top of page

NGOANG


NGOANG

Sekitar tahun 2013, pernah satu ketika satu Malaysia riuh rendah dengan penemuan spesis udang yang aneh dan agak ganjil bagi mereka. Tetapi ianya tidak bagi masyarakat tempatan di Sarawak kerana spesis yang ganjil ini sebenarnya sudahpun wujud di bumi Sarawak malah juga menjadi hidangan bagi penduduk di Sarawak.


Ngoang atau Mang itulah nama panggilan tempatan bagi apa yang dipanggil udang ketok ini. Di Johor ianya dipanggil Jabot dan bagi masyarakat Jawa pula memanggilnya dengan nama Lengkoro. Sudah pasti banyak lagi nama-nama tempatan berdasarkan dialek masyarakat tempatan Sarawak di dalam memperkatakan Ngoang ini.


Ngoang atau nama saintifiknya adalah Thalassina Anomala adalah sejenis spesis udang lumpur yang berkaki lapan. Ianya seakan-akan udang tetapi mempunyai sepit seperti ketam dan kerana itulah mungkin kerana rupanya yang pelik iaitu campuran 2 hidupan laut ini maka ianya menjadi tarikan bagi mereka yang tidak mengenalinya. Namun begitu udang ketok atau Ngoang ini, habitatnya adalah di kawasan tepi kawasan paya bakau.


Sesungguhnya ianya lebih menjadi satu yang ganjil apabila dikatakan bahawa Ngoang ini adalah antara spesis yang terancam kerana banyak habitatnya telah dimusnahkan bagi tujuan pembangunan. Mungkin satu hari nanti kita hanya boleh melihat Ngoang hanya di dalam gambar-gambar sahaja jika kemusnahan habitatnya terus dilakukan oleh manusia dengan rakus sekali.


Sebenarnya bukan semua tempat di dunia menjadi habitat kepada Ngoang ini. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh National Geographic, habitat Ngoang boleh didapati di kawasan berpaya yang berlumpur seperti di seluruh Malaysia dan Pulau Borneo. Ianya juga boleh didapati di India (Kerala), Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Kepulauan Andaman dan Nicobar, Pulau Ryukyu di Jepun, Fiji, Samoa dan dari North West Cape hingga ke Western Australia. Inilah habitat terdapatnya Ngoang membiak.


Kewujudan Ngoang di habitat yang berlumpur dan berpaya boleh dilihat dengan adanya sarangnya yang berbentuk seperti “gunung berapi” kecil di kawasan berlumpur. Sarangnya ini boleh setinggi sehingga ke 30 sentimeter dan kedalamannya boleh mencecah sehingga 1 kaki dalamnya. Ngoang hanya akan dapat dilihat keluar dari sarangnya apabila hari hujan dan air hendak pasang dan selebihnya ianya lebih gemar untuk duduk diam di sarangnya. Makanannya adalah ikan-ikan kecil atau rumput-rumput yang hidup di kawasan berpaya.


Bagi penggemar yang ingin menikmati Ngoang ini bukanlah satu kerja yang mudah kerana Ngoang walaupun nampak berat dari segi badannya seperti udang galah namun ianya amat cepat bergerak di air dan menggali sarangnya juga untuk mendapatkan Ngoang adalah satu kerja yang merbahaya kerana selain daripada Ngoang yang menghuni sarangnya ada seribu jenis spesis yang lain juga menghuni sarang yang sama.


Bagi mereka yang sudah tahu khasiat Ngoang ini dari segi rawatan alternative sememangnya memakan Ngoang sentiasa disyorkan bagi penghidap asma yang kronik kerana dikatakan ianya boleh menyembuhkan penyakit tersebut. Setakat ini hanya inilah kegunaan Ngoang dari aspek perubatan tradisional dan belum ada lagi penemuan untuk menyembuhkan penyakit yang lain.


Selain daripada memakan Ngoang untuk tujuan rawatan asma, bagi penggemar Ngoang ini pula dikatakan mempunyai rasa yang amat enak lebih-lebih lagi di bahagian sepitnya. Rasanya lebih sedap daripada memakan ketam. Hanya dibahagian sepitnya yang menjadi kegunaan kerana untuk bahagian badan Ngoang dikatakan tidak mempunyai isi langsung. Bagi Ngoang betina pula dikatakan dibahagian ekornya mempunyai telur dan telur ini juga sedap dimakan. Biasanya menu Ngoang hanya dengan merebusnya ataupun dimasak kicap.


Sememangnya selera manusia ini berbeza dan apa yang dipanggil pelik bagi masyarakat di lain-lain tempat seperti Ngoang ini sebenarnya adalah perkara biasa bagi masyarakat di Sarawak Bumi Kenyalang. Selera eksotik ini adalah salah satu keunikan masyarakat Sarawak Bumi Kenyalang dan salah satunya adalah Ngoang. Inilah sekelumit informasi mengenai Ngoang yang pernah menjadi berita utama di Malaysia pada tahun 2013 sedangkan hakikatnya ianya adalah spesis biasa bagi Urang Sarawak.


‪#‎KamekSayangSarawakBah

bottom of page