top of page

DATUK TEMENGGONG KANANG ANAK LANGKAU


DATUK TEMENGGONG KANANG ANAK LANGKAU


Agi Idup Agi Ngelaban .. itulah motto yang sinonim dengan beliau iaitu Datuk Temenggung Kanang Anak Langkau. Keberanian beliau sememangnya tiada tara sehingga membuatkan beliau sehingga sekarang tetap menjadi idola kepada setiap rakyat Malaysia amnya, anak Sarawak khususnya.


Anak Iban yang gagah perkasa ini dilahirkan pada 2hb Mac 1945 di Julau, Bahagian Sarikei, Sarawak Bumi Kenyalang. Beliau merupakan anak kelima daripada enam adik-beradik. Setelah kedua ibubapanya berpisah, Kanang telah dibesar oleh kedua datuk dan neneknya sehinggalah beliau dewasa. Alam persekolahan dilaluinya seperti kanak-kanak yang lain dan beliau mendapat pendidikan sehingga Darjah 3 di Sekolah Local Authority.


Selesai persekolahannya, Kanang seperti pemuda Iban yang lain juga telah memasuki alam pekerjaan demi mencari sesuap nasi yang halal untuk keluarganya. Beliau telah melakukan pelbagai kerja daripada menjadi seorang tukang masak, penoreh getah sehingga pernah menjadi seorang “porter” atau mengambil upah mengangkut barangan penumpang dengan menggunakan perahu berenjin di kampungnya.


Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sebenarnya Kanang tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang tentera. Beliau sebenarnya hanya secara kebetulan telah dipelawa oleh seorang anggota tentera British Borneo iaitu pada ketika itu beliau hanya secara suka-suka menemani rakan-rakan Ibannya yang menghadiri temuduga bagi menyertai Iban Trackers di sebuah sekolah di kampungnya.


Pelawaan seorang anggota tentera British Borneo itu menarik perhatian Kanang dan akhirnya beliau diterima masuk menjadi Iban Trackers untuk Sarawak Rangers pada tahun 1962. Setelah itu beliau dihantar untuk menyertai Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor selama 3 bulan bagi memperkemaskan dirinya di dalam soal ketenteraan. Setelah tamat latihan ketenteraan akhirnya beliau diserapkan untuk berkhidmat dengan unit 42nd Royal Marine Commandos yang berpangkalan di Johor. Setelah penubuhan Gagasan Malaysia pada tanggal 16hb September 1963, beliau kemudian diserapkan di Batalion ke-8 Regimen Renjer Diraja Angkatan Tentera Malaysia dengan pangkat Sarjan Mejar.


Ketika di zaman Konfrontasi Indonesia Malaysia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno, Kanang merupakan antara anggota pasukan elit pertama yang dihantar ke Kota Tinggi, Johor bagi menghalang kemasukan Tentera Indonesia yang mendarat di Johor pada masa itu. Beliau dan rakan-rakannya yang lain tanpa ada rasa gentar berhadapan dengan pencerobohan tentera Indonesia sehingga memungkin penceroboh berundur dan ditangkap.


Namun peristiwa berbalas tembakan di zaman darurat menjadi saksi keberanian anak Iban ini. Pada tanggal 8hb Februari 1980, Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer yang diketuai oleh Kapten Johnson Anak Meling dengan dibantu oleh Kanang yang pada ketika itu berpangkat Sarjan telah ditugaskan ke kawasan Tanah Hitam di Perak. Tujuan mereka adalah untuk menjejaki segerombolan komunis yang telah menembak mati seorang anggota tentera dari 25 Rejimen Askar Melayu Diraja beberapa hari sebelumnya.


Setelah menjejaki komunis hampir 11 hari akhirnya Kanang dan platunnya telah berjaya mengenalpasti lokasi musuh pada 19hb Februari 1980. Pada jam 3.00 petang itu, Kanang dan platunnya berhadapan dengan segerombolan komunis dan mereka berbalas tembakan. Walaupun sudah cedera teruk pada ketika itu, semangat Agi Idup Agi Ngelaban pada dirinya tetap membara walaupun hampir kehabisan peluru. Kerana kecekalan beliau bersama-sama dengan platunnya akhirnya mereka berjaya menangkap 5 orang komunis yang tercedera dan 25 orang lagi mati akibat tembakan Kanang dan platunnya.


Pada masa itu juga, Kanang disangkakan sudah meninggal dunia kerana beliau ditembak tiga kali dan tembakan itu mengenai jantung serta merosakkan satu buah pinggangnya selain usus perutnya juga turut terburai. Pihak perubatan tentera mengatakan peluang untuknya hidup adalah amat tipis namun berpantang mati sebelum ajal, Kanang akhirnya berjaya melalui tempoh genting di dalam penghidupannya sebagai seorang anggota tentera apabila 14 bulan selepas itu beliau pulih seperti biasa. Inilah semangat kental yang ada pada anak Iban ini yang amat sukar untuk kita perolehi di zaman sekarang.


Pada tahun 1980, Kanang telah bersara daripada dunia ketenteraan dengan pangkatnya yang terakhir sebagai Pegawai Waran 1. Atas keberanian dan jasanya pada Negara beliau telah dianugerahkan dengan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), Panglima Gagah Berani (PGB), Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) dan Pegawai Bintang Sarawak (PBS). Semangat patriotisma Datuk Kanang tetap membara biarpun beliau sudah bersara daripada dunia ketenteraan. Beliau meninggal dunia pada 3hb Januari 2013 di Hospital Umum Kuching, Sarawak pada usia 67 tahun.


Inilah semangat juang dan kentalnya seorang anak Iban dari Sarawak yang keberaniannya tidak boleh dinafikan sama sekali. Jasa beliau didalam memastikan bumi Malaysia terus berdaulat tiada galang gantinya. Hargailah segala pengorbanan pahlawan-pahlawan Negara kita di dalam memastikan bahawa tanahair tercinta aman seperti sekarang.


bottom of page