top of page

EKSPEDISI BUKIT SADOK


EKSPEDISI BUKIT SADOK

- Perang Rentap Ke Atas Pemerintahan Brooke Di Sarawak (1844 – 1861)


Setiap kali disebut nama Rentap, penduduk Sarawak masih mengingati semangat penentangannya terhadap kuasa James Brooke yang ketika itu cuba melebarkan empayarnya ke kawasan pendalaman Sarawak pada abad ke-19. Rentap atau nama sebenarnya Libau menjadi Ketua Pahlawan Iban di Skrang dan Saribas. Gelaran Rentap yang bermaksud “ensumbar” di dalam bahasa Iban ataupun membuat dunia bergegar diberikan kepada Libau selepas beliau berjaya memenggal kepala musuh di dalam perang pertamanya.

Kisah penentangan Rentap bermula apabila Rentap berang selepas mengetahui rancangan James Brooke yang mahu merampas tanah penduduk dan mengenakan pelbagai bentuk cukai. Pertempuran pertama Rentap dengan tentera Rajah Brooke berlaku di Skrang pada 19 Ogos 1844 membabitkan satu pertempuran yang menggunakan beribu-ribu perahu di kedua-dua pihak. Rentap berjaya menghalang tentera Rajah Brooke dan 29 warga Inggeris mati dalam pertempuran itu manakala 56 lagi cedera.


Pada 24 Julai 1849, Brooke kembali membawa angkatan lebih besar untuk menyerang Skrang dan Saribas yang seperti biasa dilabelkan sebagai angkatan mengalahkan lanun di sana. Kali ini tiga kapal digunakan iaitu Royalist dan diiringi kapal Nemesis dan Ranee serta 80 kapal perang lain untuk menumpaskan pasukan Rentap bersama pengikutnya Abang Apong dan Linggir Mali Lebu. Rajah Brooke yang turut dibantu kaum Iban bertempur dengan pasukan Rentap di Beting Maru, Bahagian Betong pada petang 31 Julai 1849 yang juga pertempuran angkatan laut terbesar pernah dicatatkan di kalendar sejarah Sarawak.


Rombongan pengikut Rentap yang dalam perjalanan pulang pada petang itu diserang angkatan laut Inggeris menyebabkan 500 pengikut Rentap terbunuh dalam pertempuran selama lima jam. Tiada ketua Iban dari pasukan Rentap terbunuh dan ramai melarikan diri ke dalam hutan serta memaksa mereka berundur jauh ke bahagian hulu Sungai Saribas atau Sungai Skrang.


Rentap dan pengikutnya kemudian membina kubu di Tabat, di kaki Gunung Sadok menghadap Sungai Lang dan Brooke pula pada akhir 1849 atau awal 1850 menghantar Arthur Crookshank membina Fort James di Lingga yang menjadi persimpangan Sungai Skrang dan Sungai Lupar. Pembinaan kubu Rajah Brooke itu tidak disenangi penduduk Skrang kerana menghalang laluan mereka ke bahagian bawah Sungai Lupar dan ke Laut China Selatan. Sebenarnya pembinaan Fort James di Lingga adalah semata-mata bertujuan menghalang kerjasama Rentap dengan sekutu rapatnya Linggir dan Aji di persisir pantai.


Pada tahun 1852, Brooke membina satu lagi kubu di Lingga untuk menghalang Rentap dari mengganggu pengikutnya sekitar bahagian hilir Sungai Lupar sehingga menaikkan kemarahan yang membuak-buak Rentap dan akhirnya beliau mengambil keputusan untuk menyerang dan menewaskan Kerajaan Rajah Brooke di Lingga. Brooke kemudian menghantar pesanan kepada Rentap di ulu Sungai Skrang , mengajaknya keluar dan berjumpanya di Fort James untuk mengadakan rundingan damai, namun Rentap enggan.

Setahun kemudian, pengikut Brooke diserang hendap di Lintang Batang, tiga kilometer dari Nanga Skrang dan pengikut Rentap berjaya menenggelamkan bot tentera Rajah Brooke dan membunuh seorang pegawai Inggeris, Alan Lee yang bertanggungjawab mengukuhkan pasukan Brooke di Lingga. Pasukan Rentap kemudian berundur sebelum pasukan Brooke menyusun kedudukan bagi melancarkan serangan balas dan kejayaan ini telah menjadikannya wira bagi kaum Dayak di Sarawak.


Bagi menghalang orang lain membantu Rentap dan menjadikannya lebih kuat, sekumpulan askar dihantar Brooke ke merata tempat untuk menahan mereka disyaki membantu pahlawan Iban itu. Pada Ogos 1845, tentera Brooke berjumlah 7,000 mara selama dua hari untuk menyerang kubu Rentap di Sungai Lang, Skrang dengan menggunakan senjata api manakala pasukan Rentap menyerang balas menggunakan meriam.


Pada sebelah petang, wanita dan kanak-kanak kelihatan meninggalkan kubu Rentap melalui belakang bukit diikuti pahlawan Iban yang lengkap berpakaian perang mengundurkan diri dari kota itu menuju Bukit Sadok dengan membawa Rentap yang tercedera. Brooke bagaimanapun tidak meneruskan serangan ke Bukit Sadok, ini membolehkan Rentap menguatkan kedudukannya di puncak Gunung Sadok dengan membina kubu atau Kuta Rentap dan kecerunan curam menjadikan kubu itu hampir mustahil dihampiri musuh.


Beliau kemudian menggelar dirinya seorang pemerintah dengan gelaran Rajah Ulu atau Raja Ul dan menjadikan Bukit Sadok pusat kepada semua penduduk tempatan yang menentang pemerintahan Rajah Brooke. Berikutan kedudukan Rentap bertambah kuat, Brooke melancarkan ekspedisi bagi memusnahkan kekuasaannya.


Rajah Brooke telah menghantar 3 ekspedisi penting di dalam perang dengan Rentap iaitu pada 7 Jun 1857, Ekspedisi Sadok Pertama dilancarkan Rajah Brooke bertujuan memusnahkan semua kawasan pertanian sekitar Bukit Sadok untuk memutuskan bekalan makanan pengikut Rentap. Pasukan Brooke berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Sadok yang sama tinggi dengan kubu Rentap di puncak Bukit Sadok untuk melihat dan melancarkan serangan ke kedudukan musuh.


Dengan kekuatan 4,000 askar, Brooke tidak dapat menawan Kuta Rentap kerana dibina menggunakan kayu belian keras yang tidak dapat ditembusi peluru dan angkatan Rentap juga mempunyai senapang, meriam dan pistol kuno yang dirampas ketika menyerang Allan Lee, di Lintang Batang pada 1853 itu turut digunakan. Pasukan Brooke ditimpa hujan lebat selama lapan hari di puncak Gunung Sadok dan akhirnya memutuskan berundur dalam ekspedisi yang gagal sepenuhnya.


Ekspedisi Kedua pula bermula pada Ogos 1858. Ekspedisi kedua dilancarkan adalah untuk menghapuskan kuasa Rentap dengan membawa senjata " Six-Pounder gun" yang mampu menembak lima puluh peluru ke Kuta Rentap. Ekspedisi kali ini turut gagal kerana senjata itu tidak mampu menembusi dinding Kuta Rentap yang kukuh dan Brooke terpaksa segera berundur selepas dibalas dengan serangan bertubi-tubi menggunakan sumpit beracun, lontaran batu dan tembakan senjata api.


Pada September 1861, Brooke melancarkan Ekspedisi Ketiga Sadok yang lebih besar dengan menggunakan tenaga buruh untuk membuat jalan di hutan, sepasukan askar Negro yang terlatih dalam pertempuran jarak dekat serta senjata penembak roket, Six-Pounder Gun dan meriam yang digelar " Bujang Sadok". Selepas sampai di puncak Gunung Sadok, keesokan paginya, serangan dilancarkan ke Kuta Rentap dan berlaku berbalas serangan menggunakan meriam antara Bujang Sadok dengan Bujang Timpang Berang yang dimiliki Rentap.Malangnya, salah seorang pengendali meriam Rentap terkena tembakan dari Bujang Sadok dan darahnya membasahkan serbuk letupan menyebabkan Bujang Timpang Berang tidak berfungsi dan kelebihan Bujang Sadok digunakan untuk memusnahkan dinding keras Kuta Rentap.


Selepas melancarkan serangan bertali arus pada ekspedisi terakhir Brooke berjaya menawan dan membakar Kuta Rentap pada 28 Oktober 1861, Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Lanjak, Skrang sehingga Entabai, Kanowit dan Julau. Rentap yang enggan menyerah kalah, meninggal dunia akibat sakit tua di Bukit Sibau, sekitar 1870.


Inilah sejarah perang Rentap ke atas pemerintahan Brooke di Sarawak yang sememangnya tidak begitu diketengahkan bagi pengetahuan kita generasi Bangsa Sarawak sekalian. Rentap tidak pernah beralah dengan Brooke walaupun dijanjikan dengan pelbagai pengampunan daripada pemerintahan Brooke sehingga beliau meninggal dunia.


Agi Idup Agi Ngelaban.


bottom of page