LEGENDA GUNUNG SERAPI
LEGENDA GUNUNG SERAPI
- Putera Kayangan Membawa Diri
Puteri Santubong puteri sejinjang Penjaga gunung negeri Sarawak Manis sik ada dapat dilawan Anak dak dewa turun kayangan
Ooo… puteri santubong Menenun kain… siang Ooo… puteri sejinjang Menumbuk padi… malam
Satu hari nya duak kelayi Beranok-anok sik renti-renti Sorang madah dirik bagus agik Sorang sik ngalah sampei ke mati
Yalah kisah duak ‘rang puteri Suka kelayi setiap hari Lalu disumpah raja kayangan Menjadi gunung Negeri Sarawak
Begitu puitis bait-bait lagu rakyat Sarawak ini dan begitulah indahnya legenda kedua puteri tersebut sentiasa menjadi identiti kepada Sarawak Bumi Kenyalang. Legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang sudah tentu tidak asing bagi kita di Sarawak mahupun di Malaysia kerana cerita legenda ini sememangnya popular malah pernah diangkat menjadi teater serta drama yang ditayangkan kepada umum.
Kedua-dua puteri legenda ini dikaitkan secara langsung dengan 2 buah gunung di Sarawak iaitu Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan daripada Bandaraya Kuching. Namun begitu mungkin kita agak asing dengan cerita legenda sebuah lagi gunung yang agak popular bagi warga Kuching iaitu Gunung Serapi. Gunung Serapi ini terletak di sebelah utara Bandaraya Kuching iaitu di satu kawasan yang dipanggil Matang, Inilah cerita legenda yang akan dipaparkan oleh Borneo Oracle pada kali ini iaitu yang diberi tajuk Legenda Gunung Serapi – Putera Raja Membawa Diri.
Menurut hikayat cerita legenda Gunung Serapi ini, beratus-ratus tahun dahulu terdapat 2 orang puteri yang cantik jelita yang mendiami sebuah gunung di Sarawak. Kedua-dua puteri ini dikatakan berasal daripada kayangan dan amat pandai membuat kerja-kerja rumah iaitu lengkap sebagai calon untuk dijadikan permaisuri kepada seorang anak raja. Maka gahlah cerita tentang kejelitaan kedua-dua puteri dua beradik sehinggalah sampai ke pendengaran kepada seorang putera raja dari negara kayangan yang lain yang bernama Putera Serapi.
Mendengar ceritanya sahaja telah membuatkan Putera Serapi jatuh cinta maka bertekadlah dia untuk pergi menyelidiki samada segala khabar angin tentang kejelitaan dan kesempurnaan kedua-dua puteri itu sendiri. Dengan persetujuan daripada ayahanda Raja Kayangan maka turunlah Putera Serapi ke dunia dan terus menyusup masuk menjadi orang kebanyakan di dalam perkampungan tempat kediaman kedua-dua puteri tersebut.
Setelah memerhati dari jauh akhirnya Putera Serapi akur tentang kejelitaan dan kesempurnaan kedua puteri itu dan timbullah keinginannya untuk mengenali kedua-duanya dengan lebih dekat. Ternyata nasib sentiasa menyebelahi Putera Serapi kerana ketampanan serta kegagahannya telah membuatkan kedua-dua puteri ini dengan baiknya menerima kehadiran beliau. Maka bermulalah perkenalan Putera Serapi dengan kedua-dua puteri adik-beradik tanpa disedari oleh kedua-duanya mengenali putera yang sama. Ini kerana puteri yang sulung hanya menenun kain di sebelah siang manakala puteri bongsu menumbuk padi sebelah malam. Dengan adanya jarak masa ini maka mudahlah Putera Serapi mengatur langkah untuk mengenali kedua-dua puteri ini serentak. Ini kerana hanya sewaktu kedua-dua puteri ini membuat kerja-kerja barulah puteri-puteri ini senang didekati.
Setelah beberapa ketika mengenali hati budi di antara satu sama lain ternyata Putera Serapi telah jatuh cinta pada kedua-dua puteri tersebut yang sudah tentu agak mustahil untuk dilakukan serentak. Maka setelah meluahkan perasaan cinta kasih sayang kepada kedua-dua puteri tersebut maka barulah kedua-dua puteri ini mengetahui bahawa mereka adik-beradik telah menyintai seorang putera yang sama serentak. Hal ini telah membuatkan kedua-dua puteri adik-beradik ini telah bertelagah diantara satu sama lain sehinggalah membawa bencana kepada kedua-duanya. Ayahanda mereka yang berada di kayangan tidak menyetujui adanya pertelingkahan wujud diantara kedua-dua puteri sehinggalah menjatuhkan hukuman untuk kedua-duanya menjadi dua buah gunung yang berbeza-beza tetapi kewujudan kedua-dua gunung ini masih lagi berdekatan.
Putera Serapi merasa amat kecewa kerana kehendaknya untuk memperisterikan salah seorang puteri dua beradik tidak kesampaian telah lari membawa hati yang lara sehingga jauh ke hutan belantara di utara. Oleh kerana pada asalnya punca kepada permasalah ini adalah Putera Serapi yang bermain api cinta dengan dua orang beradik di dalam satu waktu yang sama maka Ayahandanya dari negara Kayangan yang lain telah cuba memanggilnya kembali ke dunia kayangan namun Putera Serapi engkar malah melarikan diri membawa hati yang luka jauh daripada keluarganya. Akhirnya kerana tidak dapat mengawal kemurkaan kepada Putera Serapi yang engkar itu maka Ayahanda Putera Serapi telah menjatuhkan hukuman Putera Serapi disumpah menjadi sebuah gunung di utara Kuching sekarang iaitu Gunung Serapi.
Inilah Legenda Gunung yang sebenarnya ada hubungkait dengan cerita legenda Puteri Santubong dan Sejinjang yang amat popular itu pada kali ini ianya lebih kepada kesinambungan kepada apa yang terjadi kepada putera yang menjadi rebutan kedua-dua Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang iaitu Putera Serapi.