top of page

PESTA BENAK SARAWAK


PESTA BENAK SARAWAK

- Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak


Benak ialah fenomena alam yang unik dan istimewa bagi masyarakat atau penduduk Sarawak, khususnya bagi penduduk di sekitar Batang Lupar, Sri Aman. Benak sebenarnya ialah ombak muara yang merupakan ombak tinggi yang berpunca daripada pertembungan air pasang atau air pasang yang meluru ke muara sungai yang sempit dan ketinggian ombak muara bergantung kepada musim dalam sesuatu tahun itu, cuaca dan fasa bulan.


Fenomena ini diketahui berlaku di 66 lokasi di seluruh dunia termasuk tiga di Malaysia, satu daripadanya ialah di Sri Aman. Ombak muara biasanya berlaku pada hari ketiga dan ke-18 dalam kalendar Cina dan bagi masyarakat di sini ia bagaikan satu pesta kerana pada masa ini pemilik bot serta golongan remaja akan cuba melungsuri ombak gergasi setinggi lima kaki itu yang menghempas di tepian bandar Sri Aman.


Luncur ombak muara di Batang Lupar Sri Aman diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dalam sukan ekstrem dan di dunia. Setakat ini hanya seorang yang berani menyambut cabaran melawan ‘benak’ di sini. Beliau ialah warga Perancis Antony Colas, peluncur ombak tegar dan penulis World Stormrider Guide, buku panduan yang menyenaraikan lokasi terbaik aktiviti meluncur di seluruh dunia.


Menurutnya, Ombak muara Sri Aman dianggap antara yang terbaik di dunia. Walaupun bukanlah sekuat dan menggerunkan seperti Pororoca di Brazil atau Guanchao di China, hempasan benak akan berlaku untuk selama beberapa jam dan ada kalanya menjulang setinggi lima kaki, keadaan ini memberikan pukulan ombak yang baik bagi peluncur.


Fenomena Benak ini telah menjadi salah satu kalendar pelancongan di Sarawak yang mana Pesta Benak, Sri Aman telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun 2001 dan sambutannya saban tahun semakin menggalakkan baik daripada pelancong tempatan ataupun luar negara. Semoga fenomena benak anugerah tuhan kepada bandar terpilih Sri Aman akan menjadikannya sebagai sebuah hub pelancongan sukan ekstrem terkemuka di dunia.


Lan Berambeh Ke Sarawak!


bottom of page