top of page

LADY MARGARET BROOKE (1849-1917)


LADY MARGARET BROOKE (1849-1917)


Beliau merupakan “Ranee Of Sarawak” yang pertama setelah Rajah Charles Brooke ditabalkan menjadi Rajah Kedua Sarawak Kingdom. Dilahirkan di dalam keluarga ternama di Eropah dengan nama Margaret Alice Lili de Windt. Dilahirkan pada tahun 1849 merupakan anak perempuan kepada keluarga tentera British iaitu ayahnya bernama Kapten Joseph Clayton Jennyns de Windt. Ibunya merupakan seorang surirumah sepenuh masa iaitu Elizabeth Sarah Johnson. Keluarga ini menetap di Blunston Hall, Highworth, England yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Swindon dan terletak di Selatan England.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Ranee Margaret ini mempunyai seorang abang kandung yang namanya tercatat di dalam sejarah sebagai antara pelayar British yang banyak membuat pelayaran eksplorasi iaitu Harry Darell De Windt. Beliau merupakan antara orang kanan bagi abang iparnya di dalam eksplorasi suatu waktu dahulu sehingga ada antara tulisannya yang dianggap sebagai satu sumber sejarah pelayaran bangsa British seperti Overland from Paris To New York Through Siberia, Peking to Paris, Russia to India Through Paris dan banyak lagi. Di dalam dunia eksplorasi pelayaran beliau lebih dikenali sebagai Harry De Windt. Beliau meninggal dunia pada 30 November 1933.


Menurut cerita dikhabarkan bahawa Rajah Charles Brooke yang juga merupakan Rajah Kedua Sarawak Kingdom memilih Ranee Margaret sebagai permaisuri hatinya kerana cinta pandang pertama sewaktu beliau bercuti pulang ke England pada tahun 1869. Diceritakan juga Rajah Charles Brooke meminati pembawaan diri Ranee Margaret yang merupakan seorang gadis Eropah yang merendah diri serta baik budi pekertinya tidak seperti mana-mana gadis golongan aristocrat bangsa Eropah yang pernah dikenalinya. Maka pada 28hb Oktober 1869, perkahwinan mereka dilangsungkan dengan penuh sederhana atas kehendak Rajah Charles dan Ranee Margaret sendiri di kediaman keluarga De Windt di Highworth, England.

Sekitar tahun 1870an, Ranee Margaret telah menjejakkan kakinya yang pertama ke bumi Sarawak Kingdom dan beliau digambarkan sebagai seorang wanita bangsa Eropah yang amat pandai membawa diri di negara orang. Di sepanjang beliau berada di Sarawak, Ranee Margaret dikatakan amat pandai memainkan peranannya sebagai “Wanita Pertama” Sarawak Kingdom ketika itu dengan banyak membantu pentadbiran Brooke di dalam memastikan wanita-wanita di Bandar Kuching terutamanya dapat mandiri seperti juga wanita-wanita bangsa Eropah yang lain.


Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Ranee Margaret fasih berbahasa Melayu Sarawak dan kerana kefasihannya itu beliau disukai oleh masyarakat Melayu Sarawak ketika itu. Dengan pertolongan Ranee Margaret juga maka berdirinya sebuah sekolah di Kuching yang mana ketika itu bukan mudah untuk meminta ibubapa masyarakat Melayu Sarawak membenarkan mana-mana anak perempuan mereka mendapat pendidikan secara formal. Sekolah-sekolah seperti Sekolah Inchi Buyong juga antara sekolah-sekolah yang menjadi tempat Ranee Margaret mengajar dan bidang beliau adalah Matematik dan Geografi.


Bantuan dan cara Ranee Margaret membawa diri di Sarawak Kingdom menyebabkan suaminya iaitu Rajah Charles Brooke, rajah kedua Sarawak Kingdom semakin menyintainya dan beliau zahirkan rasa cintanya dengan membina sebuah kubu di tepi Sungai Sarawak khas untuk isterinya yang dinamakan Kubu Margherita yang dibina pada tahun 1879. Sekarang kubu Margherita masih utuh di Kuching dan menjadi galeri Memorial Brooke sekarang.


Hasil perkahwinan Ranee Margaret dengan Rajah Charles Brooke telah dikurniakan dengan 6 orang cahayamata iaitu:


1. Dayang Ghita Brooke (1870 – 1873) 2. James Harry Brooke (1872 – 1873) 3. Charles Clayton Brooke (1872 – 1873)


Ketiga-tiga mereka meninggal dunia sewaktu pelayaran pulang mereka untuk bercuti ke England akibat jangkitan kolera pada tahun 1873.


4. Charles Vyner Brooke (1874 – 1963), Rajah Ketiga Sarawak 5. Tuan Muda Bertram Willes Darrel Brooke (1876 – 1965) 6. Tuan Bongsu Harry Keppel Brooke (1879 – 1926)


Ranee Margharet diceritakan sebagai seorang wanita yang amat menyintai budaya dan tradisi masyarakat di Sarawak Kingdom. Beliau banyak turut serta di dalam acara keramaian masyarakat Sarawak dan beliau juga sentiasa menggalakkan agar kesemua adat dan tradisi rakyat Sarawak pada ketika itu dipelihara. Sepanjang beliau tinggal di Sarawak, beliau telah menulis 2 buah buku yang menceritakan tentang bumi Sarawak yang sekarang menjadi bahan rujukan bangsa Eropah untuk memahami Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Judul bukunya adalah My Life in Sarawak dan Good Morning and Good Night adalah buku yang menjadi rujukan di University of Oxford sehingga sekarang.


Setelah Rajah Charles Brooke meninggal dunia pada tahun 17hb Mei 1917, Ranee Margaret telah menetap di tanah kelahirannya dan akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1936 di Highworth, England.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page