top of page

ETNIK BELAIT, SARAWAK, BORNEO


ETNIK BELAIT, SARAWAK, BORNEO


Belait!.. Sudah tentu ramai yang mengaitkannya dengan salah satu wilayah di Negara Brunei Darussalam yang dikenali dengan nama Kuala Belait iaitu antara wilayah persempadanan antara Sarawak dan Negara Brunei. Namun begitu berapa ramai yang mengetahui bahawa sebenarnya di Sarawak jugalah asalnya orang Belait atau etnik Belait ini seperti juga etnik Tutong dan Narom yang ramai di bumi Brunei.


Kesemua etnik-etnik ini juga mempunyai susur-galur asal keturunan daripada wilayah Sarawak sejak dahulu lagi.

Sukar untuk menafikan kaitan itu kerana apabila berada di satu daratan yang sama sudah tentu ada perkaitannya. Untuk artikel kali ini Borneo Oracle akan memberikan ruang informasi di dalam kita cuba mengenal siapakah mereka yang dikenali dengan nama Orang Belait atau Etnik Belait, Sarawak, Borneo.


Sebenarnya di Sarawak sejak di zaman pemerintahan Brooke lagi etnik Belait ini dikategorikan sebagai antara pembentuk masyarakat Melayu Sarawak sekarang memandangkan sudah menjadi resmi kepada undang-undang Sarawak Kingdom sejak dahulu lagi mengklasifikasikan mana-mana etnik yang sudah memeluk Islam serta mengamalkan cara hidup serta melestarikan kebudayaan dan tradisi Melayu akan dirumpunkan sebagai Melayu Sarawak.


Walaupun hakikatnya jika mengikut kepada susur galur keturunan sebenarnya Etnik Belait merupakan susur galur keturunan dengan masyarakat Dayak Sarawak. Inilah keindahan dan keunikan etnik Belait seperti juga etnik Narom yang sebenarnya daripada sub etnik Kenyah dan bagi etnik Belait pula merupakan sub etnik kepada Etnik Kiput atau Lakiput di Sarawak.


Menurut sejarahnya, etnik Belait ini yang populasinya tertumpu di Kuala Belait sekarang adalah sebenarnya berasal daripada satu kawasan di Sarawak yang bernama Baram yang terletak di Miri, Sarawak. Menurut laporan yang dibuat oleh Hughes-Hallet (1980), penghijrahan orang Belait ke wilayah Brunei Darussalam bermula dari awal abad ke 19 Masihi iaitu antara 1830an sehingga ke 1890an.


Keberadaan mereka di wilayah Brunei sekarang dikatakan adalah kerana melarikan diri demi survival daripada perang kayau atau perang perluasan kuasa yang sememangnya menjadi tradisi di bumi Sarawak suatu waktu itu. Ketika itu dikatakan bahawa etnik Belait ini melarikan diri daripada kawasan yang bernama Ulu Tinjar, Baram yang didominasikan oleh etnik Kayan iaitu antara pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak.


Di Negara Brunei Darussalam juga etnik Belait ini dikategorikan sebagai "Bumiputera" yang juga antara rumpun Melayu Brunei. Malah mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa ketika di Brunei suatu waktu dahulu, pekerjaan utama etnik Brunei juga adalah bertanam sago dan kaedah yang digunakan adalah hampir sama dengan Etnik Melanau Sarawak. Inilah antara keunikan etnik Belait sehingga seringkali dikatakan sebagai Orang Melanau walaupun bahasa mereka begitu berbeza dengan bahasa Melanau.


Suatu masa dahulu seperti juga etnik Narom mahupun etnik Tutong, etnik Belait juga merupakan antara pengamal agama pagan atau animisme dan mendiami rumah panjang kerana mereka juga merupakan antara sub-etnik daripada etnik Kiput atau Lakiput. Budaya dan stratifikasi social mereka juga mengikut adat dan tradisi etnik Kiput namun apabila ada pengaruh agama Islam akhirnya etnik ini memilih untuk memeluk Islam. Dan kerana itulah ketika pemerintahan Brooke mereka sudahpun diklasifikasikan sebagai etnik Melayu Sarawak kerana cara hidup mereka sudah berubah sama sekali.


Walaupun mereka telah meninggalkan segala amalan animisme dan hidup dengan mengikut lunas Islam dan penempatan mereka juga lebih kepada penempatan Melayu namun begitu bahasa mereka yang unik yang dikenali dengan bahasa Belait Jati tetap dilestarikan suatu waktu dahulu. Bahasa Belait Jati ini menurut rumpun bahasa diklasifikasikan sebagai rumpun bahasa Austranesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Berawan-Lower Baram, Kiput-Belait, Belait, Central A.


Sehingga ke hari ini sebenarnya agak sukar untuk mengkhususkan dimanakah keberadaan etnik Belait ini di Sarawak kerana tiada lagi laporan yang dapat membuktikan dimanakah jumlah populasinya tertumpu berbanding dengan etnik Narom yang mempunyai satu perkampungan yang bernama Kampung Narom di Miri, Sarawak dan ini tidak kepada etnik Belait melainkan ianya banyak merujuk kepada populasi mereka di Kuala Belait, Negara Brunei Darussalam. Dan yang lebih menyedihkan bahasa etnik Belait ini iaitu Belait Jati juga dikatakan sudah pupus baik di bumi Sarawak mahupun di Negara Brunei Darussalam sendiri.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


Nota kaki: Gambar busana perkahwinan Melayu Brunei hakmilik ohmylensa.blog.com


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page