PERAYAAN IRAU ACO
PERAYAAN IRAU ACO
Sambutan perayaan masyarakat Dayak, Sarawak terutama sekali Pesta Gawai mungkin agak terkenal di kalangan rakyat di Malaysia. Ianya merupakan perayaan besar yang diadakan setiap awal Jun saban tahun. Namun begitu mungkin ramai juga yang tidak mengetahui bahawa terdapat satu perayaan yang agak unik di Sarawak yang hanya diadakan di Daerah Lawas yang terletak nun jauh di utara Sarawak yang dikenali sebagai Perayaan Irau Aco. Tarikh perayaan ini disambut juga sama dengan tarikh perayaan Gawai Dayak disambut.
Perayaan Irau Aco merupakan perayaan tradisi bagi masyarakat Lunbawang, Tagal dan saban tahun akan dirayakan dengan penuh gilang-gemilang di Lawas, Sarawak. Perayaan ini kebiasaannya akan diadakan selama 3 hari berturut-turut bermula pada awal Jun. Apa yang menjadikan Perayaan Irau Aco ini agak unik berbanding perayaan-perayaan yang diadakan oleh etnik-etnik pribumi di Sarawak adalah adanya satu upacara yang telah diwarisi berzaman lamanya iaitu batu loncatan tradisional suku kaum Tagal yang dikenali sebagai “Papan”.
Mengikut sejarahnya, “Papan” sebenarnya adalah batu loncatan yang diperbuat daripada jenis kayu yang terpilih. Ianya adalah satu tempat di mana etnik Tagal akan berkumpul pada setiap kali aktiviti-aktiviti ritual atau upacara khas yang lain diadakan contohnya ketika majlis perkahwinan dilangsungkan. Setiap kali upacara “Papan” dilangsungkan akan ada 30 hingga 40 orang akan menari dan melompat-lompat di atas “Papan” tersebut. Kemuncak bagi perayaan Irau Aco juga adalah dengan adanya aktiviti “Papan” ini yang ternyata akan memberikan keseronokan kepada setiap yang mereka yang menyertainya.
Selain daripada upacara “Papan”, perayaan Irau Aco ini tidak akan meriah sekiranya tidak dipamerkan dengan hasil kraftangan masyarakat pribumi etnik Tagal malah ketika perayaan inilah masyarakat Tagal akan mendendangkan beberapa bait-bait puisi dan lagu yang diwariskan zaman berzaman dengan alunan daripada alat musik yang diperbuat daripada buluh yang menjadi sumber warisan dan budaya masyarakat Tagal, Sarawak. Inilah antara keunikan Perayaan Irau Aco yang dirayakan oleh masyarakat Tagal, Sarawak yang ternyata begitu unik dan wajar diketengahkan sebagai antara warisan dan perayaan yang mampu memeriahkan industri pelancongan di Sarawak amnya dan Lawas khasnya.
Sesungguhnya, Sarawak Bumi Kenyalang yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya sememangnya mempunyai banyak potensi untuk dinaikkan sebagai hub pelancongan lebih-lebih lagi banyak perayaan yang dirayakan adalah begitu unik dan tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia..
Lan Berambeh Ke Sarawak!