top of page

FROM IGAN WITH LOVE


FROM IGAN WITH LOVE


Igan merupakah satu daerah kecil yang terletak di Batang Igan. Ianya telah dinaikkan taraf menjadi daerah kecil pada tahun 1992 dengan keluasan daerah kecil Igan ini adalah 244.58 kilometer persegi. Daerah kecil Igan adalah dibawah juristifikasi pentadbiran Majlis Daerah Mukah dan Matu berkuat kuasa pada 1hb Mac 2002 sehinggalah sekarang.


Walaupun lokasinya adalah di persisiran Batang Igan namun daerah kecil Igan amat mudah untuk dihubungi kerana sesiapa yang ingin ke Igan bolehlah menaiki pesawat ke Lapangan Terbang Mukah. Daripada Mukah bolehlah memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas ataupun pengangkutan yang lain untuk ke Igan. Selain daripada itu, satu lagi alternative untuk ke Igan adalah dengan menggunakan perkhidmatan jalan air iaitu dengan mengambil perkhidmatan speedboat mahupun bot ekspress daripada Jeti Sibu.


Masyarakat yang mendiami Igan adalah secara majoritinya daripada etnik Melanau yang beragama Islam. Memandangkan dominasi etnik Melanau di Igan ini jadi bahasa pertuturan utama di daerah kecil Igan ini adalah bahasa Melanau Igan selain bahasa Melayu Sarawak. Sumber ekonomi bagi masyarakat Igan adalah sebagai nelayan serta menguruskan perniagaan industri desa seperti menghasilkan pemakanan laut dan juga membuat terendak Igan yang merupakan ikon pelancongan bagi Igan sejak dahulu lagi.


Menurut cerita lisan daripada orang-orang tua di daerah kecil Igan, sebenarnya Igan mendapat nama daripada satu jenis ikan bilis yang hanya terdapat di perairan Batang Igan dan tidak di tempat lain di seluruh Sarawak. Jenis ikan bilis ini dipanggil ikan bilis Igan dan kerana pada ketika itu daerah kecil ini tiada bernama maka penduduk tempatan telah sepakat untuk memanggilnya Igan sehingga sekarang. Mungkin ada banyak lagi versi cerita bagaimana Igan mendapat nama kerana sehingga ke setakat ini belum ada lagi dokumentasi yang benar-benar sahih bagaimana Igan mendapat nama.


Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya lokasi di mana Igan ini berada sekarang adalah salah satu kerajaan kuno yang hilang di bumi Sarawak yang dipanggil Kerajaan Malano. Menurut sumber kerajaan kuno ini pernah wujud di bumi Igan sekitar abad ke-13 masihi. Ini kerana menurut sebuah manuskrip sejarah pengembaraan seorang pelayar Negara Tembok Besar China iaitu Nan-Hai-Chih ada menyebutkan bahawa Igan dahulunya dikenali sebagai Achen merupakan sebuah peradapan yang mana ramai peniaga-peniaga dari Tembok Besar China telah datang berkunjung ke Achen untuk berniaga kerana Achen merupakan sebuah Bandar pelabuhan yang terkenal serta baik pentadbiran kerajaannya.


Berdasarkan itu, tidaklah mustahil sekiranya dikatakan bahawa Achen atau Igan itu merupakan pusat atau ibukota kepada sebuah kerajaan kuno iaitu Kerajaan Malano yang hilang yang sememangnya ada tercatat namanya di dalam satu manuskrip kuno yang bernama kekawin Nagarakertagama yang ditulis pada tahun 1365. Di dalam manuskrip ini menyatakan ketika zaman kerajaan Majapahit mencapai puncak kegemilangannya iaitu sewaktu Hayam Wuruk memerintah ada menyebut Malano dan Po-ni (Brunei) sebagai sebahagian daripada pembayar ufti kepada kerajaan Majapahit tersebut. Jika Malano membayar ufti bermakna Malano bukanlah satu jajahan kecil sebaliknya sebagai sebuah kerajaan besar yang mencakupi beberapa jajahan kecil yang lain.


Selain itu satu lagi kenyataan sahih bahawa Igan merupakan salah satu jajahan atau ibukota bagi Kerajaan Malano adalah melalui manuskrip sejarah kerajaan Brunei yang menyatakan bahawa di awal pemerintahan raja pertama Kerajaan Brunei iaitu sewaktu kemerosotan pengaruh kerajaan Majapahit ke atas wilayah di Pulau Borneo sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Shah iaitu Sultan yang pertama Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam, wilayah Tutong yang ketika itu dibawah pentadbiran pembesar kerajaan Malano iaitu Mawanga telah diserang oleh orang-orang kanan Sultan iaitu Awang Semaun, Awang Jeramabak dan Pateh Damang Sari.


Pertempuran untuk perluasan kuasa Kerajaan Brunei ini telah sampai sehingga ke Igan iaitu satu lagi jajahan besar Kerajaan Malano di bawah Basiung iaitu ipar kepada Tugau. Walau bagaimanapun, Basiung dan Tugau yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Sambas dan juga jajahannya yang lain tidak dapat menandingi jumlah tentera pimpinan Awang Semaun. Setelah jatuhnya Igan maka barulah banyak wilayah-wilayah jajahan kerajaan Malano sekitarnya telah jatuh satu persatu kepada Kerajaan Kesultanan Brunei. Dan adalah dipercayai bahawa etnik Melanau yang mendiami Igan serta beberapa tempat yang didominasi oleh etnik Melanau di Sarawak sekarang seperti Mukah, Oya, Balingian, Igan dan banyak lagi dipercayai nenek moyang mereka adalah berasal daripada rakyat Kerajaan Malano satu kerajaan kuno yang pernah ada di bumi Sarawak suatu waktu dahulu.


Selain kaya dengan keindahan panorama kerana terletak di Batang Igan, Igan juga mempunyai satu sumber warisan yang telah dipraktikkan lebih daripada 100 tahun dan ianya hanya ada di bumi Igan. Sumber warisan budaya ini dinamakan “Berlanggar Meja”. Jika di tempat lain ianya dikenali sebagai rumah terbuka iaitu satu majlis individu yang diadakan di rumah persendirian semasa perayaan Hari Raya Aidil Fitri diadakan, tetapi di Igan ianya dikenali sebagai “Berlanggar Meja” dan diadakan di tempat yang lebih luas serta yang menjadi hos adalah seluruh kampung di Igan dengan jemputannya adalah kampung-kampung yang berdekatan.


“Berlanggar Meja” ini sebenarnya bermaksud meja-meja yang disambung secara memanjang di satu kawasan tanah lapang atau lebih sesuai di letakkan di atas jalanraya. Setiap meja-meja ini akan dihidangkan makanan seperti kuih-muih atau lauk pauk hariraya dan setiap keluarga Igan hendaklah menyediakan jamuan untuk 4 orang atau lebih dan hidangan itu dibuat dari rumah penduduk Igan sendiri. Jika di dalam bahasa moden sekarang dipanggil “potluck”. Jadi janganlah hairan sekiranya hidangan meja-meja ini mempunyai jenis yang berlainan.


Sebenarnya “Berlanggar Meja” merupakan satu tradisi yang terbaik di dalam merapatkan hubungan sesame masyarakat Igan kerana ukhuwah dapat disambung di dalam satu majlis dan yang pasti tradisi “Berlanggar Meja” ini telah menyebabkan ramai bangsa Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama datang ke Igan untuk merasai sendiri tradisi ini diadakan dengan penuh kemeriahan dan dalam suasana aman damai sejak ratusan tahun dahulu.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.



bottom of page