There will be judgement for the plaintiff as prayed.” – Chief Justice of Borneo Justice Harley –


Berdasarkan kepada keputusan mahkamah ini akhirnya Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan telah memenangi kes mahkamahnya dan ini menyebabkan Ketua Menteri Sarawak yang baru dilantik iaitu Dato Penghulu Tawi Sli telah melepaskan jawatan beliau setelah baru 3 bulan berkuasa.


Namun begitu telah berlaku satu lagi titik kontroversi pada tahun itu juga apabila Kerajaan Persekutuan Malaysia selepas kemenangan kes mahkamah itu dimenangi oleh beliau telah mengistiharkan darurat di Sarawak sehingga membenarkan Ketua Menteri Sarawak yang baru sahaja melepaskan jawatan beliau iaitu Dato Penghulu Tawi Seli telah dilantik semula sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 23hb September 1966 dan menyingkirkan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan menjawat jawatannya semula sebagai Ketua Menteri Sarawak.


Inilah sekelumit sejarah tentang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Beliau adalah antara nama-nama besar di dalam proses kemerdekaan Sarawak suatu waktu dahulu. Jasa Negarawan ulung ini jangan dilupakan walaupun banyak kontroversi yang tidak diketahui terutama oleh bangsa Sarawak sekarang mengenai beliau. Yang pasti, Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan tetap merupakan lambang keutuhan dan bersatunya bangsa Sarawak di dalam memperjuangkan kebatilan yang ada hanya untuk Sarawak yang tercinta.


Semoga tenang disisi Tuhan yang Maha Esa, Negarawan Sarawak, Mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak yang pertama. (1963-1966). Amen.


‪#‎KamekSayangSarawakBah

bottom of page