FROM GEDONG WITH LOVE
FROM GEDONG WITH LOVE
Terletak kira-kira 90 kilometer dari ibunegeri Sarawak iaitu Kuching dan 28 kilometer daripada Serian, Gedung merupakan salah satu daripada perkampungan di Sarawak yang boleh dihubungi dengan jalan darat. Mungkin ramai tidak tahu bahawa di Gedong inilah terkenal dengan produk beras tempatannya yang bernama Beras Gedong Super Tempatan iaitu hasil daripada pertanian padi secara komersial kerana sejak dari dahulu lagi tanah pamah di Gedong ini terkenal dengan kesuburannya serta sesuai untuk penanaman padi.
Menurut kaitan sejarah purba bagi Gedong ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan sejarah sebuah kerajaan kuno yang hilang iaitu yang dinamakan Kerajaan Negeri Samarahan-Sadong yang pernah wujud sekitar abad ke 14 Masihi lagi. Di ketika itu, dikatakan Gedong merupakan antara jajahan takluk bagi Kerajaan Negeri Samarahan-Sadong ini dan Gedong yang lokasinya di tengah-tengah perjalanan Batang Sadong memungkin ianya menjadi Bandar pelabuhan pedalaman bagi kawasan sekitarnya.
Kemunculan Kerajaan Negeri Samarahan-Sadong ini ada dinyatakan di dalam manuskrip purba yang berjudul Alamat Zaman Ketakhtaan Nagari Baruni iaitu antara bait-baitnya:
“ …… Dan pada masa itu Melaka di atas Kerajaan Negeri Juhur, Awang Alah Betatar beristeri ke Juhur lalu digalar Awang Alak Betatar. Adapun Seri Sultan Muhamad dan saudaranya patih berbai jadi Bendahara Seri Maharaja permaisuri digalar dan pengiringnya yang lain itu digalar Damang/Temenggung Da Patih Damong. Bermacam-macam nama pengawa dianugerahi oleh baginda di Johor. Empat menteri dan askar dengan beberapa dayang-dayangnya dianugerahi nobat nagaragenta alamat serta sakalian alat-alat kerajaan yang berbagai-berbagai dan dianugerahi…buah nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sadong dan Samarahan dan Sarawak karana di pulau…Johor pun memarintah juga ialah….”
Kemunculan Gedong sebagai sebuah pelabuhan pedalaman sewaktu dahulu dapat dibuktikan apabila adanya penemuan 79,754 pecahan tembikar dan beratus-ratus artifak lain seperti manik, duit siling dan emas. Di Bukit Sandong yang terletak kira-kira 15 batu daripada Gedong pula ditemui 30,000 serpihan tembikar yang mempunyai ketuaan usianya selaras dengan kewujudan selepas satu lagi kerajaan kuno iaitu Kerajaan Santubong telah menguatkan lagi andaian bahawa Gedong merupakan antara pemain ekonomi terpenting sewaktu gemilangnya zaman pemerintahan Kerajaan Kuno Negeri Samarahan-Sadong seperti yang dilaporkan oleh seorang sejahrawan iaitu Lucas Chin. Ini kerana Kerajaan Negeri Samarahan-Sadong merupakan satu kerajaan yang wujud setelah jatuhnya Kerajaan Negeri Santubong suatu waktu dahulu dan dikatakan dari sinilah bermulanya penghijrahan masyarakat Melayu selain daripada Santubong dan Lidah Tanah.
Terdapat banyak versi bagaimana Gedong mendapat nama dan menurut sumber sejarahwan berdasarkan kepada gahnya Gedong suatu waktu dahulu, Gedong mendapat nama daripada perkataan Gudang di dalam bahasa standard Bahasa Melayu. Namun jika di dalam bahasa Melayu Sarawak “Gudang” juga dikenali dengan nama “Gedong” iaitu tempat untuk menyimpan barang-barang dan nama Gedong ini dikatakan timbul sewaktu Gedong gah sebagai tempat untuk menyimpan barang bagi urusan perdagangan di bahagian pendalaman iaitu ketika ia menjadi Bandar pelabuhan pendalaman sehingga memungkinkan adanya saudagar-saudagar dari Tembok Besar China juga datang berniaga di kawasan pendalaman Sarawak menjadikan Gedong sebagai hab setempat untuk menyimpan barangan sebelum berniaga ke pedalaman menerusi Batang Sadong.
Keunikan sejarah adanya Gedong bukan sahaja kaitannya dengan sebuah kerajaan kuno yang hilang iaitu Kerajaan Negeri Samarahan-Sadong namun keunikannya juga terletak kepada penduduknya yang berbilang bangsa seperti Iban, Melayu dan Melanau. Komuniti Melayu yang rata-ratanya menghuni wilayah Gedong sekarang dikatakan berasal daripada Brunei memandangkan kaitannya sebagai salah satu tanah jajahan Kesultanan Melayu Brunei suatu waktu dahulu. Dan kerana itulah ramai antara mereka masih lagi mempunyai malar nama keluarga seperti Pengiran, Awangku, Awang dan Dayang yang mempunyai banyak persamaan dengan nama-nama Melayu Brunei.
Dan satu lagi keunikannya pada penduduknya adalah adanya sejumlah besar komuniti Melanau di bumi Gedong kerana sejak dahulu lagi kaum Melanau sudahpun bertapak di bumi Gedong. Ini kerana suatu waktu dahulu mengikut sejarah penghijrahan Kaum Melanau di Sarawak juga antara etnik yang melarikan diri daripada tradisi kayau atau perang perluasan kuasa di bumi Sarawak dan akhirnya mereka melarikan diri sehingga ke pedalaman iaitu di bumi sekitar Batang Sadong yang lebih aman dan juga subur tanah pamahnya. Dan kerana itulah jika ke Gedong sehingga ke Batang Sadong itu sendiri ada nama-nama kawasannya seperti Lubuk Melanau yang boleh menceritakan bagaimana ianya mendapat nama.
Mungkin juga ramai yang tidak mengetahui bahawa selain daripada Sungai Batang Lupar di Sri Aman yang terkenal dengan Pesta Benaknya di Gedong ini juga mempunyai fenomena air pasang yang sama dan walaupun tidak sebesar apa yang berlaku di Sri Aman, namun begitu Sungai Krang di Gedong juga boleh memberikan satu kepuasan kepada mereka yang berani meluncur air ketika fenomena itu berlaku.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.
#KamekSayangSarawakBah!