top of page

BUNGAN MALAN PESELUNG LUAN


BUNGAN MALAN PESELUNG LUAN

- Tuhan Agama Kaharingan Etnik Dayak Kenyah


Suatu waktu dahulu kesemua etnik-etnik Dayak di Borneo tidaklah menganuti agama Kristianiti seperti apa yang dianuti sekarang. Sebaliknya etnik-etnik Dayak kebanyakannya menganuti agama pagan atau kaharingan iaitu kepercayaan kepada roh atau semangat. Agama pagan ini sebenarnya masih lagi dipraktikkan oleh golongan tua di dalam masyarakat dayak sehingga sekarang tetapi lebih berbentuk moderasi di dalam sistem kepercayaan mereka.


Menurut asal keturunan etnik Kenyah yang sekarang ini bertaburan di seluruh Borneo pada asalnya adalah salah satu etnik Dayak yang berasal daripada daerah Baram suatu waktu dahulu. Migrasi etnik Kenyah telah berlaku sejak ratusan tahun dahulu dan penghijrahan mereka telah menyerapi sehingga ke kawasan Apo Kayan dan seterusnya menghilir Sungai Merlinau di Kalimantan Timur. Setelah beberapa dekad di situ akhirnya mereka telah melakukan penghijrahan sekali lagi untuk bertapak semula di kawasan-kawasan di Sarawak khususnya di kawasan Baram, Tinjar dan banyak lagi. Oleh kerana itulah ada juga segelintir masyarakat Kenyah yang masih terus menetap di kawasan Kalimantan Timur sehingga sekarang seadanya.


Kaharingan adalah satu bentuk kepercayaan yang mempercayai akan kekuasaan roh-roh di alam ghaib yang banyak mempengaruhi norma-norma penghidupan di dunia. Di dalam etnik Kenyah suatu waktu dahulu kepercayaan seperti ini dipanggil dengan nama “Adet Tepun” yang bermaksud nenek moyang. Di dalam “Adet Tepun” ini, etnik Kenyah mempercayai kepada keupayaan 3 roh iaitu roh yang baik, roh yang jahat dan roh yang tidak diduga. Bungan Malan Peselung Luan merupakan satu contoh roh baik yang sering dipuja oleh etnik Kenyah lebih-lebih lagi di dalam upacara keagaamaan. Bungan Malan Peselung Luan inilah yang dikatakan sebagai simbolik kepada tuhan melalui “Adet Tepun”.


Bungan Malan Peselung Luan digambarkan sebagai tuhan pencipta kepada seluruh kejadian alam di dunia dan dikategorikan sebagai roh yang baik. Susuk Bungan Malan Peselung Luan pula digambarkan sebagai menepati ciri-ciri seorang wanita yang unggul, baik paras wajahnya serta mempunyai telinga yang panjang. Jadi tidak menghairankan sekiranya adat memakai luyang iaitu bertelinga panjang bagi wanita-wanita dari etnik Kenyah adalah salah satu pemakaian yang diambil daripada susok Bungan Malan Peselung Luan itu sendiri. Jika suatu waktu dahulu pemakaian luyang adalah satu yang wajib dan sejajar dengan waktu pemakaian luyang sudah agak tidak popular bagi generasi etnik Kenyah sekarang.


Kepercayaan kepada roh yang baik seperti Bungan Malan Peselung Luan amat sinonim dengan beberapa ritual keagamaan serta tarian-tarian yang menjadi simbolik kepada keutuhan dan kekuatan Bungan Malan Peselung Luan itu sendiri. Untuk itu bagi etnik Kenyah adalah tidak baik sekiranya mendatangkan kemarahan Bungan Malan Peselung Luan ke atas mereka kerana ianya akan membawa natijah kelak seperti sumpahan bala dan banyak lagi.


Dek kerana itulah hubungan baik ini harus dijaga dan di dalam apa jua aktiviti etnik Kenyah haruslah diadakan penyembahan bagi memohon restu Bungan Malan Peselung Luan. Dan dipercayai juga tindakbalas daripada Bungan Malan Peselung Luan adalah lebih bercorak kepada petanda seperti kehadiran burung belatuk ataupun burung enggang yang akan terbang disatu tempat. Ini merupakan satu petanda yang baik mengikut kepercayaan mereka.


Bagi memastikan Bungan Malan Peselung Luan tidak dianaktirikan di dalam setiap aktiviti besar di dalam masyarakat Kenyah akan diadakan beberapa ritual-ritual penyembahan dan ianya termasuk beberapa tarian-tarian pemujaan yang lebih mengarah kepada unsur-unsur mistik dan supernatural yang menjadikan ianya adalah sesuatu yang unik dan amat jarang diketahui oleh masyarakat luar mengenainya. Upacara-upacara ritual yang menjadikan Bungan Malan Peselung Luan berkepentingan adalah seperti:


1. Upacara Adat Maleng Ta’u


Maleng Ta’u merupakan upacara adat yang telah menjadi warisan turun temurun di dalam etnik Kenyah. Upacara adat ini kebiasaannya diadakan sewaktu merencana pembukaan lahan atau ladang di dalam masyarakat Kenyah. Upacara ini biasanya dipimpin oleh seorang “Mengamen Bali” iaitu seorang tokoh etnik Kenyah yang telah mahir di dalam selok belok upacara adat Maleng Ta’u.


Melalui “Mengamen Bali” inilah yang menjadi pengantara memohon restu daripada Bungan Malan Peselung Luan dan Bali Utung agar segala proses pembukaan ladang nanti berjalan lancar ini kerana bukan sesuatu yang senang untuk membuka ladang di kawasan yang berhutan rimba lebih-lebih lagi sudah tentu di kawasan itu juga banyak terdapat penghidupan yang lain seperti ular berbisa mahupun makhluk ghaib yang sudah tentu tidak selesa tempat mereka diganggu oleh manusia. Disinilah Bungan Malan Peselung Luan kan memainkan peranannya untuk memastikan hajat manusia di dunia dapat diteruskan.


2. Upacara Erau kepala


Erau Kepala pula merupakan upacara tradisi yang juga diadakan secara turun temurun dan dilakukan ketika proses penanaman di ladang yang baru sudah pun bermula. Ini juga termasuk apabila hendak memulakan proses menanam padi di huma saban tahun. Di ketika ini seorang ketua adat akan bertindak memimpin upacara dan memberikan persembahan kepada Bungan Malan Peselung Luan serta Bali Utung agar tanam-tanaman nanti akan diberikan hasil yang melimpah ruah serta terhindar daripada serangga perosak.


Sebenarnya upacara Erau Kepala ini adalah ritual yang sama digunakan untuk setiap upacara kayau akan diadakan iaitu perang memenggal kepala etnik Kenyah suatu waktu dahulu. Kedua-duanya bersangkutan kerana kedua-duanya berkaitan dengan menghindarkan diri daripada bala serta beroleh kejayaan.


3. Ukaw Mending


Ukaw Mending pula adalah satu ritual yang diadakan apabila adanya musibah yang melanda sesuatu rumah panjang atau keluarga etnik Kenyah. Di ketika peranan Bungan Malan Peselung Luan adalah dikehendaki kerana ianya adalah roh yang baik. Hanya roh yang baik mampu berlawan dengan roh yang jahat iaitu roh yang telah menyebabkan musibah ini berlaku. Ianya juga turut dipimpin oleh Mengamen Bali yang akan bertindak membaca mantera bagi memohon perlindungan.


Selain daripada upacara-upacara ritual serta beberapa mantera yang khusus dibacakan bagi memanggil roh Bungan Malan Peselung Luan agar memberi perlindungan serta kejayaan serta menghindarkan malapetaka di dalam setiap adat etnik Kenyah, keberadaan Bungan Malan Peselung Luan juga diadakan di dalam tarian-tarian ritual seperti tarian hudoq kita, tarian tekenaq bungan malan serta banyak lagi yang menjadi simbolik kepada tuhan Bungan Malam Peselung Luan sebagai tuhan agama kaharingan etnik Kenyah Borneo.


Inilah beberapa kepercayaan-kepercayaan yang menjadi pegangan nenek moyang yang dikenali dengan agama kaharingan atau pagan. Di dalam artikel ini lebih menjurus kepada kepercayaan etnik Kenyah Borneo mengenai kepercayaan mereka kepada satu roh baik yang bernama Bungan Malan Peselung Luan. Keunikan ritual serta tarian-tarian adat ini sudah semestinya sesuatu yang unik yang hanya ada pada etnik Kenyah itu sendiri.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page