top of page

FROM LONG SEMADOH WITH LOVE


FROM LONG SEMADOH WITH LOVE


Long Semadoh, Semado atau Long Semabo itulah satu nama penempatan yang lokasinya terletak di Bahagian Lawas, Sarawak iaitu antara bahagian yang paling utara di dalam peta Sarawak Bumi Kenyalang. Ianya terletak kira-kira 654.6 kilometer dari bahagian timur-utara ibukota Kuching, Sarawak. Long Semadoh ini sebenarnya adalah penempatan bagi masyarakat Lun Bawang Sarawak dan ianya dibentuk oleh 11 penempatan lain iaitu Long Semado Nasab, Long Tanid, Long Kinoman, Punang Terusan, Long Lapukan, Long Beluyu, Long Karabangan, Long Lopeng, Long Merarap dan Long Ugong.


Lokasi Long Semadoh ini yang terletak di kawasan pendalaman Bahagian Lawas menyebabkan perjalanan untuk ke sana adalah sesuatu yang mencabar kerana hanya dengan melalui perjalanan darat yang mencabar. Hanya dengan menggunakan kenderaan 4WD serta perjalanan yang mengharungi jalanraya yang berbatu serta tanah kuning yang juga boleh menyulitkan ketika musim hujan menjadikan ianya sesuatu kawasan pendalaman yang agak jarang-jarang untuk didatangi pelancong-pelancong luar sedangkan hakikatnya Long Semadoh ini mempunyai keunikan serta kecantikannya yang tersendiri baik daripada kekayaan tradisi masyarakat Lun Bawang mahupun tempat-tempat bersejarah mereka.


Keindahan seni tattoo merupakan salah satu tradisi bagi masyarakat Dayak di Borneo yang juga merupakan simbol kegagahan serta warisan budaya yang diwarisi dari zaman berzaman lamanya. Bagi masyarakat Lun Bawang juga tidak terkecuali kerana seni tattoo bagi etnik Lun Bawang di Long Semadoh mempunyai keunikannya yang tersendiri. Seni tattoo seperti apid belikit adalah seni tattoo yang agak berlainan serta unik yang hanya ada di Long Semadoh. Mungkin ramai generasi muda tidak menggemarinya kerana proses rekabentuknya yang sudah tentu amat menyakitkan. Namun begitu seni tattoo apid belikit inilah warisan budaya Lun Bawang yang wajar dilestarikan buat tatapan seluruh bangsa Sarawak sekalian.


Selain daripada itu di Long Semadoh juga banyak terdapat tarikan pelancongan yang wajar untuk diangkat sebagai salah satu produk pelancongan bagi Sarawak Bumi Kenyalang. Dengan iklim Long Semadoh yang sekitar 20 – 30 darjah Celcius pada siang hari dan boleh mencecah sehingga 15 darjah Celcius pada waktu malam juga memberikan ianya satu kawasan yang nyaman dan udara segar jauh daripada kesibukan kota. Tempat-tempat bersejarah mereka seperti Batu Narit yang terletak di Long Puneng Trusan, air terjun Pa’Rebatuh serta kesan tapak peninggalan Temuing iaitu salah satu daripada legenda bagi masyarakat Lun Bawang juga sudah boleh dijadikan tarikan pelancongan bagi menjana ekonomi setempat.


Keramahan masyarakat Lun Bawang di Long Semadoh yang terkenal dengan pengekalan warisan budaya mereka juga adalah salah satu daripada produk pelancongan yang wajar dilestarikan dengan lebih drastic lagi. Tiada masalah sebenarnya jika ada yang berkeinginan untuk menjadikan Long Semadoh sebagai destinasi pelancongan kerana disini sudah ada industri enap desa yang siaga menunggu ketibaan pelancongan. Sudah tentu melancong ke Long Semadoh akan menjanjikan seribu pengalaman yang indah.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page