top of page

MUSIM JEPUN MERENTAH SARAWAK (1941-1945)


MUSIM JEPUN MERENTAH SARAWAK (1941-1945) " Kyodotai, Jikeidan dan Gunsei-Bu"


Kali ini tajuk artikel agak pelik sedikit kerana Borneo Oracle menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu Sarawak iaitu Musim Jepun Merentah Sarawak yang bermaksud Ketika Jepun Memerintah Sarawak di dalam bahasa Malaysia standard. Ianya disengajakan kerana di Sarawak tidak kira bangsa dan agama akan tetap memanggil Musim Jepun sebagai merujuk kepada keadaan Sarawak sewaktu pendudukan Jepun iaitu dari tahun 1941 hingga 1945.


Untuk paparan kali ini, Borneo Oracle akan berkongsi satu lagi pencerahan yang sudah semestinya tidak pernah didendangkan buat pengetahuan bangsa Sarawak sekalian. Ianya adalah sejarah Kyodotai, Jikeidan dan Gunsei-Bu yang merujuk kepada pasukan elit rahsia pro-Jepun yang keanggotaannya adalah dipilih daripada masyarakat pribumi Sarawak sendiri. Siapakah mereka? Apakah fungsinya? Mengapa ianya ditubuhkan hanya di bumi Sarawak dan tidak di tempat lain?



Sejarah Kyodotai


Kyodotai adalah satu pasukan separa tentera yang diwujudkan oleh pemerintahan tentera Jepun di Sarawak pada tanggal 10hb Oktober 1943. Keanggotaan Kyodotai ini adalah terbuka hanya untuk kaum Melayu dan Dayak Sarawak sahaja. Misi dan visi penubuhan Kyodotai ini adalah untuk merekrut mereka yang terpilih menjadi pemimpin-pemimpin masyarakat Melayu dan Dayak Sarawak seperti jawatan Penghulu, Ketua Kampung dan Tuai Rumah.

Dengan memberikan mereka latihan khusus ala Jepun maka diharap Kyodotai akan melahirkan pemimpin tempatan Sarawak yang mempunyai doktrin yang sama dengan pemerintahan Jepun pada ketika itu.


Pemilihan untuk menjadi Kyodotai bukanlah dilakukan secara sembrono kerana pemilihannya melalui proses yang ketat yang dikawal selia sepenuhnya oleh pemerintah tentera Jepun di Sarawak. Masyarakat Melayu dan Dayak Sarawak yang terpilih ini bukanlah sembarangan orang kerana mereka dikatakan diambil di kalangan mereka yang bijak pandai tahu menulis dan membaca serta cepat pandai untuk memahami doktrin Jepun yang hendak diperkenalkan.


Kesemua mereka yang terpilih menjadi Kyodotai ini akan menjalani latihan intensif separa tentera di kem-kem tentera Jepun di Sarawak dan disinilah nanti mereka akan diserapkan dengan ideology-ideologi pro Jepun baik dari segi pentadbiran dan pemerintahan untuk diserapkan ke rakyat di bawah pimpinan mereka. Antara bentuk latihan mereka adalah penggunaan senjata, taktik perperangan baik dari lapangan darat, laut dan udara serta pentadbiran tentera yang sebenarnya. Latihan untuk menjadi Kyodotai harus diharungi di dalam 2 fasa iaitu selama hampir 6 bulan di dalam bentuk kuliah dan 6 bulan lagi secara amali iaitu ditempatkan menjadi sebahagian daripada tentera Jepun.


Apabila sudah lulus segala ujian barulah mereka diserapkan untuk menjadi pemimpin-pemimpin di dalam masyarakat mereka dan sebarang aktiviti subversif rakyat mereka sendiri akan mereka laporkan kepada pemerintah tentera Jepun di Sarawak secara rahsia. Sehingga 1945 dikatakan seramai 830 orang daripada masyarakat Melayu dan Dayak Sarawak yang terpilih menjadi Kyodotai iaitu seramai 350 orang dari Kuching, 300 orang dari Sibu dan 180 orang dari Miri.


Perkhidmatan Kyodotai di bumi Sarawak tidaklah lama kerana ianya telah dihentikan apabila pihak pemerintahan tentera Jepun merasakan bahawa impak atas perkhidmatan Kyodotai di bumi Sarawak tidaklah seperti yang sepatutnys. Antara penyebab kepada kegagalan Kyodotai adalah:


1. Masyarakat Melayu dan Dayak sebenarnya tidak menyukai pemerintahan tentera Jepun yang zalim dan sering menggunakan paksaan di dalam setiap aspek.


2. Ketika latihan, tentera Jepun yang menjadi tenaga pengajar bertindak seperti raja dengan menghukum sesuka hati walaupun hakikatnya mereka yang diambil itu adalah rakyat awam bukan tentera.


3. Masalah bahasa yang mana majoriti daripada mereka yang menjalani latihan tidak fasih berbahasa Jepun sedangkan sistem pembelajaran semuanya di dalam bahasa Jepun. Hanya segelintir yang boleh lulus dengan cemerlang.


4. Tempoh masa latihan yang terlalu panjang yang mana sewaktu latihan mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk pulang bertemu keluarga waima ada kematian keluarga sekalipun. Ini menyebabkan ramai antara pelatih Kyodotai lari sewaktu latihan.


Atas faktor-faktor inilah pemerintahan tentera Jepun di bumi Sarawak telah membubarkan Kyodotai pada Ogos 1945.



Sejarah Jikeidan


Jika Kyodotai dipilih dikalangan masyarakat Melayu dan Dayak Sarawak yang bijak-bijak dan harus mempunyai kebolehan membaca dan menulis, untuk keanggotaan Jikeidan pula adalah dipilih dari kalangan penduduk yang biasa tetapi mempunyai sentimen yang kuat di dalam doktrin pro-Jepun.


Jikeidan sebenarnya lebih tertumpu kepada unsur-unsur keselamatan kepada penduduk-penduduk setempat. Jikeidan yang terpilih akan membantu Kyodotai di dalam memastikan bahawa segala aktiviti-aktiviti orang kampung dibawah seliaan Kyodotai adalah betul dan tidak menimbulkan penentangan kepada pemerintahan Kyodotai dan juga pemerintahan Jepun.


Jika didapati ada yang berbuat sedemikian maka sudah pasti satu bala akan menimpa seseorang itu kerana disinilah Kyodotai akan memainkan peranan dengan melaporkannya terus kepada polis Jepun atau Kempeitai yang terkenal dengan seksaan-seksaan kejam mereka ke atas rakyat sewaktu musim Jepun merentah Sarawak.


Selain daripada menjadi mata dan telinga Kyodotai, Iikeidan juga berfungsi untuk memastikan bahawa keperluan logistik baik daripada makanan serta buruh daripada masyarakat tempatan Sarawak sentiasa ada untuk kem-kem tentera Jepun di Sarawak. Sesiapa yang engkar sudah tentu akan menerima nasib malang. Kerana adanya Jikiedan di dalam masyarakat Sarawak yang ketika itu sudahlah susah penghidupan mereka semakin susah seperti perumpamaan sudah jatuh ditimpa tangga.


Apabila Kyodotai dibubarkan, mana-mana Jikeidan yang setia pada doktrin Jepun telah diserapkan untuk menjadi Kempeitai iaitu Polis Jepun ketika itu.



Sejarah Gunsei-Bu


Sewaktu Perang Dunia Ke-2 yang rancak berlangsung di seluruh dunia suatu waktu dahulu, umum mengetahui betapa masyarakat Cina di seluruh dunia menghadapi tragedy perang yang menyayat hati daripada tentera Jepun. Walaupun tiada penentangan yang terang-terangan daripada masyarakat Cina di Sarawak namun begitu ianya masih menjadi duri dalam daging bagi masyarakat Cina kerana Perang China-Jepun yang berlangsung sekitar 1937 hingga 1945 telah meninggalkan seribu peristiwa hitam bagi mereka.


Pemerintahan tentera Jepun di bumi Sarawak pada waktu itu juga begitu berhati-hati dengan masyarakat Cina Sarawak sehingga memungkin mereka menubuhkan satu unit pasukan yang bernama Gunsei-Bu. Gunsei-Bu ini adalah satu pasukan yang keahliannya terdiri daripada masyarakat pribumi Sarawak seperti Melayu dan Dayak Sarawak. Fungsi Gunsei-Bu seperti ala-ala Kempeitai namun mereka bukannya dibawah kategori Polis Jepun sebaliknya mereka adalah mereka yang bertindak seperti pasukan yang dikhaskan untuk mengawal aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat Cina Sarawak pada ketika itu.


Melalui Gunsei-Bu inilah satu dasar diperkenalkan oleh pemerintahan tentera Jepun yang dipanggil Dasar Sook Ching. Sook Ching ini bermaksud pembersihan melalui perbuatan iaitu dengan memaksa masyarakat Cina Sarawak untuk memberikan sejumlah sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan asas kepada Japan Overseas Chinese Association (OCA). Dana-dana ini akan digunakan disalurkan kepada pemerintahan Jepun di Sarawak bagi mengimbangi kos-kos operasi mereka dan dikatakan juga untuk menampung kos-kos ketenteraan Jepun di tempat lain.


Gunsei-Bu akan bertindak untuk mengunjungi para peniaga-peniaga masyarakat Cina Sarawak dan akan memaksa mereka di dalam apa bentuk sekalipun daripada peniaga kecil sehingga ke peniaga besar dan sesiapa yang tidak menuruti perintah maka ke kepala akan bercerai daripada badan oleh samurai Jepun. Dan ada juga kekejaman yang lebih bersifat seksaan seperti kaum wanita dari masyarakat Cina akan dijadikan gundik untuk tentera Jepun dan juga bentuk penyiksaan yang lain.


Di kala inilah, masyarakat Cina Sarawak terpaksa akur dengan tekanan daripada pemerintahan tentera Jepun sehingga membenarkan mereka untuk memberikan keperluan asas yang lain secara percuma seperti beras, gula dan lain-lain. Selain daripada itu wang tunai juga turut dihulurkan dan sekitar tahun 1944, masyarakat Cina di Sarawak dikatakan telah menyumbang $900,000 (Kuching), $700,000 (Sibu) dan $300,000 (Miri) dan hampir $100,000 dari bahagian-bahagian yang lain di bumi Sarawak. Kesemua nilai wang tunai ini adalah didalam bentuk wang tunai straight dollar.


Jika di zaman pemerintahan Brooke, masyarakat Cina Sarawak dipimpin oleh Kapitan namun begitu di “musim jepun merentah Sarawak”, masyarakat Cina Sarawak dipimpin oleh Ken-Sanji. Ken-Sanji ini pula dikawal oleh anggota Gunsei-Bu yang akan memberikan arahan serta keputusan bagi pihak pemerintahan tentera Jepun.


Inilah satu sejarah yang tidak didendangkan iaitu kewujudan apa yang dipanggil pasukan separa tentera yang anggotanya terdiri daripada masyarakat Melayu dan Dayak Sarawak dan Kyodotai, Jikeidan serta Gunsei-Bu hanya ada di bumi Sarawak ketika Musim Jepun Merentah Sarawak. Betapa sedikitnya informasi sejarah ketika Sarawak ditakluk oleh tentera Jepun ketika itu sedangkan hakikatnya banyak lagi sejarah-sejarah yang harus kita ketahui kerana sejarah itu banyak mengajar kita apa maknanya jati diri kita sebagai anak Sarawak, Bangsa Sarawak.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page