AMBAL @ SIPUT BULUH
AMBAL @ SIPUT BULUH
Agak janggal rasanya bila digelar Siput Buluh sedangkan hakikatnya ianya bukan dari keluarga siput. Dari genre Selera Sarawak kali ini, Borneo Oracle akan memaparkan satu lagi makanan laut yang dekat di hati masyarakat Sarawak dan antara yang “wajib dimakan” apabila berkunjung ke Sarawak Bumi Kenyalang.
Suatu waktu dahulu, untuk mengambil makanan laut ini mempunyai banyak pantang larang contohnya tidak boleh berbuat bising, tidak boleh mencarut dan harus diambil dalam berkumpulan kerana takut ada “lembaga” yang lain akan menculik si pengambilnya. Itulah antara pantang larang orang dulu-dulu apabila berkata tentang sejenis makanan laut iaitu Ambal atau Siput Buluh atau Pepahat.
Ambal atau Siput Buluh atau Pepahat merupakan sejenis hidupan laut bercengkerang yang boleh dimakan oleh manusia. Dengan nama saintifiknya “Ensis Arcuatus”, hidupan laut ini boleh didapati di kawasan pantai yang berlumpur di Malaysia terutatamanya di Trengganu, Selangor, Sabah dan Sarawak. Selain daripada hidupan laut ini juga boleh didapati di pantai California di United States of America, China dan juga Hong Kong.
Ambal ini bukannya boleh didapati di sepanjang tahun kerana ianya adalah hidupan laut yang bermusim iaitu musim ambal adalah bermula daripada bulan Mac sehingga Ogos saban tahun. Kawasan di Sarawak yang paling banyak habitat ambal adalah di kawasan beting berlumpur di Asajaya sehinggalah ke kawasan Bako. Mungkin ada juga di kawasan yang lain di seluruh Sarawak namun hanya di Asajaya dan kawasan Bako dikatakan kualiti ambalnya adalah yang terbaik.
Jika di bumi Semenanjung Malaysia, ambal ini lebih dikenali dengan nama pepahat dan saiznya agak besar berbanding dengan yang ada di bumi Sarawak. Dan kerana itulah dikatakan ada perbezaan rasanya sehingga menyebabkan ramai pengunjung daripada bumi Semenanjung lebih gemar memakan ambal dari Sarawak berbanding pepahat di bumi Semenanjung Malaysia sendiri.
Mengambil ambal bukanlah semudah memakannya kerana proses mengambil ambal memerlukan kesabaran yang tinggi. Cara untuk mengambilnya masih lagi menggunakan kaedah tradisional iaitu dengan meletakkan kapur pada hujung cengkerangnya yang agak terbuka apabila air surut di beting pasir berlumpur. Hanya mereka yang pakar dan sudah biasa akan tahu membezakan pusat ambal itu sendiri dan dengan pemerhatian mata kasar mereka akan mudah meletakkan kapur tersebut. Setelah diletak kapur, ambal yang pedih kapur akan timbul di permukaan dan dikala itulah baru boleh mengambilnya.
Kerana ada kepayahan mengambilnya maka harga pasaran bagi sekilo ambal di pasar-pasar di Sarawak adalah agak mahal iaitu boleh mencecah sehingga RM15 sekilo, namun begitu kerana keenakannya harga bukan satu masalah bagi masyarakat Sarawak yang menggemari makanan laut ini.
Banyak cara untuk memakan ambal tetapi apa yang paling penting adalah ambal setelah dibeli haruslah dibasuh dengan hati-hati kerana ianya hidup di pasir laut maka pembersihan daripada pasir laut itu penting. Selera makan masyarakat di Sarawak juga berbeza-beza apabila berkata tentang ambal. Ada yang gemar hanya dengan merebus ambal dengan meletakkan sedikit garam dan ada yang lebih menggemari pekasam ambal yang menjadi pembuka selera makan. Dan yang paling popular apabila berbicara mengenai menu masakan ambal adalah ambal masak kari.
Buat masa ini, ambal yang berada di Sarawak dikatakan sedang mengalami ancaman kepupusan kerana dikatakan habitat mereka banyak dicemari sehingga menyebabkan produksi ambal semakin berkurangan. Untuk itu adalah diharapkan agar pihak yang berkenaan akan terus membuat kajian demi kajian bagi memastikan kelangsungan ambal ini di bumi Sarawak agar generasi muda akan terus dapat merasa keenakannya sampai bila-bila.
#KamekSayangSarawakBah