top of page

“PADIAN” DAN KAMPUNG AYER DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


“PADIAN” DAN KAMPUNG AYER DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


"that city is entirely built in salt water, except the houses of the king and certain chiefs. It contains twenty-five thousand hearths. The houses are all constructed of wood and built up from the ground on tall pillars. When the tide is high women go in boats through the settlement selling articles necessary to maintain life".- Antonio Pigafetta, 1521 AD.


Itulah salah satu ayat yang ditulis oleh Antonio Pigafetta seorang pengembara bangsa Eropah yang tersohor namanya di dalam dunia pelayaran di dalam memperkatakan tentang Kampung Ayer dan “Padian” di Negara Brunei Darussalam, Borneo.


Padian itulah jolokan nama yang merujuk kepada kaum wanita di Brunei yang membuat perniagaan secara kecil-kecilan dengan berkayuh menggunakan perahu kecil yang dipanggil gubang atau bidar. Penjaja dari kaum wanita ini akan berkayuh dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain bagi menjual barangan keperluan harian seperti beras, minyak, garam, sayur-sayuran, buah-buahan dan kuih-muih kepada mereka yang tinggal di Kampung Ayer. Menurut sejarahnya, aktiviti “Padian” ini telah pun wujud lebih kurang 500 tahun dahulu iaitu sejak pemerintahan Awang Alak Betatar iaitu pemerintah Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam yang pertama. Awang Alak Betatar yang memeluk Islam telah menggelar dirinya sebagai Sultan Muhammad Shah.


Sejarah Padian dan Kampung Ayer umpama aur dengan tebing dan terlebih dahulu sebagai pembuka bicara adalah molek untuk kita cuba mengenali juga sejarah Kampung Ayer yang sememangnya begitu dekat dengan sejarah Bangsa Brunei itu sendiri. Di Kampung Ayer inilah sejarah Padian itu bermula kerana umum mengetahui bahawa perkampungan di Kampung Ayer didirikan di atas air di tepian Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.


Jika dirujuk kepada sumber sebuah manuskrips purba yang menjadi sumber dokumen berharga di dalam memperkatakan tentang sejarah Brunei iaitu Syair Awang Semaun ada menceritakan tentang Kampung Ayer sebagai salah satu tempat bermukimnya pemerintahan lama Kerajaan Brunei suatu waktu dahulu. Bait-bait syair itu adalah seperti berikut:


"Awang Alak bersabda ke Damang Sari.. Serta Pateh kanan dan kiri Jikalau suka adinda bistari Ke dalam Brunei kita bernegeri. Bisainya tiada lagi terperi Bukit mendinding yang kanan kiri Tiadalah payah tempat mencari Di bawah tangga duai tenggiri. Bisainya itu tiada berbanding Di darat rumah bukit menyinding Beratur rumah seberang tebing Tiadalah jauh mengambil aying Mengambil ayer pun kanak-kanak Bukanya ayer di dalam semak Tiada terkena angin dan ombak Ayernya hampir dapat berlumak."


Menurut sejarahnya pembukaan Kampung Ayer ini dimulai oleh Awang Alak Betatar 14 bersaudara yang kemudiannya membina rumah-rumah disitu dan akhirnya membenarkan pengikut-pengikutnya juga turut bersama-sama membina rumah buat kediaman mereka di Kampung Ayer ini. Oleh kerana Kampung Ayer ini agak jauh dari kawasan daratan maka pengangkutan utama adalah dengan berkayuh perahu atau gubang dan disinilah bermulanya “Padian”. “Padian” bertindak sebagai orang tengah di dalam memastikan setiap warga Kampung Ayer mendapat bekalan harian mereka secara mudah daripada bersusah-payah mendayung perahu ke daratan suatu waktu dahulu.


Dengan mengenakan topi besar yang dipanggil “Siraung” yang bertindak sebagai pelindung daripada cahaya panas mentari, wanita “Padian” akan berkayuh perahu dari rumah ke rumah sambil melaungkan apa yang mereka niagakan dan laungan ini sebenarnya sebagai tanda isyarat bahawa “Padian” sudah hampir dengan rumah warga Kampung Ayer. Bagi mana-mana surirumah yang berkehendakkan sesuatu sudah tentu hanya perlu menuruni tangga dan disitu “Padian” sudah setia menunggu di perahu mereka untuk urusan jual beli.


Sumber bekalan “Padian” ini sebenarnya didapati daripada peniaga-peniaga berbangsa Cina yang mempunyai kedai-kedai runcit di daratan. Daripada peruncit inilah “Padian” mendapat semua stok perniagaannya dan kerana mereka membeli dalam jumlah yang besar sudah tentu ada tawar-menawar yang berlaku. Dan disinilah bermulanya penjana ekonomi setempat bagi masyarakat Brunei suatu waktu dahulu khususnya di Kampung Ayer.


Sejajar dengan waktu setelah arus kemodenan melanda Negara Brunei Darussalam, “Padian” tidak lagi wujud di bumi Brunei dan ianya dikatakan terus terhenti sekitar tahun 1970an lagi. Banyak faktor yang menyebabkan “Padian” itu pupus di Kampung Ayer dan salah satunya adalah polisi pentadbiran Kerajaan Brunei Darussalam melalui Sultan Hassanal Bolkiah yang telah membina satu tempat berjaja setempat yang dikenali dengan nama Tamu Kianggeh dan juga tempat-tempat di daratan yang lain. Polisi ini adalah untuk menyenangkan rakyat di Brunei untuk urusan jual beli dengan mudah. Mereka yang dulunya adalah “Padian” yang berurusan dengan menggunakan perahu di dalam aktiviti perniagaan telahpun menjadi peniaga di daratan.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page