top of page

SIR CHARLES VYNER BROOKE (1874-1963)


SIR CHARLES VYNER BROOKE (1874-1963)


Zaman remaja Rajah Charles Vyner Brooke dibesarkan di Astana, Kuching dan dibesarkan dengan penuh kesederhanaan memandangkan ayahandanya Rajah Charles Brooke, Rajah Kedua Sarawak Kingdom mengamalkan pentadbiran yang berjimat cermat dan semasa pemerintahan Rajah Charles Brooke, segala eksplorasi minyak serta sumbangan komoditi yang lain telah menyebabkan Sarawak pada ketika itu kaya raya dengan limpahan hasil yang banyak.


Walau bagaimanapun Rajah Charles Brooke mempunyai satu prinsip iaitu Keluarga Brooke tidak akan menggunakan penubuhan Sarawak Kingdom sebagai suatu asas untuk Keluarga Brooke menjadi keluarga bangsa Eropah yang kaya raya kerana apa sahaja yang dimiliki oleh Sarawak Kingdom adalah hak rakyat Sarawak pada ketika itu. Namun malang sekali prinsip dan amanat yang diperturunkan ini tidak menjadi panduan kepada Rajah Ketiga, Rajah Charles Vyner Brooke.


Semasa Rajah Charles Vyner Brooke diangkat menjadi Rajah Ketiga Sarawak, beliau telah mewarisi sebuah Negara kecil di Borneo yang kaya raya hasil kepimpinan ayahandanya Rajah Charles Brooke. Beliau berkahwin dengan Sylvia Brett yang kemudian menjadi Ranee Sylvia, Ranee Sarawak Kingdom. Diceritakan bahawa Rajah Charles Vyner Brooke adalah seorang yang mudah mesra dan senang didekati terutama sekali oleh wanita-wanita.


Rajah Charles Vyner Brooke dikhabarkan sebagai seorang rajah yang gemar untuk menghadiri parti-parti golongan aristokrat bangsa Eropah yang tinggal di Sarawak. Apatah lagi permaisurinya iaitu Ranee Sylvia juga dikhabarkan seorang yang gemar bersosial tidak seperti ibu mentuanya Ranee Margaret yang lebih sukakan kerja-kerja menaiktaraf penghidupan rakyat peribumi Sarawak. Suatu sifat yang bertentangan sama sekali.


Dek kerana sifat bersosial pasangan pemerintah Negara Sarawak ini, Rajah Charles Vyner Brooke telah berbelanja besar dengan membina pawagam yang dinamakan bersempena dengan namanya khusus untuk golongan aristokrat Eropah menganjurkan tarian dan berteater di Kuching. Beliau juga telah membelanjakan wang perbendaharaan Sarawak Kingdom untuk mengubahsuai Astana daripada sebuah bangunan yang biasa menjadi sebuah rumah agam mewah. Ranee Sylvia juga telah menggunakan kuasa beliau untuk menjadikan warna kuning sebagai warna ekslusif Rajah dan keluarganya. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana permaisuri sebelum ini.


Di zaman pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke inilah digambarkan sebagai zaman kegemilangan kehidupan bersosial ala barat di Sarawak Kingdom. Dikatakan penduduk tempatan Sarawak juga digalakkan untuk memasuki kelab-kelab sosial masyarakat Eropah di Sarawak agar mereka boleh berfikiran lebih jauh seperti masyarakat Eropah yang lain. Sesuatu yang bertentangan dengan pemerintahan Rajah Charles Brooke, ayahandanya yang lebih suka masyarakat Eropah berintegrasi dengan penduduk Sarawak seperti menggalakkan pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan Sarawak Kingdom mengahwini penduduk tempatan agar lebih memahami sosio budaya masyarakat tempatan. Dikhabarkan bahawa beberapa bulan sebelum penjajahan Jepun di Sarawak, tabung perbendaharaan Sarawak Kingdom juga berkurangan.


Rajah Charles Vyner Brooke kembali ke Sarawak Kingdom selepas Jepun menyerah kalah dan sudah mula bosan untuk menjadi pemerintah Sarawak. Beliau merancang untuk meraikan 100 tahun pemerintahan Brooke dengan melupuskan kuasa mutlaknya sebagai Rajah Sarawak Kingdom dan menyerahkan Sarawak kepada kerajaan Koloni British. Perkhabaran ini sesungguhnya sesuatu yang tidak diterima oleh majoriti rakyat Sarawak maka bermulalah semangat Anti Cession (Anti-Penyerahan).


Walau bagaimanapun, penentangan ini tidak berjaya dan akhirnya Sarawak Kingdom dengan rasminya menjadi jajahan Koloni British pada 1 Julai 1945. Sebagai imbalan ke atas penyerahan Sarawak itu, Rajah Charles Vyner Brooke menerima 1 juta pound sterling daripada Koloni British. Sekali lagi Rajah Charles Vyner Brooke telah mengingkari amanat daripada rajah-rajah yang terdahulu.


Rajah Charles Vyner Brooke melalui hasil perkahwinannya dengan Ranee Sylvia hanya dikurniakan dengan 3 orang anak perempuan. Di dalam Perlembagaan Sarawak Kingdom seperti yang sudah dicatatkan oleh rajah yang terawal mengatakan setiap pemerintah Sarawak mestilah seorang lelaki. Dek kerana inilah Ranee Sylvia beberapa kali mencuba untuk meminda perlembagaan tersebut tetapi kerana adanya sistem perundangan Sarawak memerlukan wakil-wakil masyarakat peribumi Sarawak juga memainkan keputusan maka usaha Ranee Sylvia tidak pernah berhasil.


Akhirnya selepas tiada lagi menjadi Rajah di Sarawak Kingdom, Charles Vyner Brooke dan Sylvia telah bercerai dan hidup mengikut haluan masing-masing. Sir Charles Vyner Brooke tinggal di London dan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1963. Lady Sylvia Brett pula meneruskan kehidupannya sebagai seorang berdarah raja dengan melancong ke Amerika sehingga pernah untuk menjadi seorang pelakon di Hollywood tetapi filemnya tidak pernah ditayangkan. Beliau meninggal dunia pada tahun 1971 di Barbados.


Inilah sekelumit sejarah Rajah Terakhir bagi Negara Sarawak iaitu Rajah Charles Vyner Brooke. Tindakan beliau telah menyebabkan Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British. Tindakan beliau juga telah menidakkan pewaris Rajah Brooke ke-4 iaitu Anthony Brooke diharamkan untuk kembali ke Sarawak kerana Koloni British amat bimbang bahawa kepulangan beliau akan membawa padah yang lebih besar kepada Sarawak sebagai jajahan Koloni British.


bottom of page