KEPERCAYAAN PAGAN DI DALAM ETNIK MELANAU, SARAWAK
KEPERCAYAAN PAGAN DI DALAM ETNIK MELANAU, SARAWAK
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa keunikan yang ada pada etnik Melanau ini terlalu banyak sebenarnya baik dari segi sejarah asal-usul, dialeknya yang pelbagai serta tradisi malah kepercayaan nenek moyang mereka juga harus diperdalami dengan lebih serius. Jika dahulu etnik Melanau di bumi Sarawak rata-ratanya masih lagi berpegang kepada kepercayaan lama namun setelah kedatangan agama di bumi Sarawak, ramai antara mereka telah memeluk Islam mahupun Kristian.
Dan sesuatu yang mengagumkan biarpun etnik Melanau ini sekarang menganuti agama yang berbeza-beza namun mereka tetap berbangga dengan kepercayaan nenek moyang mereka malah sampai sekarang, jika berkunjung ke rumah-rumah etnik Melanau hubungan persaudaraan antara mereka walaupun berlainan agama tetap utuh. Disamping itu pesta-pesta adapt bagi etnik Melanau sehingga sekarang tetap utuh dipegang dan dibudayakan seperti seperti Pesta Kaul yang sinonim dengan kepercayaan lama mereka sehingga menjadikan etnik Melanau terkenal seantero dunia dari dahulu sehingga sekarang.
Setiap kumpulan kaum etnik walau di mana jua berada akan mempunyai kepercayaan dan adat masing-masing yang tidak dapat ditinggalkan. Begitu juga dengan etnik Melanau. Satu aspek penting dalam kehidupan seharian suku kaum Melanau ialah sistem kepercayaan yang mengawal dan mempengaruhi cara hidup dan pemikiran seseorang. Dalam mengerjakan tugas-tugas harian, sama ada di dalam atau di luar rumah, seseorang tidak boleh lepas daripada perhitungan tentang kewujudan dunia ghaib. Pada asasnya kepercayaan etnik Melanau ini bercorak animisme dan mempercayai bahawa segala persoalan penting di dalam penghidupan semuanya berkaitan dengan kuasa ghaib.
Menurut kepercayaan animisme atau pagan ini, etnik Melanau mempercayai bahawa alam ini sebenarnya terdiri daripada 3 lapisan iaitu Lapisan Atas, Lapisan Pertengahan dan Lapisan Bawah. Dan yang dinamakan tiga lapisan atau wilayah ini dikenali dengan nama Langit, Tanah’ dan Iyang. Langit merupakan zon awang-awangan yang dikenali juga sebagai wilayah kayangan. Tana’ ialah zon daratan, bumi atau alam fizikal (terrestrial) yang boleh dipijak, dilihat dan dirasa dengan pancaindera manusia biasa. Tana’ ialah wilayah yang fana bagi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Iyang pula ialah alam akuatik atau wilayah akuatik atau wilayah dalam air di bawah zon bumi. Dan kenyataan ini diperhalusikan lagi dengan setiap satu daripada lapisan ini iaitu Langit atau Likou Bah-Bau mempunyai 7 lapisan atas, Lapisan Tana’ atau Likau Dagen yang hanya mempunyai satu lapisan manakala lapisan Iyang atau Likou Bah Iba’ juga mempunyai 7 lapisan di bawah.
Likou Dagen ni turut didiami oleh makhluk-makhluk Tuhan yang lain. Lapisan ini mempunyai sempadan-sempadan tertentu walaupun hanya terdiri daripada satu lapisan. Sempadan itulah yang menjadi pemisah kawasan antara penghuninya. Likou bah iba’ pula, dikatakan lapisan pertama yang paling dekat dengan bumi ialah liko pengamew, diikuti dengan liko kulum, liko belangan, liko yang, liko jin, liko raja jin dan lapisan paling bawah ialah liko baliw. Tujuh lapisan di atas pula, pada lapisan kelima hingga ketujuh didiami oleh jin, lapisan keempat liko dewa-dewa, lapisan ketiga liko naradin dan lapisan yang pertama di didiami oleh liko baliwan.
Dalam kepercayaan Melanau Tradisional wujud kuasa ghaib yang dipanggil sebagai Ipo’ (juga disebut Ipu’ dan Ipuk) dipercayai menguasai semangat pada benda-benda sama ada yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa. Sistem kepercayaan ini pada hakikatnya bertujuan mensejahterakan kehidupan dan untuk mengelakkan mereka daripada perkara yang tidak diingini. Hal ini disebabkan kepercayaan mereka dikaitkan dengan kuasa ghaib dan kuasa yang luar biasa di luar daripada kawalan manusia.
Setiap Ipo’ mempunyai kuasa mutlak ke atas domain yang didiami dan dikuasainya. Bidang kuasa ini berbeza dari satu Ipo' ke satu Ipo' yang lain bergantung kepada kebesaran dan kepentingan di dalam penghidupan. Taraf dan kebesaran kuasa Ipo'-Ipo' ini wujud dalam satu hierarki. Contohnya Ipo'-Ipo' yang menguasai tiga zon dunia iaitu Ipo' Langit (Dewa Langit), Ipo’ Tanah (Dewa Bumi) dan Ipo’ Iyang (Dewa Air) mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Ipo’-Ipo’ yang lain seperti Ipo’Daat (Dewa Lautan), Ipo’ Kala (Dewa Muara), Ipo’ Guun – Ipo’ Alan (Dewa Hutan Belantara), Ipo’ ‘Uma (Dewa Huma), Ipo’ Lebo’ (Dewa Rumah), Ipo’ Bekaan (Dewa Perkakas), Ipo’ Nase’ (Dewa Nasi) dan sebagainya.
Di antara semua Ipo’-Ipo’ yang wujud ini, Ipo’ yang dianggap sebagai Maha Agung ialah Ipo’ Langit. Ianya bukan sahaja kerana keluasan dan kedudukan yang teratas tetapi juga merupakan satu sempadan yang penuh misteri pada manusia. Ipo’ Langit boleh menyebabkan bencana alam yang amat teruk seperti buan (ribut taufan) dan baliew (banjir). Ia juga mempunyai kuasa untuk menjadikan sesuatu makhluk termasuk manusia menjadi batu melalui bencana buan dan baliew apabila ia murka atau terkilan disebabkan oleh pelanggaran sesuatu pantang larang atau lantaran perbuatan manusia yang bertentangan dengan hokum alam.
Pada umumnya Ipo'-Ipo' ini bersifat pengampun dan penyayang. Hanya apabila ianya dicerobohi atau pantang larangnya dilanggar barulah mereka murka sehingga menyebabkan pelbagai padah kepada manusia. Oleh yang demikian, sebelum seseorang melakukan sesuatu yang difikirkan boleh menyinggung atau menyebabkan kemarahan Ipo'- Ipo' itu, dia hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada Ipo' berkenaan dengan menyatakan niatnya dan jika perlu memberi semahan kepada Ipo' tersebut. Jika sesuatu perbuatan tersebut telah mendatangkan kemurkaan Ipo', maka seseorang itu perlu mempersembahkan semah (propitiation) dan meminta ampun daripada Ipo' itu. Tujuan semahan itu adalah untuk memberi hadiah atau penghormatan kepada hantu atau semangat. Dengan mengadakan upacara ini, diharapkan bencana dapat dihindari.
Selain daripada kepercayaan kewujudan Ipo’, masyarakat etnik Melanau juga mempercayai kewujudan makhluk ghaib yang lain. Dari segi amalan, kepercayaan tersebut meliputi penggunaan bomoh sebagai perantara di antara dunia ghaib dan dunia realiti dan kepercayaan yang meliputi keturunan sesebuah keluarga (family cult). Dunia ghaib termasuk dunia mati mempunyai makhluk halus yang pelbagai jenis dan taraf, contohnya duhig, amow, tow dan jin.
Sebenarnya masyarakat etnik Melanau tradisional juga percaya tentang kewujudan kuasa ghaib lain yang bersifat jahat. Kuasa ghaib jenis ini digelar tow dan boleh disamakan dengan iblis dan syaitan dalam kepercayaan orang Melayu. Tow terdapat dalam berbagai-bagai jenis dan nama tetapi tiada satu pun yang bersifat baik. Ia sentiasa mencari kesempatan daripada kelemahan dan kesilapan manusia untuk menyebabkan penyakit dan menimbulkan kacau bilau.
Selain daripada tow, terdapat juga makhluk metafizikal seperti amow (hantu). Amow digambarkan sebagai jelmaan ketidak sempurnaan dalam upacara pengebumiannya atau atas sebab perbuatan yang tidak baik semasa hayatnya. Bagaimanapun, amow biasanya tidak berniat jahat seperti tow, cuma bertujuan untuk mengilai dan menakutkan atau untuk mengingati orang yang masih hidup bahawa ada yang tidak kena dengan kematiannya atau ada perkara yang belum sempurna dengan upacara pengebumiannya.
Selain daripada kepercayaan animisme tentang asal-usul kejadian manusia di dalam etnik Melanau juga mempunyai keunikannya yang tersendiri. Masyarakat etnik Melanau juga mempercayai alam dan pelbagai jenis makhluk termasuk manusia dicipta oleh Allah Tacala atau disebut Alaataala’ dalam istilah Melanau. Namun istilah Alaatacala dalam kepercayaan Melanau berbeza dengan konteks Allah di dalam agama Islam. Menurut masyarakat etnik Malanau mempercayai asalnya Alataala’ menjadikan manusia daripada tanah. Makhluk yang pertama diciptakan itu bernama Buah sebagai pesuruhNya.
Menurut asal cerita Buah diturunkan ke bumi dan tinggal di hulu Sungai Mukah di tempat yang bernama Sungai Buah. Buah mempunyai seorang isteri dan anak. Suatu hari, anaknya bermain-main di dalam sumpitannya lalu terperangkap di situ. Pada waktu senja Buah mengambil sumpitnya bagi tujuan membersihkannya tanpa menyedari anaknya berada di dalam sumpit tersebut. Dia menilik ke dalam lubang sumpitnya itu dan melihat ada makhluk kecil di dalamnya dan menganggap makhluk tersebut adalah angkut-angkut, sejenis binatang dan dia tidak tahu itu ialah anaknya.
Melihat ada ‘binatang’ di dalam sumpitnya, Buah menghalakan sumpitnya ke arah matahari terbenam lalu menyumpitnya. Pada malam itu, Buah dan isterinya bermimpi anaknya datang dan memberitahu bahawa sebenarnya dialah yang disumpitnya oleh ayahnya. Jika mahu dia kembali, ibu bapanya perlu menetak sebuah batu yang berada di tengah-tengah hulu Sungai Mukah. Buah dan isterinya mengikut syarat anaknya itu tetapi mereka gagal. Akhirnya Buah dan isterinya telah menjadi batu dan dipaksa tinggal bersama-sama anaknya yang telah berada di likow a-matai (dunia kematian). Mereka tidak dibenarkan kembali ke dunia oleh Alataala’ dan mereka dikatakan menjadi penunggu di alam akhirat.
Inilah kepercayaan animisme atau pagan yang pernah menjadi kepercayaan nenek moyang etnik Melanau di Sarawak suatu waktu dahulu. Walaupun sekarang majoriti etnik Melanau sudahpun memeluk Islam dan juga menganuti Kristian sebagai pegangan hidup mereka namun begitu ada sesetengah tradisi dan budaya pagan ini masih lagi dilestarikan dan ianya tidak bertentangan langsung dengan agama yang mereka anuti sekarang.
#KamekSayangSarawakBah!