BUAH CERMEI @ CERMAI
BUAH CERMEI @ CERMAI
Bagi masyarakat Melayu Sarawak memanggilnya buah cermei atau cermai manakala untuk sesetengah masyarakat Melanau Sarawak pula menggelarnya buah seramai. Walau apa jua nama yang diberi namun buah cermei ini merupakan satu buah yang agak istimewa dan hanya dengan melihat gambarnya sahaja sudah tentu bagi sesiapa yang pernah memakan akan segera “kecor” air liur. Itulah penangan satu jenis buah yang rasanya masam-masam ini dan merupakan buah-buahan seribu guna di Sarawak.
Buah cermei ini datangnya dari satu pokok yang dinamakan pokok cermai. Dengan nama saintifiknya Phyllanthus Acidus merupakan satu-satunya spesis pokok dari keluarga Phyllathaceae yang boleh dimakan oleh manusia mahupun binatang. Pokok cermei ini hidup tumbuh di tanah pamah di Asia Tenggara malah ianya juga boleh didapati di Kepulauan Carribean dan juga tumbuh di Amerika Syarikat iaitu untuk lebih mengkhusus di Florida, USA.
Di Asia Tenggara, pokok cermei ini yang mengeluarkan produksi buahnya sepanjang tahun namun di Kepulauan Carribean dan juga Florida mempunyai musim-musimnya yang tertentu. Dikatakan di Kepulauan Carribean ianya berbunga antara Januari sehingga Mei manakala di Florida, USA pula antara bulan Februari sehingga April. Buah cermei akan mencapai tempoh matang apabila ianya berusia 90-100 hari. Dan pokok cermei akan menghasilkan produksi yang banyak apabila ianya berusia lebih daripada 4 tahun.
Di dalam komuniti masyarakat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama, buah cermei ini adalah antara menu hidangan yang dimakan bersama keluarga. Jika di bumi Semenanjung Malaysia, buah cermei terkenal untuk dijadikan jeruk atau manisan tetapi di Sarawak, buah cermei ini menjadi penghias resipi makan. Buah cermei juga salah satu jenis ulam-ulaman dengan dimakan bersama sambal belacan, kerabu buah cermei, sambal tutok buah cermei dan banyak lagi. Kerana adanya rasa masam-masam buah cermei ini juga dijadikan penambah perasa di dalam hidangan ikan pindang dan banyak lagi yang mana kegunaannya juga seperti kita menggunakan belimbing tunjuk ataupun asam keping.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pokok cermei ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat daripada daunnya sehinggalah ke buahnya. Daun-daun pokok cermei ini kaya dengan air, karbohidrat, saponin, flavonoida, tanin, polifenol, protein, lemak dan serat. Hanya dengan memakan pucuk cermei itu sahaja sudah mampu merawat alahan kulit, penawar racun, gigitan serangga biasa, tekanan darah tinggi dan kanser.
Buah cermei pula kaya dengan sumber serat, mineral dan vitamin C. Dan sekiranya dimakan ia mampu mengubati masalah sembelit dan buasir, mengatasi asma kronik, mengurangkan masalah obesiti, memberikan kekuatan imunisasi pada sistem ketahanan badan dan juga mencantikkan kulit daripada kasar menjadi halus. Jjangan pandang sebelah mata apabila kita melihat peniaga-peniaga yang menjual buah cermei di pasar-pasar tamu kerana buah ini mempunyai pelbagai khasiat serta seribu kegunaannya di dalam masakan.
#KamekSayangSarawakBah!