top of page

SIR CHARLES BROOKE (1829-1917)


SIR CHARLES BROOKE (1829 – 1917)


Sir Charles Brooke merupakan Rajah Kedua Sarawak Kingdom yang memerintah dari 3 Jun 1829 hingga 17 Mei 1917. Di dalam sejarah Sarawak Kingdom yang merdeka, era pemerintahan Rajah Charles Brooke merupakan zaman kegemilangan sebuah Sarawak Kingdom yang maju dan moden kerana di era pemerintahan beliaulah Sarawak yang selama ini diliputi oleh hutan tebal telah berubah wajah menjadi sebuah negara yang setanding dengan negara Eropah yang lain. Dan kerana itulah Rajah Charles Brooke merupakan tokoh rajah Sarawak yang paling bijak mentadbir negara Sarawak di antara ketiga-tiga rajah Sarawak yang menduduki hirarki pemerintahan rajah putih di Sarawak Kingdom.


Dilahirkan di Berrow Vicarage, Burnham, Somerset, England dengan nama asalnya Charles Antoni Johnson. Beliau merupakan anak kepada Reverend Francis Charles dan Emma Frances Johnson iaitu adik kepada Rajah yang pertama Rajah James Brooke. Beliau mempunyai beberapa orang adik beradik yang lain iaitu Kapten John Brooke Johnson , Mary Anna Johnson, Harriet Helena Johnson, Charlotte Frances Johnson, Kapten Frederic Johnson , Emma Lucy Johnson, Margaret Henrietta Johnson, Georgianna Brooke Johnson, James Stuart Johnson dan Henry Stuart Johnson.


Rajah pertama iaitu Rajah James Brooke yang tidak mempunyai anak pada asalnya telah menamakan anak saudaranya yang sulung iaitu abang kepada Charles Antoni Johnson sebagai rajah ke-2 Sarawak Kingdom pada tahun 1861. Abangnya bernama Kapten John Brooke Johnson-Brooke yang merupakan seorang yang terlatih di dalam bidang ketenteraan laut. Namun begitu dek kerana berlaku salah faham keluarga diantara Rajah James Brooke dan Kapten John Brooke Johnson-Brooke maka Rajah James Brooke telah menukar wasiatnya dengan melantik Charles Antoni Johnson sebagai Rajah kedua Sarawak Kingdom pada tahun 1865.


Dikatakan punca salah faham ini adalah kerana Rajah James Brooke tidak dapat menerima kritikan daripada Kapten John Brooke Johnson-Brooke di dalam pentadbiran Negara Sarawak pada waktu itu. Jadi selepas meninggalnya Rajah James Brooke maka ditabalkan Charles Antoni Johnson sebagai pengganti kepada Rajah Sarawak Kingdom dengan nama Rajah Charles Brooke.


Charles Brooke yang mendapat pendidikan di at Crewkerne Grammar School telah menganggotai Angkatan Laut Diraja dan kerana itulah dengan pengalaman beliau di dalam ketenteraan laut serta berpengalaman di dalam pentadbiran Negara Sarawak kerana pada tahun 1852, beliau pernah menjawat jawatan Residen bagi daerah Lundu. Dengan pengalamannya yang luas di dalam pentadbiran ini membolehkan beliau menguruskan kewangan perbendaharaan Sarawak Kingdom pada waktu itu.


Semasa beliau mengambil alih tampuk takhta sebagai Rajah Kedua Sarawak, beliau telah mewarisi Sarawak yang hampir bankrap. Ini kerana semasa pemerintahan Rajah James Brooke, banyak wang perbendaharaan Negara Sarawak digunakan untuk melengkap armada perang Rajah James Brooke bagi membanteras pemberontakan tempatan di dalam negara Sarawak kerana ramainya masyarakat tempatan yang tidak berpuashati dengan sistem pentadbiran yang baru. Dengan amalan sifat jimat cermat beliau dan juga dengan kebijaksanaan beliau tabung perbendaharaan Sarawak Kingdom kembali bersinar.


Rajah Charles Brooke telah menyusun semula Kuching dengan membina beberapa bangunan ala arkitektur Eropah seperti bangunan Mahkamah Sarawak, Muzium Sarawak, Astana Sarawak dan banyak lagi bangunan yang menjadi mercu tanda sejarah Sarawak sekarang. Rajah Charles Brooke telah menggalakkan kemasukan imigran Cina ke Sarawak bagi membuka ladang-ladang seperti getah dan lada hitam yang merupakan komoditi yang amat berharga di pasaran antarabangsa sewaktu itu. Rajah Charles Brooke juga yang telah menggalakkan eksplorasi minyak pertama di Miri, Sarawak kerana “emas hitam” ini juga antara kekayaan bagi Sarawak Kingdom pada waktu itu.


Melihat kepada pentingnya pendidikan kepada masyarakat Sarawak pada masa itu, Rajah Brooke juga telah membuka sebuah sekolah lelaki pada tahun 1903 dengan nama “Government Lay Schools”. Di sekolah ini masyarakat Melayu Sarawak diajar dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara. “Government Lay Schools” inilah menjadi asas kepada SMK Green Road, Kuching sekarang.


Rajah Charles Brooke semasa pemerintahannya tetap meneruskan dasar melarang penghambaan dan adat memotong kepala dan juga sebarang adat masyarakat peribumi Sarawak yang berkaitan dengan pengorbanan nyawa kerana Rajah Charles Brooke ingin menjadikan rakyat Sarawak sebagai rakyat yang bertamadun seiring dengan masyarakat di negara Eropah. Di zaman Rajah Charles Brooke ini juga pegawai Eropah yang berkerja dengan pentadbiran Sarawak Kingdom telah digalakkan untuk mengahwini masyarakat tempatan agar mereka akan lebih memahami sosio budaya masyarakat Sarawak. Sesuatu yang jarang-jarang dilakukan oleh mana-mana pemerintah sebelum ini.


Namun bagi menghormati dirinya sebagai Rajah Sarawak Kingdom, Rajah Charles Brooke telah berkahwin dengan seorang wanita Inggeris seperti yang diminta oleh keluarganya pada 28 Oktober 1869. Perkahwinan beliau dengan Margaret Alice Lili de Windt telah berlangsung di Highworth, Wiltshire. Margaret Alice merupakan gadis yang muda 20 tahun daripada usia beliau pada waktu itu. Margaret Alice Lili de Windt kemudiannya menjadi Ranee Margaret of Sarawak.


Fort Margherita yang terletak di tebing Sungai Sarawak sekarang dinamakan bersempena dengan nama permaisuri Rajah Charles Brooke. Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan dengan 6 orang anak iaitu Dayang Ghita Brooke (1870–1873), James Harry Brooke (1872–1873) Charles Clayton Brooke (1872–1873). Namun ketiga-tiga anaknya ini meninggal dunia pada awal kelahiran mereka. Kemudian lahirlah Charles Vyner Brooke, Tuan Muda Bertram dan yang bongsu adalah Harry Keppel Brooke.


Diceritakan bahawa Rajah Charles Brooke juga mempunyai seorang anak lelaki hasil hubungannya dengan seorang wanita tempatan yang dinamakan Esca Brooke. Tetapi kerana hubungan ini tidak melibatkan perkahwinan yang sah dari segi undang-undang maka Esca Brooke tidak boleh diiktiraf sebagai waris Brooke yang sah, Dikhabarkan bahawa Esca Brooke telah dijadikan anak angkat kepada Reverend William Daykin dan telah dibawa berpindah ke Kanada oleh keluarga angkatnya.


Rajah Charles Brooke bukan sahaja seorang bijak di dalam pentadbiran Sarawak malah beliau dikatakan sebagai seorang yang mempunyai hobi yang agak unik pada waktu itu, Di era pemerintahannya, Rajah Charles Brooke telah memperkenalkan sukan kuda untuk perlumbaan, sesuatu yang sudah semestinya bukan sukan tempatan rakyat Sarawak. Minat beliau terhadap sukan ini telah mendorong beliau untuk membina Sarawak Turf Club yang terletak di Padungan, Kuching. Kawasan itu sekarang sudah menjadi tapak kepada bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan. Di Sarawak Turf Club ini telah diadakan perlumbaan kuda setiap minggu.


Perlumbaan pertama telah diadakan pada tahun 1890 dengan menggunakan kuda yang diimport dari Negara North Borneo (Sabah) iaitu jiran kepada Sarawak Kingdom. Seterusnya apabila melihat sambutan penduduk tempatan dan juga masyarakat Eropah di Sarawak ianya telah menggunakan kuda import dari Negara Australia. Rajah Charles Brooke juga telah mengistiharkan Piala Sarawak di Sarawak Turf Club yang diadakan setahun sekali. Sepanjang 2 hari perlumbaan besar ini ianya adalah cuti umum untuk seluruh empayar Sarawak Kingdom pada waktu itu.


Di Sarawak Turf Club ini setiap penonton akan mempunyai tempat duduk yang tertentu iaitu untuk kawasan grandstand berbumbung akan disediakan untuk masyarakat Eropah dan juga ketua-ketua kaum peribumi Sarawak manakala untuk kawasan duduk terbuka adalah untuk penduduk tempatan Sarawak.


Inilah sejarah Rajah Charles Brooke, rajah kedua bagi Sarawak Kingdom yang telah memerintah dengan penuh cekap sehingga mampu menjadikan Sarawak Kingdom maju dan membangun pada masa itu. Rajah Charles Brooke yang meninggal dunia pada tahun 1917 di Cirencester, United Kingdom. Jenazah beliau telah disemadikan di St. Leonard’s Church, Sheepstor, Devon, England.


bottom of page