FROM MARUDI WITH LOVE
FROM MARUDI WITH LOVE
Marudi merupakan salah satu daerah yang terletak di persisir Sungai Baram iaitu lokasinya terletak di utara Sarawak yang bersempadan dengan Sabah dan juga Negara Brunei Darussalam. Ianya adalah satu daerah yang kecil namun Marudi juga banyak memainkan peranan di dalam penjanaan ekonomi setempat di Sarawak dari dahulu sehinggalah sekarang. Kerana sinonimnya Marudi dengan Sungai Baram maka kerana itulah seringkali Marudi juga terkenal dengan keunikan budaya dan adat serta tradisi bagi Kaum Orang Ulu, Sarawak.
Seperti kebanyakan wilayah Sarawak Bumi Kenyalang sekarang, Marudi juga suatu waktu dahulu merupakan salah satu daripada tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei Darussalam. Nama Marudi tercatat di dalam kalendar pembentukan Sarawak Kingdom apabila pada tahun 1883, Sultan Abdul Momin telah menyerahkan wilayah dari Tanjong Kidurong berdekatan dengan Bintulu sehingga ke Kuala Baram kepada Sir Charles Brooke, Rajah Kedua Sarawak Kingdom pada ketika itu. Keputusan Sultan Abdul Momin menyerahkan wilayah Marudi pada masa itu adalah bagi mengekalkan keamanan di bumi Marudi memandang pada ketika itu dikatakan seringkali berlaku perang saudara antara kaum serta tindakan rakyat Marudi yang bangun memberontak pemerintahan wakil Sultan Brunei di bumi Marudi pada ketika itu.
Jika dahulunya sewaktu di menjadi tanah kuripan Kesultanan Brunei, daerah Marudi hanya dikenali sebagai jajahan Sungai Baram namun apabila menjadi sebahagian daripada empayar Sarawak Kingdom, Marudi pada asalnya dikenali dengan nama Claudetown. Ianya adalah bersempena dengan nama Residen pertama daerah Baram iaitu Claude Champion De Crespigny. Tuan Residen Crespigny setelah mengambilalih tugas telah membina pejabatnya di atas bukit di tebing Sungai Baram. Setelah itu lokasi ini telah menjadi satu penempatan kecil dan telah membawa kepada penghijrahan peniaga-peniaga Cina dan akhirnya menjadi antara salah satu pekan kecil yang terkenal di Sungai Baram. Daripada nama Claudetown ini akhirnya ditukar kepada nama Marudi iaitu bersempena dengan nama anak sungai yang merentas pekan Marudi suatu waktu dahulu.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di Marudi inilah pernah terjadinya satu rentetan peristiwa yang bersejarah di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Perang perluasan wilayah ataupun Perang Kayau sememangnya antara salah satu perang yang sinonim dengan masyarakat pribumi di Sarawak suatu waktu dahulu. Inilah jua yang terjadi di bumi Marudi suatu waktu dahulu sehingga memaksa pemerintah Sarawak Kingdom memikirkan apa sahaja cara untuk memastikan bumi Sarawak Kingdom aman suatu waktu dahulu. Untuk di bumi Marudi, Dr Charles Hose iaitu residen di Marudi pada tahun 1888 telah mengusulkan agar satu perjanjian keamanan diadakan di Marudi. Dan kerana itulah satu perjanjian telah berjaya ditandatangani antara semua etnik yang bertelagah di Marudi dan perjanjian ini dikenali dengan nama Perjanjian Marudi 1889.
Melalui perjanjian yang ditandatangani di Marudi inilah barulah suasana sekitarnya menjadi aman dan disinilah bermulanya satu regatta atau perlumbaan perahu panjang yang dinamakan Regatta Baram yang masih lagi diteruskan sehingga sekarang. Regatta Baram ini sejak tahun 1889 adalah satu pertandingan perahu panjang bagi semua etnik pribumi yang bertelagah untuk bertanding secara aman. Akhirnya pertandingan ini telah menjadi produk pelancongan di Marudi sehingga sekarang.
Seperti mana-mana wilayah di Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu, bumi Marudi juga pernah dibina dengan kubu pertahanan bagi pentadbiran Brooke menguruskan wilayahnya. Fort Hose atau Kubu Hose merupakan salah satu kubu yang dibina di tebingan Sungai Baram di Marudi. Ianya dinamakan Fort Hose mengambil sempena nama Dr Charles Hose, seorang pakar sejarah, pentadbir dan juga seorang yang begitu berminat di dalam dunia photografi suatu waktu dahulu. Dan sehingga sekarang Fort Hose kekal dipelihara dan dijadikan museum untuk menggambarkan kekayaan budaya dan tradisi masyarakat di Marudi.
Kerana Marudi ini didirikan di persisiran Sungai Baram maka Marudi juga antara daerah yang kaya dengan warisan keunikan masyarakat setempatnya. Di Sungai Baram inilah sebenarnya merupakan tanah nenek moyang bagi satu etnik yang menjadi antara pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak iaitu etnik Kenyah. Dikatakan asalnya etnik Kenyah ini adalah daripada Sungai Baram yang kemudiannya berhijrah ke Bulungan, Kalimantan Timur dan seterusnya melalukan penghijrahan kembali ke Sarawak melalui Apo Kayan sejak dahulu lagi.
Di Marudi ini juga, kita akan menemui beberapa etnik minoriti di Sarawak yang sebenarnya asalnya adalah daripada sub-etnik Kayan dan Kenyah namun setelah memeluk agama Islam akhirnya mereka diasimilasikan menjadi etnik Melayu Sarawak mengikut undang-undang yang telah digunapakai sewaktu menjadi Sarawak Kingdom lagi. Etnik-etnik minoriti ini adalah seperti etnik Narom, Tutong dan banyak lagi.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya Dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.
#KamekSayangSarawakBah!