LEGENDA SI NAGA DAN SI BUAYA DI DALAM ETNIK KAYAN
LEGENDA SI NAGA DAN SI BUAYA DI DALAM ETNIK KAYAN
Al-sahibul hikayat suatu waktu dahulu diceritakan bahawa masyarakat Kayan yang mendiami Borneo juga mempunyai seorang raja yang bernama Raja Mintin. Kepandaian Raja Mintin sebagai seorang raja kayan tiada tolok bandingnya kerana beliau juga seorang raja yang bijak malah gagah perkasa. Maka bertambah makmurlah negeri Kayan pada waktu itu dengan ramai saudagar-saudagar dari seluruh pelusok dunia datang berniaga.
Namun di dalam kemakmuran negeri Kayan ini diceritakan juga bahawa Raja Mintin sering berduka kerana terlalu merindui isterinya yang sudah meninggal dunia. Demi untuk mengelakkan kemurungan yang berterusan akhirnya Raja Mintin berniat untuk mengembara melihat negeri orang lain sambil-sambil meluaskan pengalamannya. Sementara ketiadaan beliau itulah, beliau telah menitahkan agar dua orang puteranya yang bernama Naga dan Buaya untuk bersama-sama memerintah negeri Kayan. Tugasan ini diterima dengan baik oleh kedua-dua orang puteranya.
Setelah siaga segalanya kelengkapan untuk mengembara maka akhirnya tibalah hari untuk Raja Mintin berangkat berjalan-jalan melihat negeri orang. Maka bermulalah tugas untuk si Naga dan si Buaya menjadi pemerintah negeri Kayan sepeninggalan Raja Mintin itu. Yang sering menjadi kekecohan ketika Si Naga dan si Buaya ini menjadi pemangku raja Kayan adalah sikap kedua-duanya yang berbeza sama sekali.
Diceritakan bahawa si Naga ini mempunyai sikap pembengis, panas baran, suka berfoya-foya, bermabuk-mabukan, berjudi dan segala macam sikap negative yang tidak sepatutnya ada pada seorang bakal raja Manakala adindanya iaitu si Buaya pula mempunyai sikap yang berlawanan iaitu baik budi pekertinya, suka menolong orang, pandai berjimat cermat dan terlalu lembut hatinya. Seringkali sikap si Naga ini menimbulkan huru hara di dalam pentadbiran negeri Kayan sehinggalah si Buaya tidak boleh menahan sabar malah turut menentang abangnya si Naga.
Kerana 2 pemimpin bertelagah sudah tentu barisan pentadbirannya termasuk tentera negeri Kayan juga turut terlibat sama. Negeri kayan yang aman makmur dan terkenal dengan kesatuannya akhirnya terbelah dua dengan ada tenteranya yang menyebelahi si Naga dan di satu pihak lagi menyebelahi si Buaya. Maka bermulalah sengketa di dalam negeri Kayan kerana perang saudara antara 2 putera raja Kayan.
Sepanjang pengembaraan Raja Mintin pula yang baru sahaja sempat singgah ke sebuah negeri yang lain telah mendapat satu mimpi tidak baik. Apabila bangun dari lenanya, hatinya merasa gusar dan akhirnya membawa kepada Raja Mintin mengambil keputusan untuk segera pulang ke negeri Kayan. Alangkah terkejutnya Raja Mintin apabila mendapat negeri Kayan sudah pun hampir musnah kerana perang saudara antara si Buaya dan si Naga. Maka beranglah beliau dan segera memanggil kedua-dua anaknya untuk menghadap Raja Mintin.
Si Naga dan si Buaya terkejut apabila mendapati bahawa ayah mereka Raja Mintin telahpun pulang ke negeri Kayan dan ini menyebabkan kedua-duanya di dalam ketakutan. Ini kerana kedua-duanya mengetahui bahawa Raja Mintin mempunyai satu kesaktian iaitu sekiranya beliau berang dan menyumpah sesuatu yang tidak baik maka ianya akan benar-benar terjadi. Seboleh-bolehnya kedua-duanya ingin melarikan diri namun apakan daya pengawal-pengawal Raja Mintin sudahpun berada di depan mata kedua-duanya.
Apabila dibawa mengadap kedua-duanya memang di dalam ketakutan lebih-lebih lagi melihat muka ayah mereka Raja Mintin yang serupa singa kelaparan. Akhirnya kerana tidak dapat menahan sabar lagi Raja Mintin pun terus menyumpah kedua-dua anaknya sebagai hukuman tidak menjalankan tugas dengan sempurna.
Diceritakan Raja Mintin telah menyumpah agar puteranya yang bernama si Naga akan terus kekal menjadi seekor naga yang sebenar dan si Naga hanya boleh tinggal di gua-gua yang tiada manusia dan hidup bersendirian selamanya. Manakala si Buaya juga turut menerima hukuman iaitu si Buaya akan kekal menjadi seekor buaya yang sebenar dan akan hidup di sungai-sungai juga jauh daripada penghidupan manusia. Dengan tidak semena-mena ketika itulah guruh berdentum di langit maka bertukarlah si Buaya dan si Naga yang asalnya 2 orang putera raja di negeri Kayan bertukar menjadi seekor naga dan seekor buaya.
#KamekSayangSarawakBah!