ETNIK LISUM, SARAWAK, BORNEO
ETNIK LISUM, SARAWAK, BORNEO
Etnik Lisum merupakan salah satu pecahan sub-etnik untuk satu lagi etnik besar yang membentuk Kaum Orang Ulu Sarawak iaitu etnik Kayan. Selain dikenali dengan nama Lisum mereka juga dikenali dengan nama Rejang Kayan. Menurut laporan populasi di Sarawak pada tahun 2010, dikatakan bahawa terdapat lebih kurang 7,000 orang etnik Lisum ada di Sarawak. Populasi mereka lebih tertumpu di kawasan Rejang iaitu di kawasan Sungai Balui.
Berdasarkan kepada sejarah asal-usul Etnik Lisum ini dikatakan satu kelompok masyarakat Dayak Borneo yang berasal daripada kawasan di Kalimantan Barat. Penghijrahan mereka mencari tanah pamah yang subur serta menghindarkan diri daripada peperangan perluasan wilayah telah membawa mereka untuk berhijrah melalui kawasan Apo Kayan dan seterusnya memasuki daerah Rejang di Sarawak dan akhirnya mendiami secara kekal di sekitar kawasan Sungai Balui sehingga sekarang. Dan ketika mereka di Apo Kayan inilah mereka pula lebih dikenali sebagai Punan Lisum.
Uniknya penghijrahan Etnik Lisum di Sarawak sekarang adalah penghijrahan berlaku secara berperingkat-peringkat melalui kelompok-kelompok kecil bermula pada tahun 1860an sehinggalah 1910an. Dan penghijrahan secara kelompok-kelompok kecil ini hanya menuju kepada satu tempat yang sama iaitu di Sungai Balui. Maka kerana itulah apabila berada di Sungai Balui, etnik Lisum mula menjadi satu kelompok masyarakat etnik Dayak yang agak besar.
Yang menariknya mengenai etnik Lisum ini adalah dari segi sejarah bangsanya iaitu seperti apa yang dilaporkan di dalam Sarawak Gazette, 1 Nov 1886:92 menyatakan bahawa etnik Lisum ini mempunyai kaitan secara langsung dengan etnik Sihan dan etnik Lugat iaitu 2 lagi etnik minoriti di Sarawak Bumi Kenyalang. Kesamaan mereka adalah berdasarkan sejarah penghijrahan mereka dan juga sosio budaya yang hampir sama.
Jika diselidiki daripada bahasa pula, etnik Lisum mempunyai bahasa mereka yang tersendiri iaitu apa yang dipanggil sebagai bahasa Rejang Kayan. Dan bahasa ini diklasifikasikan sebagai bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North-Sarawakan, Kayan-Kenyah, Kayanic, Kayan Proper. Dan bahasa ini juga mempunyai dialek-dialeknya yang tersendiri seperti Lemena, Long Badan, Long Geng, Ma’aging, Uma Daro, Uma Juman, Uma Poh dan Long Murun. Dan bahasa etnik Lisum ini walaupun masih dipertuturkan oleh etnik minoriti sehingga ke hari ini ianya masih dikekalkan.
Suatu waktu dahulu sebelum kedatangan agama di bumi Sarawak, etnik Lisum juga sama seperti etnik-etnik Dayak di Sarawak iaitu mereka juga mengamalkan agama pagan atau animisme. Namun setelah kedatangan agama sekitar tahun 1900an akhirnya ramai antara mereka telah memilih untuk menjadikan agama Kristianiti sebagai pedoman hidup mereka. Namun begitu, ada beberapa ritual nenek moyang mereka masih lagi dipelihara asalkan ianya tidak bercanggah dengan agama yang mereka anuti sekarang.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!