ASAM PAYAK
ASAM PAYAK
Asam Kelubi itulah nama bahasa melayu standard di dalam memperkatakan tentang asam payak ini dan jika di bumi Semenanjung Malaysia, jeruk asam kelubi itulah sahaja resipi untuknya tetapi berbeza sekali di Sarawak kerana asam payak merupakan buah-buahan hutan yang mempunyai seribu kegunaan.
Bagi masyarakat Melayu Sarawak ianya dikenali dengan nama Asam Payak, Buah Maram bagi etnik Iban, Di dalam bahasa Bidayuh pula dipanggil Asom Bun dan untuk masyarakat Melanau Sarawak menggelarnya Buah Baun. Walau seribu namanya mengikut dialek-dialek masyarakat tempatan Sarawak namun Asam Payak tetap menjadikan dambaan kerana rasanya masam menjadi penambah perasa di dalam setiap menu yang menggunakannya.
Asam payak atau dengan nama saintifiknya eleiodoxa conferta adalah jenis pohon hutan yang dikategorikan di bawah keluarga pokok palma. Ianya adalah satu tumbuhan yang mekar tumbuh di kawasan yang berpaya. Walaupun pokoknya seakan-akan pokok nipah namun begitu pokok asam payak mempunyai perbezaan berdasarkan kepada jangkauan akar pokoknya yang lebih dalam berbanding dengan pokok nipah.
Asam payak boleh didapati di kebanyakan negara Asean seperti di negara Thailand, Semenanjung Malaysia dan di Pulau Borneo yang merangkumi Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Ianya juga senang didapati di Sumatera kerana kesemua tempat-tempat ini mempunyai tanah berpaya yang menjadikan ianya boleh hidup segar.
Buah Asam Payak adalah antara spesis buah-buahan yang bermusim iaitu ianya hanya berbuah sekali setahun iaitu musim ianya berbuah adalah antara bulan Mac sehingga Ogos setiap tahun. Bagi mendapatkannya bukanlah satu kerja yang mudah kerana kawasan paya yang berlumpur itu harus diredah. Disamping dengan pelbagai onak nan berduri ditambah lagi banyaknya spesis haiwan yang berbisa seperti ular dan lipan yang juga antara penghuni pohon asam payak membuatkan harganya agak mahal di pasaran.
Di pasar-pasar tamu di bumi Sarawak harganya boleh dijual sehingga RM6 sekilo dan lagi sedikit produksi tahunannya lagilah mahal harganya di pasaran. Namun begitu biar berapa jua tanda harga bagi asam payak ini namun ianya tetap laris dijual kerana asam payak ini mempunyai seribu kegunaan di dalam masakan.
Bila berkata tentang menu hidangan untuk asam payak ini sememangnya sesuatu yang luar biasa. Di dalam masyarakat Sarawak buah asam payak ini mempunyai seribu kegunaan. Ada yang telah menjadikan asam payak ini sebagai pengganti kepada asam keping kerana rasanya yang masam merupakan penambah rasa kepada keenakan masakan seperti masakan asam pedas ikan pari. Selain itu ianya juga boleh menjadi perasa masam-masam untuk masakan stim ikan dan juga tidak ketinggalan sambal belacan asam pedas adalah antara menu popular bagi hidangan makan keluarga di Sarawak.
#KamekSayangSarawakBah