top of page

JATA NEGARA (COAT OF ARMS) SARAWAK


JATA NEGARA (COAT OF ARMS) SARAWAK


Setiap negara di dunia ini sejak dari dahulu lagi mempunyai lambang-lambang atau apa yang dipanggil Jata Negara ( Coat Of Arms). Ianya adalah satu lambang yang unik dan direkabentuk khas samada dicetak di atas kertas mahupun tertera di mana-mana bangunan kerajaan. Penggunaan jata negara hanya dibenarkan untuk urusan dokumentasi sesebuah kerajaan yang terbentuk. Setiap rekabentuk jata negara juga menunjukkan apa yang ada pada sesebuah negara tersebut.


Apabila kita hendak menyatakan perkembangan sejarah jata negara (coat of arms) bagi Sarawak, jadi pencerakahan hendaklah bermula daripada 4 era sejarah Sarawak itu sendiri. Ianya adalah:


1. Sarawak sebagai salah satu tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam 2. Negara Sarawak (Sarawak Kingdom) iaitu dibawah pemerintahan Keluarga Brooke 3. Sarawak British Borneo iaitu ketika Sarawak sebagai salah satu jajahan Koloni British. 4. Sarawak Bumi Kenyalang iaitu apabila Sarawak menjadi salah satu pembentuk Gagasan Malaysia.


Jata Negara Ketika Sarawak Sebagai Tanah Kuripan Negara Brunei Darussalam


Umum mengetahui bahawa Sarawak dahulunya merupakan salah satu tanah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei Darussalam. Di sepanjang ianya menjadi tanah kuripan tiada jata negara atau bendera rasmi Negara Brunei yang digunakan bagi setiap tanah kuripan dan yang hanya digunakan adalah bendera peribadi bagi pembesar-pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei Darussalam ketika itu.


Jata Negara Ketika Sarawak Kingdom


Pada tahun 1842, James Brooke secara rasminya telah menjadi Rajah bagi Sarawak Kingdom dan bermulalah perluasan empayar Sarawak Kingdom ketika itu sehingga apa yang kita lihat Sarawak Bumi Kenyalang sekarang. Ketika Sarawak dibawah pemerintahan keluarga Brooke ini, Sarawak Kingdom telah diperintah oleh 3 rajah putih iaitu Rajah James Brooke, Rajah Charles Brooke dan yang terakhir adalah Rajah Charles Vyner Brooke. Di sepanjang pemerintahan 3 rajah ini, jata negara bagi Sarawak Kingdom yang rasmi telah bertukar selama 3 kali juga.


Walau bagaimanapun hanya Rajah James Brooke yang mempunyai jata negara peribadi memandangkan beliau ketika itu selain menjadi Rajah bagi Sarawak Kingdom juga merupakan Commander-In-Chief bagi Labuan ketika itu.

Jata Negara James Brooke ini digunapakai dari 1842 sehingga 1868.


Jata negara rasmi bagi Sarawak Kingdom hanya ada ketika pemerintahan rajah kedua Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Brooke. Ketika itu kesemua urusan dalam dan luar negara Sarawak Kingdom akan ada jata negara dan disinilah bermulanya motto bagi Sarawak Kingdom yang menggunakan bahasa Latin sebagai asasnya iaitu “Dum Spiro Spero” (While I Breath, I Hope).


Sebenarnya motto Dum Spiro Spero ini bukan sahaja digunapakai oleh Sarawak Kingdom ketika itu tetapi sejarahnya, motto ini juga telah digunakan lebih awal daripada adanya jata negara Sarawak Kingdom itu sendiri. Motto Dum Spiro Spero juga adalah motto bagi:


i. State of South Carolina pada tahun 1776. ii. Principality of Hutt River, Australia iii. Burstow Park House, Surrey, England iv. Clan MacLennan, Scotland v. The Olphert Family, Ballyoonnel, Ireland|


Jata Negara Sarawak Kingdom era Rajah Charles Brooke ini digunapakai dari tahun 1868 sehingga 1917.


Apabila Rajah Charles Vyner Brooke naik takhta, sekali lagi jata negara Sarawak Kingdom telah bertukar tetapi bukanlah secara keseluruhannya sebaliknya ianya hanya dimasukkan lambang mahkota di dalamnya yang membawa maksud Sarawak Kingdom ketika itu dibahagikan kepada 5 bahagian pentadbiran ketika itu.


Jata Negara Sarawak Kingdom era Rajah Charles Vyner Brooke ini digunapakai dari 1917 sehingga 1946.


Jata Negara Sarawak British Borneo


Pada tahun 1946, Rajah Charles Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak Kingdom untuk menjadi sebagai salah satu tanah jajahan kepada Kerajaan Mahkota British. Ini kerana kemusnahan yang teruk ketika Perang Dunia Kedua tidak memungkin Rajah Charles Vyner Brooke untuk membangunkan Sarawak Kingdom ketika itu. Walaupun terdapat penentangan Anti Penyerahan (Anti-Cessionist) oleh bangsa Sarawak ketika itu namun ianya juga tidak dapat membendung usaha tersebut maka berakhirlah era Sarawak Kingdom dan ketika itu Sarawak hanya dikenali sebagai Sarawak British Borneo dibawah pemerintahan Koloni British Borneo.


Di ketika Sarawak British Borneo ini jata negara juga turut bertukar dengan tiada lagi motto “Dum Spiro Spero”.


Jata negara Sarawak British Borneo ini digunapakai dari 1947 sehingga 1973.


Jata Negara Sarawak Bumi Kenyalang


Pada tahun 1963, Gagasan Malaysia telah dibentuk oleh Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Walaupun sudah menjadi sebuah negara merdeka yang baru, Sarawak Bumi Kenyalang tetap masih menggunakan jata negara Sarawak British Borneo selama lebih 10 tahun. Hanya pada 1hb September 1973 ianya telah ditukar sepenuhnya.


Jata Negara Sarawak Bumi Kenyalang pada masa itu menggunakan motto “Hidup Selalu Berkhidmat” atau di dalam bahasa Inggerisnya “Live To Serve”. Ketika inilah burung kenyalang telah diangkat menjadi lambang Jata Negara Sarawak Bumi Kenyalang kerana burung kenyalang merupakan ikon burung bagi Sarawak. Selain daripada itu garis 13 corak pada sayap burung itu menandakan 13 negeri yang menganggotai Gagasan Malaysia dan lambang bendera Sarawak pada ketika itu iaitu merah, biru dan putih. Jata negara Sarawak Bumi Kenyalang ini digunapakai dari tahun 1973 sehingga 1988.


Pada 31 Ogos 1988, sekali lagi jata negara Sarawak Bumi Kenyalang telah bertukar kerana ianya selaras dengan pertukaran bendera Sarawak yang baru ketika itu Motto Sarawak juga turut bertukar kepada “Bersatu, Berusaha, Berbakti” atau di dalam bahasa Inggerisnya “United, Industrious, Devout”.


Sebenarnya pada ketika itu adalah perlu bagi Sarawak Bumi Kenyalang untuk menukar bendera rasminya kerana terlalu banyak kekeliruan berlaku di peringkat dunia memandangkan bendera lama Sarawak ketika itu hampir serupa dengan negara Republik Czechoslavakia. Memandangkan mereka telah pun menggunakan bendera tersebut lebih awal iaitu pada 1920an lagi maka adalah perlu untuk Sarawak menukarnya.


Jata negara ini kekal digunapakai dari tahun 1988 sehinggalah sekarang.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page