KERAJAAN SELIMBAU DARUSSALAM, KALIMANTAN BARAT, BORNEO
KERAJAAN SELIMBAU DARUSSALAM, KALIMANTAN BARAT, BORNEO
- Pendiri Asalnya Suku Dayak Embaloh
Lokasi kerajaan kuno yang disebutkan ini adalah sekarang lebih dikenali sebagai Kecamatan Selimbau di Kabupaten Kapuas Hulu, Kalimantan Barat, Republik Indonesia. Sehingga sekarang kecamatan Selimbau ini adalah pemain ekonomi tempatan di Kabupaten Kapuas Hulu iaitu disinilah pembekal utama ikan-ikan air tawar untuk sumber protein bagi seluruh Kalimantan dari dahulu sehingga sekarang.
Kerajaan Selimbau Darussalam, itulah nama kerajaan yang lokasinya terletak di wilayah Selimbau suatu waktu dahulu. Namun begitu berapa ramai yang mengetahui bahawa sebenarnya Kerajaan Selimbau Darussalam yang gah suatu waktu dahulu di bumi Borneo sehingga ada sejarahwan yang memperkatakan bahawa jajahan taklukan bagi kerajaan ini adalah hampir 30% bumi Kalimantan Barat suatu waktu dahulu. Melihat kepada keluasan jajahan takluk kerajaan ini sudah cukup membuktikan bahawa ianya bukanlah satu kerajaan kecil sebaliknya hampir gah dan kuat seperti kerajaan kuno lain seperti Kerajaann Mempawah, Kerajaan Sanggau dan banyak lagi.
Sebenarnya jika kita menyingkap berdirinya kerajaan Islam ini suatu waktu dahulu adalah sebenarnya satu kerajaan dayak hindu yang bergelar Kerajaan Pelembang. Jangan terkeliru dengan Kerajaan Palembang di bumi Sumatera sebaliknya Kerajaan Pelembang yang disebut ini adalah pendirinya merupakan seorang anak bangsawan atau digelar “Samagat” di dalam stratifikasi social Dayak Embaloh yang bernama Seri Paduka Maharaja Abang Bhindu yang apabila menjadi raja bergelar Guntur Baju Bindu Kilat Lambai Lalu.
Guntur Baju Bindu Kilat Lambai Lalu inilah pendiri Kerajaan Pelembang yang menjadi asas kepada kesinambungan Kerajaan Selimbau Darussalam dan mengikut sejarahwan dikatakan Kerajaan Pelembang ini didirikan pada awal 600 Masihi di bumi Borneo dengan corak pemerintahannya adalah berdasarkan kepada pemerintahan Hindu.
Kerajaan Pelembang (600 Masihi – 1640 Masihi)
Berdasarkan kepada catatan yang dibuat oleh Donal P. Tick seorang sejarahwan dari Vlaardingen, Belanda mengatakan bahawa Kerajaan Selimbau Darussalam sebenarnya bermula daripada sebuah kerajaan kecil yang bernama Kerajaan Pelembang iaitu lokasinya terletak kira-kira 2 km dari Kecamatan Selimbau sekarang.
Pengasas kepada Kerajaan Pelembang ini adalah seorang anak Dayak Embaloh yang bernama Abang Bhindu yang kemudiannya menggelar dirinya Guntur Baju Bindu Kulit Lambai Lalu. Kerajaan Pelembang ini didirikan sekitar 600 Masihi dengan corak pemerintahannya adalah berdasarkan kepada pemerintahan Hindu. Isteri kepada Abang Bhindu ini bernama Dayang Haji Melayu dan bergelar Putri Sri Batara apabila dinobatkan sebagai permaisuri Kerajaan Pelembang.
Hasil perkahwinan mereka ini dikurniakan dengan seorang putera tunggal yang bernama Abang Aji Lidi. Dari salsilah putera tunggal ini iaitu Raja Abang Lidi yang naik takhta pada 650 Masihi dan bergelar Kyai Aji Lidi inilah yang menurunkan legasi pemerintah raja-raja di Kerajaan Pelembang.
Pada ketika dinamakan Kerajaan Pelembang ini atau sekarang dikenali dengan nama Temawang Ala’ di Kapuas terdapat 19 raja-raja yang memerintah dengan pengaruh Hindu. Raja-raja ini adalah:
Seri Paduka Maharaja Abang Bhindu bergelar Guntur Baju Bindu Kilat Lambai (600M)
Raja Abang Lidi bergelar Kyai Aji Lidi (650M)
Raja Abang Tedung 1 bergelar Kyai Tedung (650M - 710M)
Raja Abang Jamal Megah Sari bergelar Kyai Megat Sari (710M - 780M)
Raja Abang Upak bergelar Kyai Pati Agung Nata (780M - -850M)
Raja Abang Bujang bergelar Kyai Natasari (850M - 920M)
Raja Abang Amal (920M - 980M)
Raja Abang Tela bergelar Kyai Agung Jaya (980M - 1040M)
Raja Abang Para bergelar Kyai Ira atau Kyai Wira (1040M - 1100M)
Raja Abang Gunung bergelar Kyai Agung (1100M - 1150M)
Raja Abang Tedung II bergelar Kyai Suryanata (1150M - 1200M)
Raja Abang Idin bergelar Kyai Agung Seri (1200M - 1250M)
Raja Abang Tajak bergelar Kyai Suradila Sri Pakunegara (1250M - 1280M)
Ratu Dayang Payung bergelar Ratu Suryanegara (1280M - 1300M)
Raja Abang Kina bergelar Kyai Agung Natanegara (1300M - 1380M)
Raja Abang Keladi bergelar Kyai Agung Cakra Negara (1380M - 1435M)
Raja Abang Sasap bergelar Kyai Agung Kusuma Negara (1435M - 1490M)
Raja Abang Tela II bergelar Kyai Pati Setia Negara (1490M - 1590M)
Pangeran Kujan bergelar Pangeran Jaya Mangkunegara (1590M - 1640M)
Kerajaan Selimbau Darussalam (1640 Masihi – 1925 Masihi)
Sekitar tahun 1640 Masihi, Kerajaan Pelembang telah dipindahkan oleh pemerintahnya yang baru yang bernama Pangeran Muhammad Jalaludin dan naik takhta dengan nama Pangeran Suta Kusuma ke satu kawasan yang bernama Sungai Terus. Pada ketika inilah nama Kerajaan Pelembang itu turut ditukar kepada nama Kerajaan Selimbau Darussalam kerana pada ketika itu Pangeran Muhammad Jalaludin telahpun memeluk Islam dan menjadikan Islam sebagai asas pemerintahannya.
Kerana adanya pengaruh Islam di dalam pemerintahannya maka nama kerajaan juga turut ditukar. Selimbau menurut kefahaman sejarahwan mengatakan diambil bersempena dengan perkataan Arab iaitu “Salim” yang bermakna “Selamat”. Manakalah perkataan “Nabau” pula diambil daripada perkataan Dayak Iban yang iaitu merujuk kepada legenda ular besar yang sering diperkatakan di dalam masyarakat Dayak Borneo. Dan dikatakan setelah pertukaran nama inilah Kerajaan Selimbau Darussalam telah gah di Borneo dengan menjalinkan banyak hubungan antarabangsa dengan kerajaan Islam yang lebih dahulu bertapak di bumi Borneo seperti Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam, Kerajaan Kesultanan Sambas Darussalam dan banyak lagi.
Sekitar tahun 1775 Masihi, kerana berkembangnya pengaruh Islam di Kerajaan Selimbau Darussalam maka didirikan sebuah masjid yang menjadi mercu tanda perkembangan Islam di bumi Selimbau. Masjid ini dinamakan Masjid Limas yang menggunakan senibina Islam sepenuhnya. Ketika pengaruh Kolonial Belanda sudah mula meresapi beberapa pemerintahan kerajaan-kerajaan islam di bumi Borneo pada 15hb November 1823, Koloni Belanda telah mengakui kekuasaan Kerajaan Selimbau Darussalam sebagai penguasa tanah Kapuas Hulu. Dek kerana hal inilah yang tidak menyenangkan hati beberapa kerajaan Islam yang lain seperti Kerajaan Sintang yang tidak mengakui pengaruh Koloni Belanda telah menyerang Kerajaan Selimbau Darussalam pada tahun 1828.
Perang Kerajaan Sintang ke atas Kerajaan Selimbau pada tahun 1828 diceritakan satu perang yang dasyat dan besar namun begitu ianya tidak memberikan kemusnahan besar kepada Kerajaan Selimbau Darussalam dan kesemuanya disebabkan oleh suku Dayak Embaloh yang masih lagi menjadi rakyat yang setia kepada kerajaan ini walaupun ada antara mereka masih lagi mengamalkan agama kaharingan telah bersatu padu mendokong kekuasaan Kerajaan Selimbau di bumi Kapuas Hulu.
Siapa tidak kenal sehingga sekarang suku Dayak Embaloh merupakan suku dayak yang sejak dari dulu lagi terkenal dengan sistem pertahanannya yang kompleks iaitu dari pembuatan benteng buluh yang runcing serta merekalah antara suku dayak yang terkenal dengan pembuatan senjata di dalam peperangan sejak dahulu lagi. Inilah kekuatan sebenar Kerajaan Selimbau sehingga memungkinkan sahabat setia mereka dari dahulu iaitu suku Dayak Iban seperti Embu, Bantu, Undup dan Kantu juga memerangi Kerajaan Sintang di dalam serang balas sehingga Kerajaan Sintang kehilangan wilayah jajahannya.
Sekitar 27hb Mac 1855, sekali lagi Koloni Belanda mengakui kedaulatan Kerajaan Selimbau Darussalam dengan menandatangani kontrak kerja dengan Panembahan Haji Gusti Muhammad Abbas Suryanegara. Pada tahun 1862 pula didirikan Masjid Jami’ di Selimbau yang mengambil bentuk senibina Masjid Demak. Dan pada tanggal 28hb Februari 1882 Masihi, raja baru Kerajaan Selimbau Darussalam iaitu Panembahan Haji Muda Agung Pakunegara Selimbau mendapat pengakuan kedaulatan sebagai Raja Selimbau yang ke 23 dari Koloni Belanda di Batavia. Di ketika inilah Kerajaan Selimbau Darussalam terus berkembang sebagai sebuah kerajaan Islam di bumi Borneo dengan berdirinya bangunan-bangunan yang cantik dan indah seperti Istana Agung Nur Mahkota, Balai Sidang, Paseban Agung Keputren, Pesanggarahan Balai Perangin di Mungguk Batu, Panggung Bangsawan dan Kompleks Makam Kubah Bercungkup Tiga Buah.
Pada zaman pemerintahan Panembahan Haji Muda Agung Pakunegara ini jugalah giatnya aktiviti sastera serta menyalin segala kitab-kitab dari Negeri Siak Indrapura yang didokongi oleh seorang penyair terkenal Selimbau yang juga bertindak sebagai Menteri Sastera iaitu Hatib Sri Kusumu. Hatib Sri Kusuma inilah yang mengarang Syair-syair Emas Salsilah Raja-raja Negeri Selimbau 23 Keturunan yang menjadi salah satu manuskrip sejarah kuno untuk memperkatakan kewujudan Kerajaan Selimbau Darussalam di bumi Borneo suatu waktu dahulu.
Setelah mangkatnya Panembahan Haji Agung Pakunegara, diangkat pula Pengeran Haji Muda Indra Sri Negara Muhammad Yunus sebagai raja namun pemerintahannya tidak lama kerana terkorban dimakan sewaktu diserang buaya ketika mengambil wuduk di Paseban Agung. Menurut cerita legendanya Pangeran Haji Muda Indra Sri Negara Muhammad Yunus menjadi mangsa seekor buaya jadi-jadian yang panjangnya sekitar 12 meter.
Ketika Panembahan Haji Gusti Muhammad Usman mengambilalih tampok pimpinan Kerajaan Selimbau Darussalam telah ada bait-bait perpecahan di dalam kerajaan Selimbau kerana rakyat Selimbau sendiri telah bangun memberontak ke atas cukai-cukai tinggi yang dikenakan oleh Koloni Belanda. Dan seterusnya Kerajaan Selimbau Darussalam terus terpadam apabila rajanya yang terakhir Panembahan Haji Gusti Muhammad Usman mangkat tanpa meninggalkan waris dan Kerajaan Selimbau Darussalam terus dikancah peperangan saudara sehingga memungkinkan ianya tiada lagi selepas itu.
Berikut merupakan salsilah raja-raja bagi Kerajaan Selimbau Darussalam (1640 Masihi – 1925 Masihi):
Pangeran Muhammad Jalaludin bergelar Pangeran Suta Kasuma (1640M – 1680M)
Abang Muhammad Mahidin bergelar Raden Suta Negara (1680M – 1730M)
Panembahan Haji Gusti Muhammad Abbas Suryanegara (1730M – 1800M)
Panembahan Haji Muda Agung Pakunegara Gusti Muhammad Saleh (1800M – 1840M)
Pangeran Haji Muda Indra Sri Negara (1840M – 1880M)
Panembahan Gusti Muhammad Usman (1880M – 1925M)
Inilah satu sejarah panjang sebuah kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Borneo dan ianya didirikan oleh seorang anak Dayak Embaloh dan kerajaan kuno ini digelar Kerajaan Pelembang di bawah pengaruh Hindu pada awal kewujudannya sebelum akhirnya digelar Kerajaan Selimbau Darussalam apabila pemerintahannya mendapat pengaruh Islam.
#KamekSayangSarawakBah!