KERAJAAN KUTAI MARTAPURA, KALIMANTAN TIMUR, BORNEO
KERAJAAN KUTAI MARTAPURA, KALIMANTAN TIMUR, BORNEO
- Kerajaan Dayak Kuno Tertua Di Borneo
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di Borneo sendiri terdapat satu kerajaan kuno yang mana kewujudannya adalah sekitar awal abad ke 4 Masihi. Kerajaan kuno ini merupakan asas kepada kegemilangan masyarakat Dayak di seluruh kepulauan Borneo termasuk masyarakat Dayak yang berada di bumi Sarawak sekarang.
Kerajaan Kutai Martapura adalah kerajaan tertua di Pulau Borneo dengan kewujudannya dapat dibuktikan sekitar abad ke 4 lagi. Lokasi kerajaan ini adalah terletak di Muara Kaman, Kalimantan Timur iaitu menyusuri hulu Sungai Mahakam. Kerajaan Kutai Martapura diasaskan oleh seorang bangsa Dayak asli Pulau Borneo iaitu Kudungga. Di awal penubuhan kerajaan dayak ini ianya telah diasaskan oleh Raja Kudungga dengan mengamalkan agama pagan. Namun setelah adanya pengaruh agama Hindu di Pulau Borneo maka kerajaan ini telah menjadi satu kerajaan hindu dan rajanya sendiri telah menukarkan namanya menjadi Anumerta Dewawarman.
Walaupun Raja Kudungga merupakan pengasas kerajaan ini namun ianya menjadi satu kerajaan yang rasmi setelah diwarisi oleh anaknya iaitu Aswawarman. Kerana hubungan baik antara ayahandanya dengan kerajaan di India suatu waktu dahulu maka Kerajaan Kutai Martapura merupakan pusat penyebaran agama Hindu di seluruh kepulauan Borneo maka pesat membangun kerana adanya rakan perniagaan daripada pedagang-pedagang dari India. Raja Aswawarman ketika itu juga digelar sebagai Wangsakerta yang bermaksud pembentuk keluarga.
Kegemilangan Kerajaan Kutai Martapura mencapai kemuncaknya ketika diperintah oleh Maharaja Mulawarman iaitu anakanda kepada Raja Aswawarman, cucunda kepada Raja Kudungga. Dibawah pemerintahan beliau jajahan takluknya diceritakan mencakupi seluruh Kalimantan Timur sehinggalah ke sempadan bumi Sarawak sendiri. Pada ketika itu Maharaja Mulawarman akan menyiapkan bala tenteranya yang terdiri daripada masyarakat dayak pribumi Borneo yang terkenal dengan kepahlawanan serta keberanian mereka di dalam tingkah peperangan.
Keperkasaan dan kepahlawanan mereka digeruni oleh masyarakat-masyarakat lain di Pulau Borneo. Dan mana-mana kerajaan kecil yang telah kalah akan diminta untuk menghantar ufti kepada Kerajaan Kutai Martapura saban tahun. Inilah antara kemuncak kegemilangan Kerajaan Kutai Martapura yang sememangnya lahir daripada masyarakat dayak pribumi Borneo yang gagah perkasa di dalam ilmu peperangan.
Selepas sahaja Kerajaan Kutai Martapura diwarisi kepada Raja Marawijaya Warman serta legasi raja yang lain maka amat sedikit diketahui tentang Kerajaan Kutai Martapura pada masa itu dan kejatuhan sebenar Kerajaan Kutai Martapura adalah diketika Raja Dharma Setia menaiki takhta Kerajaan Kutai Martapura. Pada ketika itu dikatakan kerajaan ini begitu lemah sehingga kerana banyak perang saudara di dalam negeri sendiri sehingga memungkin masyarakat dayak di dalam Kerajaan Kutai Martapura berpecah-pecah dan kerana tiadanya keseimbangan politik di tanah sendiri menyebabkan ramai rakyatnya berhijrah ke seluruh pelusok kepulauan Borneo termasuk Sarawak.
Banyak juga jajahan takluknya telah melepaskan diri di dalam jajahan Kerajaan Kutai Martapura sehinggalah munculnya satu kerajaan di kawasan yang sama iaitu Kerajaan Kutai Kartanegara. Akhirnya Kerajaan Kutai Kartanegara yang dipimpin oleh Aji Pengeran Anum Panji Mendapa telah mengalahkan Raja Dharma Setia di dalam satu peperangan sengit yang diceritakan berlaku hampir 7 hari 7 malam kerana sememangnya pahlawan dayak tidak akan menyerah kalah sehingga ke titisan yang terakhir. Akhirnya Kerajaan Kutai Martapura terus lenyap di dalam sejarah kerajaan kuno dan selepas itu gahlah pula satu kerajaan yang dikenali sebagai Kerajaan Kutai Kartanegara yang juga dikenali sebagai Kesultanan Kutai Kartanegara yang mana pengasasnya adalah daripada masyarakat Jawa dan beragama Islam. Kerajaan Kutai Kartanegara ketika itu berpusat di Tanjung Kute.
Di dalam mengkaji sebuah sejarah kerajaan kuno Dayak ini, asas kepada sejarahnya hanya boleh disahihkan apabila pada tahun 1879M telah ditemui satu batu bersurat Kutai di Bukit Berubus, Muara Kanan, Kalimantan Timur Indonesia. Batu bersurat ini adalah tanda kewujudan kepada Kerajaan Dayak Kuno ini yang mana ianya adalah sebanyak 7 batu bersurat yang tulisannya adalah di dalam bahasa Sanskrit. Kesemua cerita tentang keberadaan Kerajaan Kuno Dayak ini diperincikan lagi bermula daripada pengasasnya sehinggalah kepada kejatuhannya sekitar abad ke 16M Dan Batu Bersurat Kutai inilah yang menjadi bukti kewujudan kepada kerajaan dayak kuno ini sehinggalah sekarang menjadi dokumentasi sejarah paling agung bagi pengkaji sejarah kerajaan kuno di seluruh dunia.
#KamekSayangSarawakBah!