top of page

TAMAN NEGARA MULU, SARAWAK, BORNEO


TAMAN NEGARA MULU, SARAWAK, BORNEO

Sarawak Bumi Kenyalang adalah bumi yang bertuah kerana hakikatnya ianya telah dianugerahkan dengan 10 taman negara, hutan simpan dan taman santuari yang membabitkan keluasan lebih kurang 300, 000 hektar. Salah satunya adalah Taman Negara Gunung Mulu yang terletak di utara Sarawak iaitu di bahagian Miri.


Taman Negara Mulu merupakan salah satu daripada 10 taman negara di Sarawak Bumi Kenyalang. Keluasan taman negara ini adalah 544 km persegi dan ianya telah dibuka secara rasmi kepada umum pada tahun 1985. Taman Negara Mulu adalah yang pertamanya di Malaysia diiktiraf sebagai UNESCO World Heritage memandangkan sejarahnya yang mempunyai kaitan secara langsung dengan peradaban manusia di dunia ini.


Keajaiban taman negara ini adalah terletak kepada 3 gunung-ganangnya yang begitu unik dan salah satunya adalah Gunung Mulu yang mempunyai ketinggian 2,376 meter dari paras laut. Selain itu tarikan Pinnacles dari Gunung Api, iaitu antara gunung yang membentuk rangkaian tarikan Gunung Mulu juga dikategorikan sebagai salah satu daripada keajaiban dunia baik dari segi rupa bentuknya serta laluannya yang begitu mencabar sekiranya ingin didaki.


Gua Rusa, Lang, Air Jernih dan Angin yang juga merupakan gua-gua di dalam rangkaian Gunung Mulu pula mempunya seribu satu keajaiban kerana sekiranya berkesempatan untuk membuat eksplorasi gua maka gua-gua ini menjanjikan panorama serta pengalaman yang begitu mengasyikkan.


Dihubungkan dengan laluan sejauh tiga km, perjalanan ke Gua Rusa seluas dua km persegi dan kira-kira 120 meter tinggi ini merentasi paya dan gua batu kapur. Dahulunya gua ini adalah penempatan penduduk justeru dikenali Gua Payau. Oleh kerana Gua Rusa dihuni kelawar, antara jam lima hingga tujuh malam jadi pertunjukan “udara“ jutaan ribu kelawar keluar mencari makan menjelang malam merupakan sesuatu yang mengasyikkan. Kehadiran berjuta-juta kelawar ini telah membentuk jaluran laluan di langit biru.


Ketika memasuki pintu utama gua ini, anda dapat saksikan burung layang-layang membina sarangnya selain laluan ke dalam gua juga agak licin dipenuhi najis kelawar. Di sini juga terbentuknya sebahagian figura wajah negarawan Amerika, Abraham Lincoln. Jelajah ke Gua Rusa tidak lengkap tanpa berkunjung ke Gua Lang yang bersambung antara keduanya. Gua Lang kecil tetapi amat indah dengan pembentukan stalaktit dan stalagmit membentuk landskap gua yang begitu mengasyikkan. Perjalanan ke pintu Gua Angin mengambil masa 15 minit.


Sebagai gua terpanjang di Asia, Gua Angin mendapat nama kerana sebaik masuk, suasana di dalam amat dingin dan nyaman manakala Gua Air Jernih pula memiliki sebatang sungai yang mana airnya tersangat jernih. Gua Angin dan Air Jernih terletak sebelah menyebelah sebagaimana Gua Rusa dan Gua Lang. Setiap gua ini mempunyai tarikan masing-masing seperti sejarah, asal usul dan kepercayaan masyarakat setempat.

Sekiranya ingin menikmati aktiviti yang lebih santai, mungkin dengan berkunjung ke perkampungan etnik Penan dan Begawan yang menghuni sepanjang persisiran Sungai Merlinau akan memberikan seribu satu pengalaman untuk mengenali etnik minoriti Sarawak ini memandangkan mereka masih lagi mengamalkan kaerdah sara hidup tradisional seperti menangkap ikan dan sebagainya.


Selain itu terdapat juga daripada mereka yang mengusahakan perusahaan kecil-kecilan contohnya membuat kraftangan daripada etnik mereka dan kemudian dijual kepada pengunjung. Mungkin dikesempatan bercampur-gaul dengan etnik minoriti ini nanti maka akan berkesempatan untuk mendengar cerita sastera rakyat nenek moyang mereka yang diwarisi secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain yang mana cerita-cerita ini mempunyai kaitan secara langsung dengan sejarah kewujudan mereka di sekitar Taman Negara Mulu.


Sesungguhnya banyak keunikan dan keajaiban yang ada di Sarawak Bumi Kenyalang dan salah satunya adalah Taman Negara Mulu yang mempunyai tarikan baik dari segi explorasi gua mahupun sukan lasak bahkan flora fauna serta serangga dan unggasnya juga merupakan antara salah satu yang tiada di tempat lain.


‪‎Lan Berambeh Ke Taman Negara Mulu, Sarawak

‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page