AWANG ANAK RAWENG, GC
AWANG ANAK RAWENG, GC
Awang Anak Raweng, begitulah nama seorang bangsa Sarawak berketurunan Iban yang namanya mungkin tidak dikenali ramai oleh generasi muda di Sarawak Bumi Kenyalang. Namun disebalik namanya ini terungkap beberapa peristiwa yang menyebabkan adalah wajar bagi kita rakyat Sarawak menghormatinya sebagai seorang pahlawan masa lampau yang masih lagi hidup.
Beliaulah satu-satunya anak bangsa Sarawak yang menerima Pingat George Cross dari Kerajaan Britain atas sumbangannya sewaktu membantu kerajaan Koloni British sewaktu dahulu. Hanya 25 orang sahaja di dunia ini yang menerima pingat keberanian tertinggi ini dan kesemua penerimanya adalah mereka yang gagah berani dan sanggup mati di dalam peperangan demi menegakkan bangsa dan negara yang aman dan harmoni seperti sekarang.
Awang Anak Raweng memulakan kariernya sebagai antara Penjejak Iban (Iban Trackers) dan telah dihantar bertugas di Malaya pada Disember 1950. Beliau ditempatkan sebagai Iban Trackers di dalam Batalian Pertama Rejimen Hutan Worcestershire and Sherwood. Pada ketika itu, Malaya telah mengalami ancaman daripada komunis dan beliau telah diletakkan untuk bertugas di Kluang, Johor pada masa itu.
Pada suatu ketika, keberanian dan kegagahan Awang anak Raweng terserlah apabila ketika ditinggalkan bersendirian bagi menemani rakan-rakan yang tercedera sementara rakan yang lain mencari bantuan, beliau telah menentang kira-kira 50 orang komunis secara bersendirian. Dengan berbekalkan semangat Agik Idup Agik Ngelaban inilah beliau telah berjaya memberikan penentangan yang berhabis-habisan bagi survival dirinya serta beberapa orang tentera British yang cedera di dalam peperangan tersebut.
Satu semangat menentang dan tidak mahu mengalah biar di dalam apa jua keadaan inilah yang menjadi kebanggaan kepada setiap bekas Iban Trackers yang sememangnya antara mereka yang diiktiraf keberaniaannya biarpun pada masa itu Sarawak belum lagi menjadi rakan di dalam membentuk Gagasan Malaysia tetapi demi negara jiran yang lain dan kesepakatan di dalam menjadikan negara jiran juga turut aman, bakti mereka turut dicurahkan.
Berdasarkan kepada keberanian beliau inilah, selayaknya beliau telah dikurniakan dengan Pingat Keberanian George Cross 1951 daripada Baginda Ratu Elizabeth II Istana Buckingham. Dan kerana itu itulah setiap kali beliau berkunjung ke Kota London untuk menghadiri Reunion Batalion Pertama Rejimennya, beliau akan menerima layanan kelas pertama seperti bekas-bekas tentera Koloni British yang lain yang lebih tinggi pangkatnya.
Nama Awang Anak Raweng mungkin tiada di dalam senarai Pingat Gagah Berani (PGB) Malaysia namun pengiktirafan daripada Kerajaan British melangkaui batas atas sumbangan beliau walaupun hakikatnya beliau tidak pernah meminta balasan atas apa jua sumbangan bakti yang telah ditaburkan. Pingat Jasa Malaysia yang dikurniakan kepada beliau pada tahun 2011 bersempena dengan sambutan Hari Peringatan Perang Sarawak adalah satu-satunya pengiktirafan ke atas Awang Anak Raweng daripada kerajaan buat masa sekarang.
Pada masa sekarang, Tuai Awang anak Raweng sedang melalui liku-liku hidup tuanya dan menjadi saksi kepada keperwiraan Iban Trackers yang masih hidup. Beliau sekarang sudah menjadi Tuai Rumah di Nanga Skrang, Sri Aman iaitu tempat asal beliau dilahirkan. Borneo Oracle ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas jasa Tuai Awang anak Raweng kerana kecekalan dan keberanian beliau menentang pengganas komunis dan kami bangga mempunyai bangsa Sarawak, anak Sarawak seperti Tuai Awang dan rakan-rakan di dalam Iban Trackers yang sentiasa mengharumkan nama Sarawak walau dimana jua mereka ditugaskan.
Inilah sekelumit sejarah seorang bekas Iban Trackers Awang anak Raweng – Penerima Pingat George Cross Dari Kerajaan Britain yang masih hidup dan sememangnya membuktikan betapa anak Sarawak adalah antara penyumbang kepada keamanan di rantau Asia Tenggara biarpun pada ketika itu Gagasan Malaysia belum lagi ditubuhkan.