THE LITTLE “SARAWAK” IN SABAH
THE LITTLE “SARAWAK” IN SABAH
- Iban Merotai
Iban Merotai..The Little “Sarawak” in Sabah, begitulah tajuk artikel pada kali ini yang sudah semestinya ramai yang tidak mengetahui mengapa pula adanya etnik Iban di Sabah sedangkan rata-rata mengetahui bahawa etnik Iban itu sering dikaitkan sebagai etnik majoriti di Sarawak. Itulah kebenarannya apabila kita berbicara kita berada di satu daratan yang sama. Sudah tentu ada sesetengah etnik di bumi Borneo juga mempunyai asal keturunan yang sama cuma mungkin keberadaan mereka sahaja berbeza.
Iban Merotai merupakan satu etnik Iban asalnya daripada Sarawak yang telah melakukan penghijrahan ke bumi Sabah sejak dahulu lagi. Dipanggil Iban Merotai kerana merujuk kepada penempatan mereka yang agak besar di daerah Merotai, Tawau, Sabah. Walaupun berada nun jauh daripada tanah kelahiran mereka, namun begitu Iban Merotai ini tetap melestarikan bahasa Iban sebagai bahasa perhubungan antara mereka malah adat dan budaya juga tetap seperti etnik Iban di Sarawak.
Jika ramai etnik-etnik di bumi Borneo sejak dahulu lagi telah berhijrah kerana ingin melarikan diri atau survival bagi tradisi Kayau yang pernah menjadi igauan ngeri bagi setiap manusia dahulu kala sehingga membenarkan mereka melepasi sempadan semata-mata untuk mencari wilayah yang damai untuk bercucuk tanam dan sebagainya, ini tidak terjadi kepada Iban Merotai kerana keberadaan mereka di bumi Sabah sekarang adalah kerana satu adat di dalam etnik Iban yang dipanggil “Adat Bejalai”.
Adat Bejalai ini adalah satu tradisi yang pernah dilakukan oleh etnik Iban khususnya untuk kaum lelaki Iban. Di dalam tradisi ini sampai saatnya apabila mencecah usia remaja, adalah menjadi satu kemestian kepada kaum lelaki Iban untuk meninggalkan rumah panjang mereka dan keluar mengembara ke daerah yang jauh daripada daerah dia dilahirkan. Di kala inilah barulah diketahui samada seorang anak Iban itu akan mampu membawa pulang sejumlah kekayaan untuk keluarganya dan adakah gah namanya di tempat orang sehingga memungkinkah ianya akan menaikkan namanya di dalam komuniti rumah panjangnya.
Inilah yang berlaku kepada sejarah penghijrahan etnik Iban Merotai kerana ianya adalah kerana kaitannya dengan tradisi Iban iaitu Adat Bejalai cuma bezanya bagi iban Merotai melakukan adat Bejalai ini tidak pulang ke pangkuan komuniti rumah panjang mereka di Sarawak sebaliknya terus memilih untuk menetap di bumi Sabah sehingga sekarang (Kedit 1993:3-4).
Menurut apa yang dilaporkan oleh dikatakan etnik Iban yang pertama melakukan penghijrahan ke Tawau adalah dipimpin oleh Andawi berserta 7 lagi anak Iban (Goodlet 2010:44). Dinyatakan juga bahawa mereka ini adalah anak Iban Sarawak yang berkhidmat sebagai Polis Sarawak Kingdom telah dihantar bertugas di North Borneo bagi membantu di dalam pemberontakan Mat Salleh antara tahun 1896-1900 dan selepas sahaja selesai melakukan tugas masing-masing mereka terus ingin bermastautin di North Borneo.
Setiap seorang daripada mereka telah diberikan pencen dan 5 ekar tanah di kawasan Merotai dan berkahwin dengan anak tempatan di Merotai seperti Dusun dan sebagainya. Dan disinilah bermulanya kelompok etnik Iban Merotai yang sebenarnya telahpun diperkembangkan dengan perkahwinan campur yang diamalkan berabad lamanya. Dan ini berlaku di ketika kedua-dua wilayah iaitu Sarawak Kingdom dan North Borneo dibawah pemerintahan bangsa Inggeris pada masa itu.
Selain itu adat bejalai ini juga terjadi di kala North Borneo pada waktu itu telah membuka secara besar-besaran peladangan di bumi mereka sehingga membenarkan adanya etnik Iban Sarawak juga menuju ke North Borneo untuk tujuan yang sama. Disini ada dinyatakan bahawa etnik Iban terawal yang menjadikan Merotai sebagai tempat tinggal tetap mereka adalah Bunsu anak Abak, seorang anak Iban kelahiran Sungai Asan, Sibu. Dikatakan bahawa Bunsu anak Abak bersama-sama dengan 26 lagi kaum lelaki Iban telah berhijrah ke Sandakan sebagai pembalak pada tahun 1930an. (Kedit 1993:3:4).
Dari Sandakan, Bunsu anak Abak telah berpindah ke Malinau, Kalimantan Timur dan tinggal bersama-sama dengan masyarakat Lun Dayeh dari Dataran Tanah Tinggi Kelabit. Di Malinau, mereka bersama-sama membuka ladang untuk bercucuk tanam dan juga mencari hasil hutan untuk dijual. Di Malinau inilah dikatakan Bunsu anak Abak berkahwin dengan seorang wanita dari etnik Murut dari Tenom yang bernama Lunai Mukat yang mana keluarganya telah melarikan diri ke Malinau ketika pemberontakan Mat Salleh. (Kedit 1993:3:4)
Selepas sahaja tamat Perang Dunia Kedua, Bunsu dan seluruh keluarganya termasuk keluarga mertuanya telah berhijrah kembali ke Sabah. Keluarga Bunsu sendiri menetap di Tawau manakala keluarga mertuanya kembali ke kampong halaman mereka di Tenom. Ketika itulah Bunsu bersama-sama dengan Merusin (anak Iban dari Katibas), Bagung (anak Iban dari Batang Rejang), Ajun (Anak Iban dari Batang Ai) dan Nanang telah memulakan penempatan Iban di Rian Suar berdekatan dengan Sungai Merotai Besar tidak jauh daripada jalan Tawau-Kalabakan.
Di sini mereka telah memulakan penanaman padi dan juga mencari hasil-hasil hutan seperti hutan dan sebagainya untuk sumber pendapatan tambahan. Dan apabila daerah Merotai dibuka untuk penanaman kelapa sawit, Bunsu dan anak-anak Iban yang lain telah diberikan dengan 15 ekar tanah ladang untuk diusahakan secara berkelompok. Dan Bunsu anak Abak merupakan anak Iban Merotai yang mendapat pengiktirafan sebagai Ketua Kampung Merotai yang pertama oleh Kerajaan Koloni British Borneo pada masa itu. (Kedit 1993:3:4)
Selepas itu ada lagi nama-nama besar anak Iban yang turut melakukan adat bejalai ke Merotai iaitu Tujit anak Timu. Tujit merupakan anak Iban dari Pakan Lemunyan, Pakan, Sarawak. Beliau memulakan adat bejalai ke North Borneo pada tahun 1948 diketika usianya 17 tahun. Tujit bersama-sama dengan Utam (anak Iban dari Poi, Kanowit) telah bersama-sama membuka kawasan penanaman padi dan seterusnya mereka juga turut sama menyertai skim penanaman ladang kelapa sawit di Merotai.
Beliau juga telah mengahwini wanita tempatan di Merotai iaitu dari Kaum Murut dan setelah perkahwinannya gagal, beliau berkahwin lagi dengan anak Iban Merotai sehingga melahirkan legasi Iban Merotai sekarang. Tujit sehingga ke akhir hayatnya tidak pernah pulang ke komunitinya di Pakan, Sarawak. Selepas itu memang ramai lagi anak Iban dari Sarawak yang telah berhijrah ke Merotai dan tidak pernah pulang ke negeri asal mereka seperti nama-nama seperti Lulut anak Junggai, anak Iban dari Nanga Entuat, Katibas dan lain-lain lagi. Mereka inilah yang telah melahirkan generasi Iban Merotai sekarang.
Sekarang komuniti Iban Merotai yang menjadikan Merotai sebagai kampong halaman mereka telah membenarkan adanya, The Little “Sarawak” in Sabah kerana asal mereka adalah daripada Sarawak. Etnik Iban Merotai juga telah menjadi Bumiputera Sabah yang menjadikan antara penyumbang ekonomi bagi Sabah Negeri Di Bawah Bayu dari dulu lagi.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!
#KamekSayangSarawakBah!